Wednesday, September 30, 2015

Penjara Khir Toyo, Jadikan pengajaran bukan kritik

Penjara Khir Toyo, Jadikan pengajaran bukan kritik




Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo akhirnya terpaksa merengkok di Penjara Kajang selama 12 bulan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak sebulat suara rayuannya untuk menukar hukuman itu kepada bentuk khidmat sosial dengan memberikan rawatan gigi secara percuma selama dua tahun.

Melalui keputusan mahkamah paling tinggi itu, hanya pengampunan Sultan Selangor saja lagi selepas ini yang dapat meringankan hukuman yang diterimanya itu.

Dengan tidur di penjara yang tidak pernah terduga olehnya, mungkin malam ini dan beberapa malam seterusnya Dr Khir agak sukar melelapkan mata atau hanya mampu berjaga sepanjang malam sambil mengenang nasib dirinya.

Sebagai manusia, memang kita bersimpati dengan nasib yang menimpa dirinya. Tidak bersimpati pula bermakna kita sebagai manusia sudah hilang nilai-nilai kemanusiaan itu.

Siapalah menduga daripada kedudukan yang tinggi sebagai ketua sebuah kerajaan negeri paling kaya, tiba-tiba menjadi penghuni penjara.

Namun, kita tidak boleh pula terlalu bersimpati dan kasihan sehingga menganggap perbuatan rasuah itu sebagai jenayah yang boleh dimaafkan. Dalam kehidupan dan beragama sekali pun, amalan rasuah memang amat ditegah kerana kesannya yang amat buruk kepada kehidupan serta tamadun manusia.

Oleh itu, dalam kita bersimpati kepada hukuman yang diterima Dr Khir ini, ia haruslah berpada-pada sebenarnya. Salah tetap salah dan undang-undang hendaklah dihormati.

Yang penting daripada kes Dr Khir ini ialah apakah pengajarannya kepada kita semua?

Kita semua yang dimaksudkan itu ialah pemimpin yang sedang memegang jawatan, mereka yang sedang mengejar kuasa dan sesiapa saja yang entah tiba-tiba diletakkan kuasa ke ribanya suatu hari nanti.

Kepada yang sedang gah dan megah dengan kuasa serta ghairah mengumpul kekayaan, kes Dr Khir ini seharusnya menjadi ulangan sekian banyak peringatan kepada mereka. Selain sudah banyak kes rasuah melibatkan pemimpin menjadi tontotan kita selama ini, apabila tidak lagi berkuasa, kes-kes lama juga bila-bila masa boleh diungkit semula.

Kalau mahu curi-curi makan juga, pandai-pandailah melakukannya. Tetapi sebijak mana pun melakukannya, janganlah dilupa bahawa hanya hukuman di dunia saja yang mampu dielakkan kerana di akhirat nanti, semua rakaman perbuatan kita tetap akan ditayangkan semula tanpa tapisan atau suntingan walau sedikit pun.

Kepada yang belum beroleh kuasa dan sedang mengejarnya, jadikanlah kes Dr Khir ini sebagai teladan untuk berkhidmat dengan jujur dan amanah serta takut untuk mendekati sebarang amalan rasuah.

Kita yang bukan siapa-siapa hari ini dan begitu kuat membenci rasuah, haruslah juga ingat bahawa jangan sementara belum ada kuasa saja menolak atau membenci rasuah tetapi berubah sikap apabila tiba-tiba ada kuasa dalam genggaman.

Rasuah haruslah dibenci ketika tidak ada kuasa, malah seharusnya lebih dibenci apabila mempunyai kuasa kerana rasuah semakin menggila apabila kian tinggi jawatan yang disandang.


Hari ini mungkin nasib Dr Khir Toyo, entah esok lusa barangkali nasib kita pula,  walaupun sekarang ini kita belum menjadi siapa-siapa lagi. Terlebih mustahak daripada segala-galanya ialah siapa pun kita hari ini, ambillah sedikit iktibar daripada apa yang menimpa Dr Khir ini.

SJK (T) Ladang Rinching, sekolah Tamil pertama Program Wira Anti Rasuah (WAR) bagi peringkat SJK Tamil di Negeri Selangor


SEMENYIH, 30 September 2015 - Sedang berlangsung Pelancaraaan Program Wira Anti Rasuah (WAR) bagi peringkat SJK Tamil.


SJK (T) Ladang Rinching telah terpilih sebagai sekolah Tamil pertama di Negeri Selangor bagi pelancaran program WAR ini.

Wira Anti Rasuah merupakan satu program khas bagi golongan pelajar sekolah yang dirangka khusus untuk memberi kesedaran awal mengenai pencegahan rasuah dan kepentingan integriti di kalangan generasi muda.

Guru Besar SJK(T) Ladang Rinching, Semenyih Thanaseelan a/l N. Seethapathy mengalu-alukan pemilihan sekolah berkenaan sebagai perintis awal program WAR.

Katanya, memandangkan rasuah merupakan faktor pemangkin kepada jenayah pendedahan awal pencegahan rasuah kepada murid sekolah rendah amat penting dan berguna.



Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Dato' Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata program WAR yang diadakan kali ini merupakan yang pertama di Negeri Selangor dan yang kedua di Malaysia selepas di Pulau Pinang 25 Sept lalu.

Menurutnya usaha pencegahan rasuah melalui pendidikan ini perlu dilakukan di peringkat awal lagi.

Katanya berdasarkan kajian yang lalu didapati perlunya program kesedaran di peringkaf awal pembelajaran supaya apabila tiba di peringkat Universiti lebih faham.

Bagi program WAR di peringkat sekolah rendah, murid-murid akan ditekankan kepada nilai-nilai murni.

"Kita tidak mahu apabila besar remaja terbabit dengan jenayah rasuah kerana ia merupakan satu fenomena yang membabitkan sosial masyarakat.

"Jika kita soroti sejarah, kebanyakkan kerajaan terdahulu jatuh akinat rasuah, oleh itu perlukan kesedaran dan pendidikan nilai-nilai murni disemai dikalangan murid sekolah hari ini," katanya.

Menurutnya, usaha pendedahan awal kepada murid sekolah ini diharap dapat membentuk para pelajar dalam membudayakan nilai-nilai murni dan integriti selain meningkatkan kefahaman mereka terhadap rasuah dan fungsi SPRM.

"Kita berharap melalui program sebegini dapat membantu kita menyebarluaskan maklumat mengenai pencegahan rasuah.

"Ini kerana berdasarkan statistik, sejak tahun 2010, SPRM menerima sebanyak 51 maklumat berkaitan rasuah yang berlaku di sekolah dan daripada jumlah tersebut, lima maklumat membabitkan sekolah Tamil.


Seramai 170 murid dan tenaga pengajar daripada sekolah ini terlibat pada program satu hari ini yang turut dihadiri oleh wakil Pegawai Pendidikan Daerah dan Pegawai Kanan SPRM.

Sultan Nazrin: Jaga Integriti fardu kifayah dalam melaksanakan tugas



Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan pemimpin di negara ini agar bertindak sebagai pemegang amanah yang boleh dipercayai dan menjalankan fardu kifayah serta tugas awam mereka dengan berintegriti dan bertakwa.

Baginda bertitah, pemimpin juga harus sedar kepentingan memelihara dan mengukuhkan institusi di negara ini di samping mengekalkan integriti dan kebebasannya.

“Ia menjadi sangat penting untuk mengekalkan kepercayaan suci dan awam ini, bukan sahaja dalam situasi aman tetapi terutamanya ketika tempoh krisis,” titah baginda di Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin Universiti Islam Dunia 2015, di sini, semalam.

Titah baginda, seruan tersebut sejajar dengan firman ALLAH SWT dalam surah Muhammad ayat 31 yang bermaksud: ‘Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ihwalmu’ dan surah Al-Hajj ayat 11 yang bermaksud: ‘Dan ada di antara manusia yang menyembah ALLAH dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata’.

“Apabila keadaan menjadi semakin sukar, ALLAH mengingatkan kita, bahawa kita akan mengetahui siapa yang benar-benar mempunyai integriti. Itulah ujian sebenar daripada ALLAH, ‘ujian tekanan’ terbaik untuk institusi, pengukur sebenar sama ada institusi kita boleh mengharungi badai.

“Sekiranya pemegang amanah ini gagal dalam ujiannya dan apabila al-amin tidak lagi dipercayai, sukar untuk memperoleh semula kepercayaan, integriti dan kebebasan institusi kita. Sama ada dalam bidang pendidikan, pentadbiran, kehakiman, agensi kawal selia dan penguat kuasa dan juga monarki,” titahnya.

Sementara itu, menyentuh isu pelarian Syria, baginda bertitah, negara Islam sepatutnya mencari jalan untuk membantu saudara sesama Islam.

“Beberapa minggu ini, kita menyaksikan nasib pelarian Syria yang terpaksa lari ke Eropah. Beta tersentuh dengan seorang pelarian Syria yang membandingkan  Canselor Jerman, Angela Merkel dengan Raja Habsyah, Raja Negus yang menyediakan perlindungan kepada kaum Muslimin ketika hijrah pertama pada zaman Nabi Muhammad SAW.


“Manakala, seorang lagi pelarian berkata akan memberitahu kanak-kanak Syria supaya melarikan diri ke Eropah sedangkan Makkah dan negara Islam lebih dekat dengan mereka. Beta harap ummah akan melakukan yang lebih baik dalam menangani krisis pelarian kita sendiri,” titahnya.

Cadangan EAIC Untuk Kawal Selia SPRM Tidak Relevan, Tegas Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM

KENYATAAN MEDIA RASMI LEMBAGA PENASIHAT PENCEGAHAN RASUAH(LPPR)



Cadangan EAIC Untuk Kawal Selia SPRM Tidak Relevan, Tegas Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM

Cadangan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) baru-baru supaya meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah bidang kuasa EAIC merupakan satu syor yang tidak perlu dan tidak relevan. Jawatankuasa Aduan yang bebas telah wujud untuk menangani aduan orang ramai berkaitan salah laku pegawai-pegawai SPRM.

