KENYATAAN yang dibuat Datuk Mustafar Ali, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, yang menerangkan hubungan antara derma dan rasuah adalah betul dan kenyataan itu dibuat tanpa mengaitkan dengan isu yang sedang disiasat.
Malah, tidak berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Apa yang dikongsi oleh Datuk Mustafar hanya satu penjelasan teknikal dan undang-undang mengenai derma dan keadaan di mana suatu kesalahan rasuah telah dikomited.
Komen oleh orang ramai mengenai apa yang telah dikatakan oleh Datuk Mustafar juga ada kebetulannya di mana sumbangan boleh menjadi satu kesalahan, dan sama sekali tidak bercanggah dengan kenyataan Datuk Mustafar.
Dalam lunas perundangan, ruang lingkup yang mengetengahkan pelbagai definisi adalah penting dalam memberi maksud sebenar istilah-istilah spesifik yang boleh memberi kesan.
Seterusnya adalah bidang kuasa agensi penguatkuasaan undang-undang, senarai kesalahan dan juga hukumannya.
Apabila kita merujuk kepada kesalahan, tafsiran literal tidak kena pada tempatnya, dan apa yang penting adalah ramuan yang menentukan kesalahan yang dilakukan.
Ini bermakna terdapat beberapa elemen yang menjadikan apa juga kesalahan.
Dalam Akta SPRM 2009, ciri-ciri sumbangan disenaraikan dalam Seksyen 3, di bawah ruang ringkap yang mentafsirkan suapan.
Tafsiran bermakna bahawa istilah yang digunakan perlu dibaca bersama-sama dengan unsur-unsur yang menjadi satu kesalahan di bawah Akta SPRM 2009. Pautan berkaitan pula adalah tentang bentuk kesalahan.
Terutamanya apabila merujuk kepada kesalahan teras iaitu di Seksyen 16 dan 17.
Justeru, adalah penting untuk mengesan ramuan kesalahan itu atau dalam aksi persekitaran yang membentuk kesalahan yang dilakukan.
Jika dilihat secara mendalam, di bawah tafsiran mengenai suapan, item (a) menyenaraikan wang, derma, alang, pinjaman, fi, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, faedah kewangan, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain (ada tujuh perkara, tetapi saya akan hanya rujuk kepada perkara ini selaras dengan perkataan yang menjadi isu sekarang).
Pada dasarnya bermakna senarai istilah ini adalah kemungkinan elemen yang wujud dalam urus niaga jenayah rasuah.
Suatu elemen hanya akan dianggap sebagai alat perlakuan rasuah dalam keadaan di mana kesalahan rasuah telah dikenal pasti berdasarkan lunas undang-undang.
Sehingga itu, sebagaimana ditegaskan oleh semangat undang-undang, seseorang itu tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah, mana-mana daripada perkara yang disenaraikan, termasuk derma, tidak bersalah sehingga derma terbabit terbukti sebagai alat perlakuan rasuah apabila dibuktikan bersama elemen-elemen yang lain.
Apa pula komponen lain yang perlu dibuktikan untuk memenuhi kesalahan rasuah selain derma sendiri.
Dalam keadaan ini, Seksyen 16 dan 17 menyediakan peruntukan berikut:
1. Mana-mana orang yang bertindak bertentangan dengan urusan/tugas prinsipal masing-masing, termasuk sebagai seorang penjawat awam dan ahli badan awam.
2. Mempengaruhi urusan membuat keputusan (untuk melaksanakan atau tidak melaksanakan) di mana kemungkinan besar akan membawa kepada pelanggaran undang-undang, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan, dan prosedur.
3. Item terbabit bertindak sebagai dorongan, sokongan atau memberi ganjaran kepada individu.
4. Item yang diterima adalah untuk manfaat atau keuntungan individu sama ada secara peribadi, untuk keluarga atau rakan-rakan/sekutu.
Kesemua di atas merujuk kepada seseorang itu telah melakukan satu kesalahan dengan niat rasuah iaitu melakukan perbuatan dengan mengetahui bahawa apa yang dilakukan itu adalah salah.
Dalam siasatan yang sedang dikendalikan oleh SPRM, yang melibatkan SRC International dan dana RM2.6 bilion, SPRM setakat ini telah menyatakan bahawa RM2.6 bilion itu bukan daripada akaun 1MDB dan bahawa, ia adalah daripada penderma. Lebih-lebih lagi, SPRM telah menyatakan bahawa ia sedang meneruskan siasatan untuk menentukan tujuan sumbangan itu, bermakna siasatan masih berterusan.
Maka, adalah wajar dan bertindak secara profesional dengan membolehkan SPRM melengkapkan siasatan tanpa didesak oleh mana-mana pihak.
Orang ramai ingin melihat hasilnya. Namun begitu, kita tidak boleh membuat pertimbangan awal.
Sebaliknya perlu memberi ruang kepada agensi-agensi penguat kuasa undang-undang seperti SPRM untuk menjalankan siasatan secara profesional, bebas dan berkesan.
* Lim Chee Wee, ahli Panel Penilaian Operasi, badan bebas yang memantau perjalanan SPRM
http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/derma-itu-rasuah-di-mana-sempadan-1.433239
No comments:
Post a Comment