Monday, October 19, 2015

SPRM selesai 85 peratus kes rasuah tahun lalu

KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyelesaikan 85 peratus atau 781 daripada 919 kertas siasatan yang dibuka pada 2014 berbanding 81.6 peratus pada 2013 dan 75 peratus pada 2012. 


Menurut kenyataannya hari ini, bilangan pertuduhan yang dibawa ke mahkamah juga meningkat kepada 317 tahun lepas daripada 289 pada 2013. 

"Begitu juga dengan jumlah denda yang dikenakan mahkamah ke atas pesalah rasuah telah meningkat kepada RM13 juta pada 2014 berbanding RM11.6 juta pada 2013," menurut kenyataan itu. 

Daripada 919 kertas siasatan itu, 326 atau 35.5 peratus membabitkan kesalahan menerima rasuah, memberi rasuah (159 atau 17.3 peratus), tuntutan palsu (283 atau 30.8 peratus), salah guna kedudukan (69 atau 7.5 peratus) dan 82 kesalahan lain. 

Menurut SPRM, pencapaian dari segi kadar sabitan masih berada di paras baik iaitu 78 peratus berbanding 54 peratus ketika SPRM dibentuk pada 2009. Dalam pada itu, aset bernilai RM2.8 juta dilucuthakkan pada 2014. 

SPRM berkata, pencapaian itu adalah hasil program transformasi sektor operasinya melalui pelaksanaan pendekatan pengurusan siasatan berpasukan (MTI). 

Ia menarik perhatian bahawa program transformasi SPRM memberi fokus kepada sektor operasi, modal insan dan pencegahan yang dilaksanakan secara berperingkat sejak 2010. 

Dalam pada itu, SPRM telah membuka 136 kertas pemeriksaan dan perundingan yang menghasilkan 231 cadangan penambahbaikan yang telah dikemukakan kepada agensi kerajaan dan swasta. 

Ia termasuk syor penambahbaikan sistem dan prosedur kerja berkaitan penguatkuasaan dan pentadbiran tanah di Cameron Highlands, isu yang menjadi perhatian ramai tahun lepas, kata kenyataan itu. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/89879

Thursday, October 8, 2015

KES RASUAH: SPRM TUDUH EMPAT PEGAWAI TLDM TERMASUK PASANGAN SUAMI ISTERI

EMPAT pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) termasuk pasangan suami isteri didakwa di Ipoh, Perak hari ini, 8 Oktober 2015 berhubung kesalahan menerima rasuah, yang dipercayai ada kaitan dengan urusan pembekalan barangan ke TLDM.

Daripada empat tertuduh itu, seorang merupakan pegawai kanan yang didakwa dua minggu lalu dan hari ini didakwa berhubung kesalahan pengubahan wang haram.

Kesemua mereka merupakan sebahagian pegawai TLDM yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Mac 2015.

Leftenan Komander Rozlin Mustafa, 33, yang memegang jawatan sebagai Pegawai Kawalan Material 3, Depot Bekalan Armada TLDM Lumut ketika ditahan oleh SPRM, menghadapi dua pertuduhan di bawah seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 iaitu menerima rasuah.

Di bawah pertuduhan pertama, Rozlin dituduh menerima suapan daripada Hussin Roslim @ Roslind melalui suaminya, Leftenan Komander Rizalman Ghazali, wang suapan sebanyak RM30,011.44 melalui sekeping kad ATM Affin Bank sebagai upah meluluskan kerja-kerja pembekalan bernilai RM1,363,317.95 kepada syarikat di mana Hussin mempunyai kepentingan.

Bagi tuduhan kedua pula, tertuduh dituduh menerima suapan daripada Hussin melalui suaminya wang suapan bernilai RM200,000 melalui sekeping kad ATM Affin Bank sebagai upah meluluskan kerja-kerja pembekalan bernilai RM1,363,317.95 kepada syarikat di mana Hussin mempunyai kepentingan.

Kedua-dua kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 15 Oktober 2014 dan 2 Januari 2015.