SPRM sudah pun dipantau dengan berkesan oleh panel-panel dan jawatankuasa-jawatankuasa bebas termasuk, tambahan kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), penasihat utama dasar SPRM), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Panel Penilaian Operasi dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.

Pandangan ini mengambil kira kewujudan beberapa lapisan pemantauan bebas yang komprehensif, merangkumi setiap aspek operasi SPRM termasuk keprihatinan orang ramai mengenai sebarang tingkah laku profesional yang tidak beretika pegawai agar diawasi sepanjang masa dan ditangani sebagai bahagian yang fundamental demi memastikan pematuhan standard perlakuan perkhidmatan awam yang tinggi, dan juga selari dengan pematuhan ketat peruntukan Akta SPRM 2009.

TUNKU ABDUL AZIZ TUNKU IBRAHIM
PENGERUSI
Untuk dan bagi pihak Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM
30 SEPTEMBER 2015

Tolak duit kopi



Jika anda melalui jalan raya sekitar Putrajaya, anda akan menemukan mesej antirasuah dipaparkan pada papan iklan elektronik.

Mesej ini sebenarnya membawa erti yang mendalam buat semua.

Diluar sana, ramai yang bercakap mengenai rasuah secara kecil-kecilan yang disebut sebagai duit kopi.

Misalnya, ada cerita-cerita yang mengatakan terdapat segelintir pihak yang 'menghalalkan' jenayah ini disebabkan ‘duit kopi  itu memudahkan pergerakan urusan sesuatu permohonan.

Lebih malang lagi, ada yang menghulurkan duit kopi itu menyebut: ‘‘Mereka juga nak cari makan. Bagi mereka apalah sangat ‘pelincir’ yang kecil itu jika urusan boleh diselesaikan dalam masa yang singkat dan pantas. Tidak membuang masa menunggu terlalu lama dan sebagainya.

Satu perkara lagi, kebanyakan daripada kita mengambil sikap malas untuk membuat aduan mengenai apa juga kepincangan yang berlaku. Tidak kiralah dalam sektor kerajaan atau swasta.

Mereka tidak sanggup ulang-alik memberi keterangan apabila kes ini dibuka. Ya, mungkin kos untuk ke pejabat memberi keterangan dan sebagainya lebih besar daripada jumlah ‘duit kopi’ yang diberi.


Jika inilah situasinya, Maka, transfomasi diri anda. Tolak duit kopi!

Tuesday, September 29, 2015

Bekas PT D7 berpangkat Supritenden dipenjara 8 tahun



PUTRAJAYA - Seorang pegawai kanan polis berpangkat supritendan yang didapati bersalah melakukan aktiviti pengubahan wang haram, terpaksa melalui tempoh yang lama di dalam penjara selepas Mahkamah Rayuan meningkatkan kepada lapan tahun dan mengekalkan denda, RM1.75 juta atau enam bulan penjara.    
   
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Balia Yusof Wahi selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan pembebasan Azmi Osman, 60, dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabitkannya atas empat pertuduhan.
   
Pada 2011, Mahkamah Sesyen memutuskan Azmi bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan dan dia didenda RM7.5 juta bagi kesalahan yang dilakukan antara 2002 dan 2005. Hakim memerintahkan Azmi menjalani hukuman itu secara serentak.
   
Keputusan hari ini, Balia, mengekalkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan tetapi mengarahkan Azmi menjalani hukuman itu secara berasingan, bermakna dia perlu menjalani hukuman penjara selama lapan tahun.
   
Azmi yang dibenar diikat jamin sementara menunggu rayuannya, menjalani hukuman penjara itu mulai hari ini.


Hakim dalam keputusannya berkata tempoh penjara yang diputuskan Mahkamah Sesyen adalah jelas tidak memadai, asasnya cacat dan melanggar dasar hukuman, mengambil kira kesalahan aktiviti pengubahan wang haram adalah kesalahan serius.    
    
Balia berkata ia membabitkan wang tunai RM3.8 juta dan nilai aset Azmi yang disita RM6 juta yang kesemuanya berjumlah RM9 juta.
    
Beliau bagaimanapun mengekalkan denda RM1.75 juta dan jika gagal membayar denda dikenakan penjara enam bulan.
    
Balia berkata Azmi melakukan kesalahan itu dari 2002 hingga 2005 dan ia tidak boleh dianggap sebagai transaksi yang sama untuk membenarkan hukuman penjara itu berjalan serentak.    
    
Sementara itu, panel yang sama, dianggotai Hakim Datuk Rohana Yusof dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim menolak rayuan Azmi berhubung perintah Mahkamah Tinggi mengenai notis pihak ketiga dan pelucutan harta di bawah Seksyen 55 dan 61 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).
    
Seksyen itu menyatakan mahkamah yang mengeluarkan perintah pelucutan itu hendaklah menyiarkan suatu notis yang digazetkan memanggil mana-mana pihak ketiga yang menuntut, yang mempunyai apa-apa kepentingan mengenai harta itu supaya hadir di mahkamah pada tarikh dinyatakan dalam notis itu untuk menunjukkan sebab mengapa harta itu tidak dilucutkan.
    
