PUTRAJAYA 29 Sept. - Dr. Mohamad Khir Toyo yang didapati bersalah mendapatkan untuk dirinya dan isteri hartanah bernilai jutaan ringgit, gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan agar dia dibenar menawarkan khidmat masyarakat menerusi rawatan pergigian percuma kepada golongan miskin.
Mohamad Khir gagal menggantikan hukuman penjara setahun dengan khidmat masyarakat iaitu menawarkan rawatan pergigian percuma sebanyak tiga kali seminggu untuk tempoh antara setahun hingga kedua tahun seperti yang dicadangkan sebelum ini.
Sebaliknya, mahkamah tertinggi negara memerintahkan bekas Menteri Besar Selangor itu menjalani hukuman penjara setahun bermula hari ini terhadap kesalahan yang dilakukannya lapan tahun lalu.
Panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin memutuskan demikian secara sebulat suara selepas berpuas hati bahawa khidmat masyarakat hanya sesuai untuk pesalah muda berdasarkan peruntukkan Seksyen 293 Kanun Tatacara Jenayah.
Beliau turut kehilangan hartanah tersebut iaitu dua lot tanah dan sebuah banglo selepas panel bersidang mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember 2011 yang mengarahkan perayu dilucutkan hak ke atasnya dan diserahkan kepada kerajaan.
Sejurus mahkamah selesai bersidang kira-kira pukul 2.20 petang, Mohamad Khir, 50, yang diiringi isteri, Zahrah Kechik, 50, dilihat berada dalam keadaan tenang ketika berbincang seketika bersama sekumpulan peguamnya yang diketuai oleh Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.
Sebelum dibawa oleh beberapa anggota polis bertugas ke lokap mahkamah, Mohamad Khir sempat mengucapkan ‘Terima Kasih semua’ kepada ahli keluarga dan para penyokong yang memenuhi galeri awam bagi mengikuti keputusan rayuan akhirnya.
Doktor gigi itu kemudian dihantar ke Penjara Kajang menaiki kereta polis dan dilihat meninggalkan perkarangan mahkamah pada pukul 2.52 petang.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sungai Panjang itu merupakan Menteri Besar Selangor kedua yang diperintah menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkaitan rasuah selepas Datuk Harun Idris, hampir 40 tahun lalu.
Harun yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO didapati bersalah atas beberapa tuduhan rasuah termasuk menerima sogokan wang untuk pembinaan Bangunan Hong Kong and Shanghai Bank Corporation di Benteng, di ibu negara.
Ketika menyampaikan keputusan tersebut, Hakim Zulkefli berkata, pemenjaraan merupakan hukuman yang paling sesuai dijatuhkan terhadap Mohamad Khir kerana didapati mengambil kesempatan atas kedudukannya selaku ketua eksekutif negeri.
Beliau yang mengetuai panel lima hakim bersidang berpendapat, perayu memperoleh hartanah berharga daripada individu melalui pertimbangan yang diketahuinya tidak memadai yang mana ia mempunyai kaitan dengan tugas rasminya selaku penjawat awam.
Hakim Zulkefli yang turut bersidang bersama Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Ramly Ali menekankan, Seksyen 165 Kanun Keseksaan digubal bertujuan untuk mencegah rasuah pada semua peringkat dan tidak boleh dibiarkan berleluasa.
“Hukuman denda mahupun khidmat masyarakat tidak akan memberi mesej kepada orang awam bahawa mahkamah tidak bertolak ansur terhadap kesalahan melibatkan rasuah,” ujar beliau.
Menurut beliau, kesalahan yang dilakukan oleh Mohamad Khir menghancurkan keyakinan masyarakat terhadap kerajaan.
Hakim Zulkefli selanjutnya berkata, hukuman penjara itu tidak keterlaluan dan tidak dirayu oleh pihak pendakwaan.
Dalam keputusannya, Hakim Zulkefli turut berpuas hati bahawa perintah pelucutan hak hartanah tersebut dilakukan berlandaskan undang-undang yang mewajibkan harta dilucut hak selepas sabitan.
Bagaimanapun, pelucutanhak tersebut tertakluk kepada gadaian atau pajakan yang dibuat kepada pihak bank ketika mendapatkan hartanah berkenaan.
Mohamad Khir didapati bersalah mendapatkan untuk dirinya dan isteri hartanah tersebut yang bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta.
Beliau mendapatkan hartanah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam daripada Ditamas Sdn. Bhd. melalui Pengarahnya, Shamsuddin Hayroni dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta.
Mohamad Khir merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 30 Mei 2013 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi mensabitkannya atas tuduhan tersebut serta menjatuhkan hukuman penjara ke atasnya.
Mohamad Khir melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 pada 29 Mei 2007.
No comments:
Post a Comment