Sementara itu,  Rizalman, 36, dikenakan empat pertuduhan di bawah seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009, menerima suapan daripada Hussin bagi pihak isterinya yang meluluskan kerja-kerja pembekalan kepada syarikat-syarikat di mana Hussin mempunyai kepentingan.

Empat pertuduhan yang dikenakan ke atas Rizalman adalah seperti berikut:

Pertuduhan pertama - menerima daripada Hussin wang suapan RM175,841.41 melalui sekeping kad ATM CIMB Prefered bagi pihak isterinya sebagai upah meluluskan kerja-kerja pembekalan bernilai RM1,363,317.95 kepada syarikat di mana Hussin mempunyai kepentingan.

Pertuduhan kedua - menerima daripada Hussin wang suapan RM15,000 melalui sekeping kad ATM CIMB Prefered bagi pihak isterinya sebagai upah meluluskan kerja-kerja pembekalan bernilai RM1,363,317.95 kepada syarikat di mana Hussin mempunyai kepentingan.

Pertuduhan ketiga – menerima daripada Hussin wang suapan bernilai RM30,011.44 melalui sekeping kad ATM Affin Bank bagi pihak isterinya sebagai upah meluluskan kerja-kerja pembekalan bernilai RM1,363,317.95 kepada syarikat-syarikat di mana Hussin mempunyai kepentingan.

Pertuduhan keempat - menerima daripada Hussin iaitu wang suapan  RM200,000.00 melalui sekeping kad ATM Affin Bank bagi pihak isterinya sebagai upah meluluskan kerja-kerja pembekalan bernilai RM1,363,317.95 kepada syarikat di mana Hussin mempunyai kepentingan.Kesemua kesalahan didakwa dilakukan antara bulan Oktober 2014 sehingga Januari 2015 di No 16, Persiaran Venice Intan 5/1, Desa Sri Manjungg, Manjung Perak.

Jika disabitkan kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan mana-mana yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, Leftenan Kuvendran Sukumaran, 32, yang pada masa itu bertugas di Material 2, Depot Bekalan Armada TLDM, Lumut telah menghadapi empat pertuduhan di bawah seksyen 165 Kanun Keseksaaan iaitu sebagai penjawat awam menerima barangan berharga tanpa balasan.

Empat pertuduhan yang dikenakan ke atas Kuvendran adalah seperti berikut:

Pertuduhan pertama – menerima suapan daripada Mohd Nasir Abdullah wang bernilai RM68,471.97 melalui sekeping kad Debit CIMB di mana syarikat Mohd Nasir mempunyai kepentingan dan ada hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Pertuduhan kedua – menerima suapan daripada Mohd Nasir Abdullah wang bernilai RM10,000 melalui sekeping kad Debit CIMB di mana  syarikat Mohd Nasir mempunyai kepentingan dan ada hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Pertuduhan ketiga – menerima suapan daripada Mohd Nasir Abdullah wang bernilai RM4,500 melalui sekeping kad Debit CIMB di mana  syarikat Mohd Nasir mempunyai kepentingan dan ada hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Pertuduhan keempat – menerima suapan daripada Mohd Nasir Abdullah wang bernilai RM22,000 melalui sekeping kad Debit CIMB di mana  syarikat Mohd Nasir mempunyai kepentingan dan tugas rasmi dengan tertuduh.

Keempat-empat kesalahan berikut didakwa dilakukan antara Januari dan Oktober 2014 di sekitar Lumut, Manjung Perak.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah semasa pertuduhan dibacakan di Roslin, Rizalman dan Kuvendran, dan minta dibicarakan.

SPRM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azah Kasran.

Hakim Rihaida Rafie membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan iaitu sebanyak RM20,000 terhadap Rozlin manakala sebanyak RM40,000 terhadap Rizalman.

Sementara itu, mahkamah turut membenarkan jaminan sebanyak RM32,000 iaitu sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Kuvendran.

Kesemua tertuduh juga diarahkan untuk menyerahkan pasport.
Kes akan disebut semula pada 11 November 2015.

Dalam pada itu, seorang pegawai TLDM yang berpangkat Kapten mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan pengubahan wang haram.