Azmi yang digantung tugas, didakwa melakukan empat kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM3.8 juta ketika berkhidmat sebagai Pegawai Turus di Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Johor.



Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa menerima RM2.08 juta dan RM679,850 hasil aktiviti pengubahan wang haram melalui akaun semasanya di bank Malayan Banking Bhd di Mentakab, Pahang antara 6 Feb dan 20 Dis 2002 serta 15 Jan dan 2 Okt 2003.
  
 Bagi pertuduhan ketiga dan keempat dia didakwa menerima wang hasil aktiviti sama RM941,930 dan RM250,000 melalui sebuah lagi akaunnya di Malayan Banking di pusat membeli-belah City Square, Johor Baharu masing-masing pada 13 Jan hingga 17 Nov 2004 dan 5 April 2005.
    
Azmi dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat tuduhan itu oleh Mahkamah Sesyen di akhir kes pendakwaan pada 7 Jan 2011, bagaimanapun Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan itu dan mengarahkan dia membela diri terhadap pertuduhan tersebut.
    
Pada 27 Ogos 2012, Mahkamah Sesyen mensabitkan kesalahannya dan menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan dan dia didenda RM1.75 juta.



Bagaimanapun mahkamah memerintahkan dia menjalani hukuman itu serentak.
    
Azmi mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi dan mahkamah mengetepikan hukuman Mahkamah Sesyen dan membebaskannya daripada empat pertuduhan itu menyebabkan pihak pendakwaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.
    
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis dan Mohd Farez Rahman manakala Azmi diwakili peguam Adam Yap dan C.N. Sritharan. - Bernama

Khir Toyo dipenjara 12 bulan

PUTRAJAYA 29 Sept. - Dr. Mohamad Khir Toyo yang didapati bersalah mendapatkan untuk dirinya dan isteri hartanah bernilai jutaan ringgit, gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan agar dia dibenar menawarkan khidmat masyarakat menerusi rawatan pergigian percuma kepada golongan miskin.


MOHAMAD KHIR TOYO ketika di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, semalam.
Mohamad Khir gagal menggantikan hukuman penjara setahun dengan khidmat masyarakat iaitu menawarkan rawatan pergigian percuma sebanyak tiga kali seminggu untuk tempoh antara setahun hingga kedua tahun seperti yang dicadangkan sebelum ini.

Sebaliknya, mahkamah tertinggi negara memerintahkan bekas Menteri Besar Selangor itu menjalani hukuman penjara setahun bermula hari ini terhadap kesalahan yang dilakukannya lapan tahun lalu.

Panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin memutuskan demikian secara sebulat suara selepas berpuas hati bahawa khidmat masyarakat hanya sesuai untuk pesalah muda berdasarkan peruntukkan Seksyen 293 Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau turut kehilangan hartanah tersebut iaitu dua lot tanah dan sebuah banglo selepas panel bersidang mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember 2011 yang mengarahkan perayu dilucutkan hak ke atasnya dan diserahkan kepada kerajaan.

Sejurus mahkamah selesai bersidang kira-kira pukul 2.20 petang, Mohamad Khir, 50, yang diiringi isteri, Zahrah Kechik, 50, dilihat berada dalam keadaan tenang ketika berbincang seketika bersama sekumpulan peguamnya yang dike­tuai oleh Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.

Sebelum dibawa oleh beberapa anggota polis bertugas ke lokap mahkamah, Mohamad Khir sempat mengucapkan ‘Terima Kasih semua’ kepada ahli keluarga dan para penyokong yang memenuhi galeri awam bagi mengikuti keputusan rayuan akhirnya.

Doktor gigi itu kemudian dihantar ke Penjara Kajang menaiki kereta polis dan dilihat meninggalkan perkarangan mahkamah pada pukul 2.52 petang.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sungai Panjang itu merupakan Menteri Besar Selangor kedua yang diperintah menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkaitan rasuah selepas Datuk Harun Idris, hampir 40 tahun lalu.

Harun yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO didapati bersalah atas beberapa tuduhan rasuah termasuk menerima sogokan wang untuk pembinaan Bangunan Hong Kong and Shanghai Bank Corporation di Benteng, di ibu negara.

Ketika menyampaikan keputusan tersebut, Hakim Zulkefli berkata, pemenjaraan merupakan hukuman yang paling sesuai dijatuhkan terhadap Mohamad Khir kerana didapati mengambil kesempatan atas kedudukannya selaku ketua eksekutif negeri.

Beliau yang mengetuai panel lima hakim bersidang berpendapat, perayu memperoleh hartanah berharga daripada individu melalui pertimbangan yang diketahuinya tidak memadai yang mana ia mempunyai kaitan dengan tugas rasmi­nya selaku penjawat awam.

Hakim Zulkefli yang turut bersidang bersama Tan Sri Ahmad Ma­arop, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Ramly Ali menekankan, Seksyen 165 Kanun Keseksaan digubal bertujuan untuk mencegah rasuah pada semua peringkat dan tidak boleh dibiarkan berleluasa.

“Hukuman denda mahupun khid­mat masyarakat tidak akan memberi mesej kepada orang awam bahawa mahkamah tidak bertolak ansur terhadap kesalahan melibatkan rasuah,” ujar beliau.

Menurut beliau, kesalahan yang dilakukan oleh Mohamad Khir menghancurkan keyakinan masyarakat terhadap kerajaan.
Hakim Zulkefli selanjutnya berkata, hukuman penjara itu tidak keterlaluan dan tidak dirayu oleh pihak pendakwaan.

Dalam keputusannya, Hakim Zulkefli turut berpuas hati bahawa perintah pelucutan hak hartanah tersebut dilakukan berlandaskan undang-undang yang mewajibkan harta dilucut hak selepas sabitan.

Bagaimanapun, pelucutanhak tersebut tertakluk kepada gadaian atau pajakan yang dibuat kepada pihak bank ketika mendapatkan hartanah berkenaan.

Mohamad Khir didapati bersalah mendapatkan untuk dirinya dan isteri hartanah tersebut yang bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta.

Beliau mendapatkan hartanah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam daripada Ditamas Sdn. Bhd. melalui Pengarahnya, Shamsuddin Hayroni dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta.

Mohamad Khir merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 30 Mei 2013 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi mensabitkannya atas tuduhan tersebut serta menjatuhkan hukuman penjara ke atasnya.

Mohamad Khir melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 pada 29 Mei 2007.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/khir-toyo-tetap-dijel-1.141302#sthash.MLim18hG.dpuf

Monday, September 28, 2015

Masukkan SPRM bawah seliaan EAIC

KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar dimasukkan sebagai satu daripada agensi penguat kuasa yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md Sam berkata, di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700), EAIC berperanan menerima dan membuat siasatan ke atas aduan orang awam berkaitan salah laku pegawai penguatkuasaan dan agensi penguatkuasaan di bawah jadual Akta 700.

"Walaupun SPRM mempunyai jawatankuasa mereka untuk memantau perjalanan SPRM, tapi kes kematian orang tahanan atau orang disiasat semasa berada  dalam siasatan SPRM adalah di luar bidang kuasa SPRM untuk menyiasat. 

"Siasatan berkaitan kematian orang tahanan hanya diberi kepada polis di bawah Kanun Tatacara Jenayah," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Dialog EAIC Bersama 21 Agensi Penguatkuasaan Seliaan Zon Pantai Timur di sini hari ini.

Yaacob berkata, Akta 700 yang diberikan kuasa kepada EAIC membolehkan pihaknya menyiasat kes berkaitan orang tahanan semasa mereka berada dalam tahanan atau siasatan oleh agensi penguatkuasaan.

Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada 2011, pihaknya menerima 1,816 aduan setakat 21 Sept tahun ini dan daripada jumlah itu, sebanyak 132 siasatan penuh telah selesai dijalankan bagi aduan yang berasas. 

"Secara purata, lebih kurang 90 peratus aduan yang disiasat penuh telah dibuat keputusan dan ada aduan yang tidak disiasat penuh kerana didapati tidak berasas," katanya. - Bernama

Apa hukuman Khir Toyo?

PUTRAJAYA - Adakah bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo akan lepaskan dan diperintahkan supaya menjalani program khidmat masyarakat sebagai menggantikan hukuman penjara?

Persoalan ini akan terjawab esok (hari ini) apabila Mahkamah Persekutuan menjatuhi hukuman ke atas Dr Mohamad Khir, 50. Mahkamah dijangka membuat keputusan itu pada 1.30 tengah hari.

Pada 22 September, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin mengekalkan sabitan  terhadap Dr Mohamad Khir tetapi menangguhkan keputusannya berkaitan hukuman kepada 29 September.‎

Dr Mohamad Khir, bapa enam anak, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapatinya bersalah dan menjatuhi hukuman penjara 12 bulan atas pertuduhan menggunakan kuasanya untuk memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam pada 2007.

Mahkamah Persekutuan turut mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi supaya hartanah terbabit dilucuthak dan diserahkan kepada kerajaan.

Doktor gigi itu membawa kesnya ke Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya pada 30 Mei 2013.

Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Dr Mohamad Khir bersalah kerana memperoleh untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni.

Hartanah itu dibeli pada harga RM3.5 juta sedangkan Ditamas membayar RM6.5 juta untuk hartanah itu pada 23 Disember 2004.  

Bekas Adun Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007. 

Dr Mohamad Khir, yang merupakan menteri besar dari Ogos 2000 hingga Februari 2008, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan  hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selasa lepas, semasa merayu agar hukuman diringankan, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Dr Mohamad Khir, memohon mahkamah  supaya tidak menjatuhi hukuman penjara terhadap anak guamnya, sebaliknya mengenakan denda atau memerintahkannya supaya melaksanakan program khidmat  masyarakat.