Kapten Abdul Aziz Gaffor, 54, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh.

Pada 17 September 2015, tertuduh telah dikenakan tujuh pertuduhan oleh SPRM di bawah seksyen 165 Kanun Keseksaan di mahkamah yang sama.

Tertuduh merupakan sebahagian daripada pegawai TLDM disiasat oleh SPRM sejak Mac 2015.

Kapten Abdul Aziz yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Pemerintah Depot Bekalan Armada TLDM di Lumut, didakwa di bawah kesalahan seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 iaitu terlibat dalam pengubahan wang haram.

Berikut lima pertuduhan membabitkan Kapten Abdul Aziz, yang dibacakan di bawah seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001:

Pertuduhan pertama - menerima sekeping cek Maybank bernilai RM300,000 daripada Hussin Roslim@Roslind melalui akaun Maybank pihak ketiga milik AD Julian Lawrence. Kesalahan ini didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Lumut.

Pertuduhan kedua - menerima sekeping cek CIMB bernilai RM60,000 melalui akaun Maybank pihak ketiga milik  iaitu AD Julian Lawrence. Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Sri Manjung, Manjung.

 Pertuduhan ketiga - menerima Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti secara Elektronik Masa Nyata (rentas) sebanyak RM300,000, melalui cek CIMB Islamic milik Fiqnis Tech Engineering bernilai RM307,000, dimasukkan ke dalam akaun Maybank pihak ketiga milik AD Julian Lawrence. Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Seri Manjung, Manjung.

Pertuduhan keempat - menerima pindahan Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti secara Elektronik Masa Nyata (rentas) berjumlah RM30,000 daripada Hussin melalui akaun CIMB milik akaun pihak ketiga milik Zuraifah Syahirah Khalid. Abdul Aziz melakukan kesalahan pada itu di Lembaga Tabung Haji Cawangan Sitiawan, Manjung.

Pertuduhan kelima - menggunakan wang Tabung Haji milik Hussin melalui  sekeping kad Debit Bank Islam bernilai RM150,000. Kesalahan didakwa dilakukan di No 16 Persiaran Venice Intan 5/1, Desa Manjung Seri Manjung, Manjung .

Abdul Aziz didakwa melakukan kesalahan tersebut antara bulan Jun 2014 hingga Mac 2015.

Jika disabitkan kesalahan di bawah seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tidak melebihi 15 tahun dan denda sehingga RM5 juta atau lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau, yang mana lebih tinggi.

SPRM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azah Kasran.

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 iaitu RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin sementara tertuduh pasport ditahan. 

Kes disebut semula pada 11 November 2015.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
8 OKTOBER 2015

SPRM Terima Dua Anugerah Cemerlang ICT Agensi



SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakar sejarah apabila berjaya memenangi dua daripada 13 anugerah Sijil Pengiktirafan Pelaksanaan Cemerlang ICT Agensi, hari ini.


Dua anugerah itu ialah Excellence In Analytic Business Operation Award dan Excellence In Analytic Employee Innovation Award.

Bagi SPRM, yang menyambut Ulang Tahun Kelahiran Ke-48 BPR/SPRM pada 1 Oktober 2015, penganugerahan ini dilihat sebagai satu perkembangan positif yang menyuntik semangat warga kerja SPRM.

SPRM dipilih menerusi penyertaan dalam Kaji Selidik Pelaksanaan ICT Sektor Awam, yang memfokus bidang analisis, data, strategi analisis, data dan taktik analisis,  penerimaan mobiliti, penggunaan media sosial dan infrastruktur bestari, anjuran Malaysian Development Corporation (MDeC) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). 

MAMPU telah memilih OpenGov Asia menguruskan proses pencalonan dan pemilihan. Kali pertama anugerah ini diperkenalkan dan difahamkan lebih 100 agensi di Malaysia telah dinilai.

Anugerah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa  pada majlis penyampaian anugerah yang diadakan sempena Forum dan Wadah Perkhidmatan Digital Kerajaan di Menara Seri Wilayah, Putrajaya, hari ini.

Bagi pihak SPRM, angerah diterima oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato' Mohamad Jamidan Abdullah.