Muhammad Shafee memperjelaskan bahawa anak guamnya memberi jaminan bahawa beliau bersedia untuk melaksanakan khidmat masyarakat bagi tempoh yang ditetapkan oleh mahkamah dengan memberi perkhidmatan pergigian percuma kepada penduduk miskin.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar pula berkata program khidmat masyarakat tidak sesuai bagi kesalahan seperti itu.

Ini kali pertama program khidmat masyarakat dicadangkan sebagai menggantikan hukuman penjara bagi kesalahan seperti itu. - Bernama

Kematian Morais dapat dielak jika khalayak bersikap peduli, kata penganalisis

Penculikan Kevin Morais sewaktu masa puncak trafik pada satu pagi Jumaat mempamerkan sikap tidak peduli di kalangan rakyat Malaysia, kata Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan penganalisis jenayah.
Mereka sependapat insiden tersebut sewajarnya menjadi teladan kepada khalayak agar lebih curiga dengan sebarang situasi yang kelihatan mencurigakan.
Menurut mereka, sikap orang ramai yang tidak acuh dengan peristiwa timbalan pendakwa raya itu dipaksa masuk ke dalam kereta suspek amat "mengejutkan" dan seorang daripada penganalisis berpendapat orang ramai sebenarnya turut sama “bersalah” dalam kematian Morais.
Rakaman menunjukkan banyak kereta melintasi tempat kejadian berlaku malahan satu kereta Toyota Estima kelihatan berhenti bagi meninjau kejadian dengan lebih dekat.
Naib Pengerusi MCPF Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tindakan pantas saksi kejadian mungkin boleh membantu mengesan Morais dan menyelamatkan nyawanya.
"Ia amat mengejutkan tiada seorang pun bersikap ingin tahu bagi melihat kejadian dengan lebih teliti dan jika pun mereka melihatnya tetapi tidak melaporkannya, ia amat menyedihkan.
"Sekurang-kurangnya kita boleh mengharapkan mereka merakam gambar kenderaan suspek atau mencatit nombor pendaftaran kenderaan," kata Lee.
Penganalisis jenayah dan pakar psikologi Universiti Sains Malaysia, Dr Geshina Ayu Mat Saat mempunyai pandangan lebih keras - menurutnya, orang ramai yang melihat kejadian tetapi tidak berbuat apa-apa seolah-olah turut bersubahat dengan penculikan dan pembunuhan Morais.
"Ia amat menyayat hati apabila di jalan raya yang sesak dan sibuk sebegitu, tiada sesiapa pun berbuat apa-apa. Mereka patut berasa malu.
"Alasan seperti enggan terbabit atau ia bukan masalah mereka tidak patut lahir dalam hati mereka, terutamanya sewaktu satu penculikan berlaku dan ia membawa kepada pembunuhan kejam Kevin Morais.
"Bukan susah sangat pun menghubungi polis. Ia boleh dilakukan tanpa memberikan nama pemanggil. Dengan tidak berbuat apa-apa, ia samalah juga seperti menanggung salah membiarkan seseorang lain diculik dan dibunuh" katanya.
Menurutnya, tidak mustahil suatu hari nanti perkara sama menimpa mereka yang melihat kejadian itu tetapi tidak berbuat apa-apa.
Morais, 55, memandu kereta Proton Perdana kelabu milik kerajaan di Jalan Dutamas, Kuala Lumpur apabila kenderaannya dirempuh dari belakang pada jam 7.50 pagi 4 September lalu.
Mayatnya ditemui 12 hari kemudian dalam tong dram yang berisi simen di kawasan paya di Subang Jaya, Selangor.
Penganalisis jenayah Universiti Sains Malaysia (USM) Dr P. Sundramoorthy bagaimanapun mempunyai pandangan yang sedikit berbeza berhubung insiden itu.
Menurutnya, ia bukan semestinya bermakna orang ramai tidak acuh terhadap kejadian itu tetapi boleh jadi, mereka tidak menumpukan perhatian kepada kejadian di sekeliling mereka.
"Boleh jadi mereka tidak sedar perkara yang baru sahaja disaksikan mereka itu sangat mustahak dalam mencegah sesuatu jenayah daripada berlaku dan dalam hal ini, mungkin ramai yang tidak menumpukan perhatian kerana mereka menggunakan laluan itu setiap hari.
"Jadi saya tidaklah begitu terkejut jika tiada laporan dibuat terhadap insiden itu. Ia berlaku dalam beberapa saat sahaja," katanya.
Menurut Sundramoorthy lagi, orang ramai sekarang ini juga cenderung merakam insiden seperti kemalangan menerusi telefon bimbit mereka tetapi gagal berkongsi rakaman itu dengan pihak berkuasa.
Morais bertugas di Jabatan Peguam Negara dan merupakan timbalan ketua bahagian perbicaraan dan rayuan.
Beliau dipinjamkan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama 10 tahun dan dipindahkan semula ke Jabatan Peguam Negara Julai tahun lalu.
Sewaktu di SPRM, Morais mendakwa seorang doktor tentera berpangkat kolonel yang bertugas di makmal patologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan atas tuduhan rasuah dalam bulan Disember 2013.
Doktor itu dan beberapa individu lain ditahan dalam siasatan kes culik dan bunuh Morais.
Keluarga Morais sudah memulakan majlis memperingatinya namun jenazahnya masih berada di rumah mayat Hospital Kuala Lumpur. – 25 September, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kematian-morais-dapat-dielak-jika-khalayak-bersikap-peduli-kata-penganalisi#sthash.eBD0RIDT.dpuf

Sunday, September 27, 2015

3 Sabah JPN Officials held


KOTA KINABALU - Three Sabah National Registration Department (JPN) officials - one of them believed holdintg a senior rank - have been arrested and remanded for suspected involvement in a syndicate offering MyKad to illegal immigrants.