Mengulas mengenai kejayaan ini, Dato' Mohamad Jamidan berkata, SPRM berbangga dengan pencapaian ini, yang merupakan hasil gandingan setiap warga kerja SPRM khususnya  Bahagian Pengurusan Rekod dan Teknologi Maklumat (BPRTM).

Katanya, penerimaan anugerah ini menunjukkan bahawa siri inisiatif yang diambil sejak pelaksanaan Program Transformasi secara holistik sudah mula membawa hasil dan diiktiraf.

"Sistem ICT sentiasa dibangunkan secara dalaman berdasarkan sumber yang ada serta mempraktikkan pendekatan baharu dalam usaha melancarkan kerja khususnya bidang operasi di SPRM.


"Diharapkan pencapaian hari ini memberi motivasi kepada pegawai SPRM supaya lebih berinovatif dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat sejajar dengan Program Transformasi SPRM 2009," kata beliau.

Dalam pada itu, Pengarah BPRTM, KPKPj Nor Azmi Karim yang turut hadir  pada majlis penganugerahan berkata, selari dengan Program Transformasi, pelbagai inisiatif telah dan sedang diambil bagi memastikan pembangunan sistem di SPRM akan terus menjadi komponen penting dalam menyokong transformasi, di samping mewujudkan aplikasi mesra pengguna, persekitaran mesra alam serta jaminan keselamatan ke atas data SPRM .

"ICT adalah antara bidang utama yang dipandang serius oleh Pengurusan Tertinggi SPRM dan khususnya melibatkan pembangunan aplikasi teras SPRM bagi memastikan fungsi SPRM dapat dilaksanakan dengan sistematik, efektif dan efisien serta telus agar perkhidmatan yang cemerlang dapat diberikan bagi memenuhi keperluan 'stakeholder' dan rakyat.

"Antara inisiatif terbaru yang sedang dilaksanakan ialah pembangunan Corruption Intelligence System (CIS), Exhibits Management System dan Sistem Pengurusan Saksi yang mampu meningkatkan pengurusan operasi SPRM serta keyakinan masyarakat terhadap SPRM," katanya.


Jelasnya, konsep 'big data' yang diguna pakai dalam pembangunan CIS turut memberi ruang kepada SPRM untuk memanfaatkan sepenuhnya teknologi sedia ada, di samping menguji tahap kemampuan aplikasi-aplikasi teras yang sedang digunakan SPRM.

Tambah beliau, komitmen warga SPRM terutamanya pegawai dari Cawangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (CTMK) dan Cawangan Aplikasi Rekod (CARe) BPRTM adalah nadi yang akan menentukan kesemua sistem yang terdapat di SPRM berjalan dengan lancar mengikut tahap perkhidmatan yang telah ditetapkan.

"Sistem-sistem utama dan sokongan yang lain seperti, Corruption Reporting System (CRIS), Complaint Management System (CMS), Sistem Tapisan Keutuhan (eSTK), e-Diary,  MACCDrive, MACCDoor, dan Sistem Pengurusan Kenderaan Jabatan (SPKJ) juga telah dibangunkan bagi melancarkan lagi tugas-tugas hakiki di SPRM serta memastikan operasi berada di tahap yang optimum.

"Pada masa yang sama, SPRM juga telah berjaya menaik taraf dan mengekalkan Pensijilan Standard ISO/IEC27001:2013 Information Security Management System (ISMS) selama tiga tahun berturut-turut," ujarnya.

Katanya lagi, skop pensijilan bertaraf antarabangsa tersebut telah diperluaskan daripada Pusat Data sehingga kepada Portal SPRM termasuk Laman Pencegahan SPRM. 

Jelasnya, pencapaian ICT SPRM juga tidak terhad kepada pembangunan sistem, malah portal SPRM telah dianugerahkan penarafan lima bintang pada tahun 2015 oleh MDeC dan MAMPU.

"Sebelum ini, SPRM turut mendapat penarafan lima bintang ke atas portal/laman web agensi kerajaan yang mana penarafan tersebut diberi oleh MAMPU dan NDEC," katanya.