It is understood that the Sabah Department Director also had his statement taken by Malaysian Anti-Corruption Agency officials on the matter on Friday. However, the Sabah JPN Director could not be reached for comments.

Daily Express understands that the three were brought before Magistrate Cyndi McJuce who allowed the remand for seven days, Saturday. They were seen escorted to the lock-up by the MACC officials at 9:30am.


Also with the three officials was a middleman whose remand order expired on Saturday. The suspect who owns a chain of Indian Muslim restaurants in Sandakan was picked up on Sept. 17.

It was understood that the middleman would inquire from illegals interested in acquiring MyKads at RM5,000 each and the particulars would be forwarded to the three JPN officials for the identification document to be processed.

It is not known how many MyKads might have been issued this way or how long the scam was going on but it came to light when a dispute arose between the middlemen and the JPN officials, recently, over the applications by three foreigners suspected to be Filipinos.

It is also understood that the JPN officials immediately deleted the particulars of the foreigners from the system when the matter came to the knowledge of their higher ups.

The issuance of identification documents had always been blamed on syndicates and this is the first time that high-ranking JPN officials based in Kota Kinabalu have been directly implicated.


SPRM nafi tidak siasat DEIG

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil tindakan proaktif untuk menemubual beberapa saksi serta mengambil dokumen berkaitan sebaik sahaja isu penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) dilaporkan media pada 19 Ogos lalu.

SIMI ABDUL GHANI
Pengarah SPRM Selangor, Datuk Simi Abdul Ghani berkata, setakat ini, SPRM tidak menemui sebarang kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan tidak bercadang mengambil tindakan selanjutnya.

“Bagaimanapun, sekiranya terdapat maklumat baharu yang mempunyai asas di bawah kesalahan Akta SPRM 2009, pihak SPRM bersedia mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini menerusi ruangan Awang Selamat membangkitkan persoalan mengapa SPRM belum menyiasat isu pemindahan aset kerajaan PKR Selangor sebanyak RM30 bilion kepada DEIG, di bawah pimpinan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

Hal itu dibangkitkan kerana ada tanggapan SPRM kurang berani menyiasat pemimpin pembangkang berbanding pemimpin kerajaan.

Simi menafikan tanggapan mana-mana pihak yang pihaknya tidak mengambil sebarang tindakan terhadap kes berkenaan.

Sementara itu, berhubung isu zakat yang dikaitkan dengan DEIG, Simi berkata, SPRM telah menjalankan siasatan sejak Julai lalu dan masih berterusan sehingga kini.

Beberapa portal media sebelum ini mendakwa kerajaan negeri menerusi DEIG mengagihkan bantuan zakat RM5 juta tanpa melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/politik/sprm-nafi-tidak-siasat-deig-1.140659#sthash.FF4550sr.dpuf

SJK (T) Subramaniya Barathee rintis program Wira Antirasuah



Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Subramaniya Barathee di Gelugor, Pulau Pinang dipilih oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai perintis program Wira Antirasuah (WAR) untuk sekolah tamil pada tahun ini.

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Samarajoo Manikam berkata, program ini adalah pendekatan yang terbaik dalam konteks pendidikan bagi menimbulkan kesedaran tentang bahaya amalan rasuah dan mendidik pelajar untuk menjauhi gejala itu.

“Program WAR ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar supaya mereka dapat menyebarkan mesej antirasuah serta menggalakkan generasi muda bergiat aktif dalam menggerakkan program integriti dan pencegahan rasuah demi mencapai wawasan negara.

“Melalui program seumpama ini, SPRM dan sekolah akan menjadi perantara dalam bergiat untuk membasmi rasuah pada masa yang akan datang,” katanya ketika berucap melancarkan program itu, baru-baru ini.

WAR merupakan satu aktiviti SPRM untuk mendidik pelajar secara sistematik agar membenci ra­suah dan membesar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, amanah serta ikhlas.

Dalam program selama tiga jam itu, murid tahun 4, 5 dan 6 membuat pembentangan secara berkumpulan berkaitan rasuah.

Sumber : http://www.utusan.com.my/pendidikan/sjk-t-subramaniya-barathee-rintis-program-wira-antirasuah-1.140522#sthash.KimhfmzJ.dpuf

Monday, September 21, 2015

Derma itu rasuah? Di mana sempadan?

KENYATAAN yang dibuat Datuk Mustafar Ali, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, yang menerangkan hubungan antara derma dan rasuah adalah betul dan kenyataan itu dibuat tanpa mengaitkan dengan isu yang sedang disiasat.