Tambah beliau, "baru-baru ini juga, Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) SPRM yang diwakili oleh BPRTM telah mendapat tempat kedua bagi Kategori Teknikal pada Konvesnyen KIK JPM 2015 melalui penggunaan sistem e-Diary."

Nor Azmi juga berkata, “kejayaan demi kejayaan yang dilakar SPRM adalah hasil daripada kepercayaan berterusan Pengurusan Tertinggi SPRM ke atas pembangunan sistem ICT oleh BPRTM dalam  menyokong keperluan operasi dan kehendak 'stakeholder' dan masyarakat."

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
8 OKTOBER 2015

SPRM Pulau Pinang buka 39 kertas siasatan

GEORGETOWN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang membuka 39 kertas siasatan rasuah sehingga kini.

Timbalan Pengarahnya, Yusof Shamsuddin berkata, siasatan itu melibatkan kakitangan kerajaan, agensi swasta dan orang persendirian.

Beliau berkata, kakitangan kerajaan yang terlibat adalah pengurusan dan profesional.

“Sehingga hari ini (semalam), SPRM Pulau Pinang menerima 204 maklumat dan hanya membuka 39 kertas siasatan. Bakinya kita rujuk kepada jabatan terbabit,” katanya kepada media selepas menghadiri Executive Talk SPRM Pulau Pinang bersama vendor, pelabur dan rakan niaga Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) hari ini.

Sepanjang tahun ini, 27 orang ditahan kerana didakwa menerima dan memberi rasuah berdasarkan maklumat orang awam.

“Empat adalah kakitangan kerajaan dari kumpulan profesional, 15 kumpulan sokongan dan masing-masing empat dari agensi swasta dan orang awam.

“Lapan dituduh di mahkamah iaitu seorang dari kumpulan profesional, lima sokongan dan dua dari agensi swasta," katanya.

Dalam perkembangan lain, Yusof berkata, SPRM kini semakin mendapat sokongan masyarakat kerana ketegasannya menjalankan tugas.

“Masyarakat kini lebih meyakini SPRM kerana ketegasan kita menjalankan tugas. Tugas kita hanya menyiasat, tangkap dan dakwa mereka yang didapati terlibat dengan rasuah. 


“Mereka kata, jika pergi ke agensi lain, tiada tindakan dibuat. Dari situ kita dapat tahu, orang awam semakin meyakini kita," katanya.

Thursday, October 1, 2015

SPRM: 'Mendiang Kevin Ikon Keberanian, Berintegriti dan Berdedikasi'

                                                                                                                                   pix- Harian Metro


SETAHUN yang lalu di Dewan Tun Ismail, Akademi Pencegahan Rasuah (MACA), Anthony Kevin Morais mengambil bahagian dalam satu forum anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pada 1 Oktober 2015, hari ini, di lokasi yang sama mendiang diangkat sebagai “ikon" semangat yang berani, berintegriti dan berdedikasi dalam menegakkan undang-undang.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dr. Abu Kassim Mohamed menggambarkan kehilangan Kevin Morais sebagai peniup semangat untuk warga SPRM mempertahankan kedaulatan undang-undang negara ini.

“Kami yang masih hidup ini berjanji, pengorbanan mendiang Kevin menjadi kekuatan untuk memerangi rasuah tanpa kira besar atau kecil.

"Tiada siapa yang kebal dari tindakan undang-undang walau setinggi mana kedudukan mereka. Selagi kami memegang amanah ini, selagi itu pengharapan rakyat akan diutamakan," kata beliau dalam ucapan Majlis Perasmian Kevin Morais Moot Court di MACA, Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Ulang Tahun Penubuhan Ke-48 BPR/SPRM hari ini.

Mendiang Kevin, yang berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya bagi SPRM lebih 10 tahun merupakan Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan ketika ditemui mati dibunuh dengan kejam awal bulan lalu. Mendiang kembali ke Jabatan Peguam Negara pada Julai 2014 selepas ditempatkan di SPRM selama 10 tahun ini.