Malah, tidak berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Apa yang dikongsi oleh Datuk Mustafar hanya satu penjelasan teknikal dan undang-undang mengenai derma dan keadaan di mana suatu kesalahan rasuah telah dikomited.

Komen oleh orang ramai mengenai apa yang telah dikatakan oleh Datuk Mustafar juga ada kebetulannya di mana sumbangan boleh menjadi satu kesalahan, dan sama sekali tidak bercanggah dengan kenyataan Datuk Mustafar.

Dalam lunas perundangan, ruang lingkup yang mengetengahkan pelbagai definisi adalah penting dalam memberi maksud sebenar istilah-istilah spesifik yang boleh memberi kesan.

Seterusnya adalah bidang kuasa agensi penguatkuasaan undang-undang, senarai kesalahan dan juga hukumannya.

Apabila kita merujuk kepada kesalahan, tafsiran literal tidak kena pada tempatnya, dan apa yang penting adalah ramuan yang menentukan kesalahan yang dilakukan.

Ini bermakna terdapat beberapa elemen yang menjadikan apa juga kesalahan.

Dalam Akta SPRM 2009, ciri-ciri sumbangan disenaraikan dalam Seksyen 3, di bawah ruang ringkap yang mentafsirkan suapan.

Tafsiran bermakna bahawa istilah yang digunakan perlu dibaca bersama-sama dengan unsur-unsur yang menjadi satu kesalahan di bawah Akta SPRM 2009. Pautan berkaitan pula adalah tentang bentuk kesalahan.

Terutamanya apabila merujuk kepada kesalahan teras iaitu di Seksyen 16 dan 17.

Justeru, adalah penting untuk mengesan ramuan kesalahan itu atau dalam aksi persekitaran yang membentuk kesalahan yang dilakukan.

Jika dilihat secara mendalam, di bawah tafsiran mengenai suapan, item (a) menyenaraikan wang, derma, alang, pinjaman, fi, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, faedah kewangan, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain (ada tujuh perkara, tetapi saya akan hanya rujuk kepada perkara ini selaras dengan perkataan yang menjadi isu sekarang).

Pada dasarnya bermakna senarai istilah ini adalah kemungkinan elemen yang wujud dalam urus niaga jenayah rasuah.

Suatu elemen hanya akan dianggap sebagai alat perlakuan rasuah dalam keadaan di mana kesalahan rasuah telah dikenal pasti berdasarkan lunas undang-undang.

Sehingga itu, sebagaimana ditegaskan oleh semangat undang-undang, seseorang itu tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah, mana-mana daripada perkara yang disenaraikan, termasuk derma, tidak bersalah sehingga derma terbabit terbukti sebagai alat perlakuan rasuah apabila dibuktikan bersama elemen-elemen yang lain.

Apa pula komponen lain yang perlu dibuktikan untuk memenuhi kesalahan rasuah selain derma sendiri.

Dalam keadaan ini, Seksyen 16 dan 17 menyediakan peruntukan berikut:

1. Mana-mana orang yang bertindak bertentangan dengan urusan/tugas prinsipal masing-masing, termasuk sebagai seorang penjawat awam dan ahli badan awam.

2. Mempengaruhi urusan membuat keputusan (untuk melaksanakan atau tidak melaksanakan) di mana kemungkinan besar akan membawa kepada pelanggaran undang-undang, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan, dan prosedur.

3. Item terbabit bertindak sebagai dorongan, sokongan atau memberi ganjaran kepada individu.

4. Item yang diterima adalah untuk manfaat atau keuntungan individu sama ada secara peribadi, untuk keluarga atau rakan-rakan/sekutu.

Kesemua di atas merujuk kepada seseorang itu telah melakukan satu kesalahan dengan niat rasuah iaitu melakukan perbuatan dengan mengetahui bahawa apa yang dilakukan itu adalah salah.

Dalam siasatan yang sedang dikendalikan oleh SPRM, yang melibatkan SRC International dan dana RM2.6 bilion, SPRM setakat ini telah menyatakan bahawa RM2.6 bilion itu bukan daripada akaun 1MDB dan bahawa, ia adalah daripada penderma. Lebih-lebih lagi, SPRM telah menyatakan bahawa ia sedang meneruskan siasatan untuk menentukan tujuan sumbangan itu, bermakna siasatan masih berterusan.

Maka, adalah wajar dan bertindak secara profesional dengan membolehkan SPRM melengkapkan siasatan tanpa didesak oleh mana-mana pihak.

Orang ramai ingin melihat hasilnya. Namun begitu, kita tidak boleh membuat pertimbangan awal.

Sebaliknya perlu memberi ruang kepada agensi-agensi penguat kuasa undang-undang seperti SPRM untuk menjalankan siasatan secara profesional, bebas dan berkesan.


* Lim Chee Wee, ahli Panel Penilaian Operasi, badan bebas yang memantau perjalanan SPRM

http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/derma-itu-rasuah-di-mana-sempadan-1.433239