Turut hadir pada majlis hari ini ahli keluarga mendiang iaitu Charles Suresh Morais, David Ramesh Morais dan Datuk Richard Dilaan Morais.

Tan Sri Abu Kassim berkata, mendiang Kevin, 55, merupakan simbol seorang pegawai yang “peramah”, “humble” dan “berhemah”.

“Kehilangan Tuan Kevin satu kerugian yang amat besar kepada keluarga mendiang, Jabatan Peguam Negara dan SPRM, dan amat sukar untuk digambarkan.

"Saya yakin kejadian yang penuh tragis ini tidak akan sesekali melunturkan atau mematahkan semangat barisan Timbalan Pendakwa Raya yang ditempatkan di SPRM. Malah, dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan oleh mendiang akan terus menyemarakkan lagi semangat pegawai-pegawai SPRM untuk meneruskan perjuangan mempertahankan keluhuran undang-undang dan memperhebatkan usaha memerangi rasuah," ujarnya.

Jelas beliau, mendiang Kevin seorang yang mudah didekati dan boleh dirujuk serta didampingi oleh mana-mana pegawai SPRM pada bila-bila masa tanpa mengira hari dan masa.

“Tuan Kevin merupakan Pusat Rujukan Bergerak buat kami di SPRM – seorang arif dan berpengetahuan luas dalam aspek perundangan, dan boleh memberi input dan pandangan dengan cepat dan mudah berkaitan nas undang-undang berkaitan kes-kes rasuah,” ujarnya.

Menurut beliau, majlis khas ini bertujuan bagi menzahirkan bahawa mendiang Kevin tidak bersendirian dalam perjuangan memerangi jenayah rasuah.

Moot Court MACA ini akan dikenali sebagai Kevin Morais Moot Court mulai hari ini sebagai menghargai sumbangan beliau yang telah berkhidmat selama 10 tahun bersama SPRM.

Mendiang Kevin Morais telah memberikan khidmat bakti dengan penuh komited dan dedikasi sepanjang beliau menjadi Timbalan Pendakwa Raya di SPRM, malah masih mengendalikan kes berprofil tinggi SPRM.

Moot Court MACA dikendalikan oleh Kluster Perundangan dan Pendakwaan dalam menyediakan program latihan berkaitan dengan perundangan dan pendakwaan kepada pegawai-pegawai SPRM yang mengikuti latihan asas siasatan dan perundangan.

Pada majlis yang penuh hiba itu, ahli keluarga mendiang Kevin Morais turut menerima cenderahati berbentuk topi, tongkat serta pangkat pegawai SPRM, yang disampaikan oleh Tan Sri Abu Kassim sebagai penghargaan besar daripada SPRM sambil diiringi oleh alunan muzik bagpipes.

Ketiga-tiga adik-beradik mendiang juga diberi penghormatan untuk meletakkan papan tanda tertera perkataan "Kevin Morais Moot Court" sebagai tanda penghargaan. Moot Court terletak di Blok B, MACA.

Selain itu, Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan (Polisi), Jabatan Peguam Negara, Datuk Razak Musa, yang merupakan bekas Pengarah Perundangan dan Pendakwaan SPRM ketika mendiang Kevin Morais bertugas di SPRM, turut menyampaikan ucapan berkongsi pengalamannya.

Beliau menyifatkan mendiang Kevin Morais sebagai seorang kakitangan yang amat komited dengan kerja.

"Tugas yang dilakukan oleh mendiang di SPRM tidak pernah membezakan pangkat, kedudukan, jawatan, bangsa, agam dalam membuat apa-apa keputusan. Beliau juga dikenali sebagai 'walking authority', dan juga tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu tidak kira pangkat, masa dan tempat," katanya.

Selain itu, suasana majlis yang ringkas tetapi bermakna ini menjadi semakin hiba apabila Ketua Kluster Perundangan dan Pendakwaan, P/PPj Umi Kalusom Ahmad menyampaikan sajak bertajuk “Untuk Seorang Anthony Kevin Morais”.

Siasatan Kes Rasuah: SPRM Akan Bertindak Tegas, Utamakan Kehendak Rakyat

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memastikan kehendak rakyat akan diutamakan dengan bersandarkan kepada prinsip profesionalisme di mana elemen tegas, adil dan amanah akan dipertahankan.


Sehubungan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dr. Abu Kassim Mohamed berkata, beliau berharap seluruh warga kerja SPRM akan meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagaimana diharapkan oleh rakyat, dengan bebas, telus dan profesional.

“Ini sebahagian ujian dan dugaan yang kita perlu lalui sebagai seorang pegawai pencegahan rasuah dan warga kerja SPRM.

“Pengurusan Tertinggi SPRM akan terus bersatu dalam menangani kesemua dugaan yang kita sedang hadapi sekarang,” kata beliau dalam ucapan pada Majlis Perasmian Kevin Morais Moot Court di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Kuala Lumpur hari ini.

"Saya ingin menegaskan, malah mahu mengingatkan bahawa tindakan pihak-pihak tertentu itu, hanya boleh melengahkan siasatan atau pendakwaan.

"Tetapi tidak akan menghentikan siasatan dan kes-kes yang didengari oleh mahkamah sama sekali. Contoh dalam tragedi melibatkan Tuan Kevin, kita kehilangan seorang Timbalan Pendakwa Raya yang komited dan berintegriti. Tugas dan tanggungjawab mendiang akan diambil alih oleh Timbalan Pendakwa Raya yang lain," kata beliau dalam ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Dato Sri Mohd Shukri Abdull.

Tan Sri Abu Kassim menambah: "Kepada pihak-pihak yang mahu menghalang siasatan dan kes yang dibicarakan, dunia hari ini sudah berbeza."

"Anda tidak boleh lari daripada sistem keadilan. Jangan cuba menghalang, mengganggu dan mengekang proses siasatan dan perbicaraan. You can win your battle to hide the evidence from the eye of law enforcement, but you can’t hide from the eye of the public," kata beliau lagi.

SPRM mengabadikan nama mendiang Anthony Kevin Morais, Timbalan Pendakwa Raya, yang ditemui mati dibunuh awal bulan September 2015. Beliau merupakan bekas Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM.

Majlis ini diadakan sempena sambutan Hari Ulang Tahun Penubuhan Ke-48 BPR/SPRM hari ini. Tanggal 1 Oktober adalah Hari Ulang Tahun Penubuhan Ke-48 BPR/SPRM.

Malah menurut beliau, dalam dunia hari ini, tiada tempat untuk mana-mana pihak atau individu yang mahu mengelak daripada siasatan dan pendakwaan.

"Mereka boleh mengelak daripada dikesan untuk satu tempoh tertentu – satu bulan, dua bulan, satu tahun, dua tahun, tetapi tidak selama-lamanya. Ingat, siasatan tidak akan berhenti hanya kerana ada pihak yang cuba menyembunyikan bukti atau melarikan saksi.

"Jika terbukti bersalah, mahkamah adalah tempat pengadilan kelak. Rakyat akan menilai dan menghukum anda. Tidak kira anda seorang rakyat biasa, ahli perniagaan, tokoh korporat dan pemimpin politik," katanya lagi.

Abu Kassim berkata, pegawai-pegawai penyiasat SPRM juga pernah berhadapan dengan situasi mereka ditembak, malah ada juga pegawai penyiasat SPRM yang pernah diancam, diugut dan mengalami kerosakan harta benda.

“Semasa dalam siasatan atau semasa dalam perbicaraan, pegawai-pegawai penyiasat seringkali berhadapan dengan tohmahan dan penghinaan. Situasi pahit ini hanya kami yang tahu. Saya sendiri melalui suasana ini,” ujar beliau.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Abu Zahar Ujang; Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Tan Sri Johan Jaaffar; pegawai-pegawai kanan Jabatan Peguam Negara serta ahli keluarga mendiang Kevin iaitu Charles Suresh Morais, David Ramesh Morais dan Datuk Richard Dilaan Morais.

Selain Dato' Sri Mohd Shukri, turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Hj. Mustafar Hj. Ali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan & Profesionalisme) SPRM, Dato' Mohd Jamidan Abdullah.