Monday, September 28, 2015

Kematian Morais dapat dielak jika khalayak bersikap peduli, kata penganalisis

Penculikan Kevin Morais sewaktu masa puncak trafik pada satu pagi Jumaat mempamerkan sikap tidak peduli di kalangan rakyat Malaysia, kata Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan penganalisis jenayah.
Mereka sependapat insiden tersebut sewajarnya menjadi teladan kepada khalayak agar lebih curiga dengan sebarang situasi yang kelihatan mencurigakan.
Menurut mereka, sikap orang ramai yang tidak acuh dengan peristiwa timbalan pendakwa raya itu dipaksa masuk ke dalam kereta suspek amat "mengejutkan" dan seorang daripada penganalisis berpendapat orang ramai sebenarnya turut sama “bersalah” dalam kematian Morais.
Rakaman menunjukkan banyak kereta melintasi tempat kejadian berlaku malahan satu kereta Toyota Estima kelihatan berhenti bagi meninjau kejadian dengan lebih dekat.
Naib Pengerusi MCPF Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tindakan pantas saksi kejadian mungkin boleh membantu mengesan Morais dan menyelamatkan nyawanya.
"Ia amat mengejutkan tiada seorang pun bersikap ingin tahu bagi melihat kejadian dengan lebih teliti dan jika pun mereka melihatnya tetapi tidak melaporkannya, ia amat menyedihkan.
"Sekurang-kurangnya kita boleh mengharapkan mereka merakam gambar kenderaan suspek atau mencatit nombor pendaftaran kenderaan," kata Lee.
Penganalisis jenayah dan pakar psikologi Universiti Sains Malaysia, Dr Geshina Ayu Mat Saat mempunyai pandangan lebih keras - menurutnya, orang ramai yang melihat kejadian tetapi tidak berbuat apa-apa seolah-olah turut bersubahat dengan penculikan dan pembunuhan Morais.
"Ia amat menyayat hati apabila di jalan raya yang sesak dan sibuk sebegitu, tiada sesiapa pun berbuat apa-apa. Mereka patut berasa malu.
"Alasan seperti enggan terbabit atau ia bukan masalah mereka tidak patut lahir dalam hati mereka, terutamanya sewaktu satu penculikan berlaku dan ia membawa kepada pembunuhan kejam Kevin Morais.
"Bukan susah sangat pun menghubungi polis. Ia boleh dilakukan tanpa memberikan nama pemanggil. Dengan tidak berbuat apa-apa, ia samalah juga seperti menanggung salah membiarkan seseorang lain diculik dan dibunuh" katanya.
Menurutnya, tidak mustahil suatu hari nanti perkara sama menimpa mereka yang melihat kejadian itu tetapi tidak berbuat apa-apa.
Morais, 55, memandu kereta Proton Perdana kelabu milik kerajaan di Jalan Dutamas, Kuala Lumpur apabila kenderaannya dirempuh dari belakang pada jam 7.50 pagi 4 September lalu.
Mayatnya ditemui 12 hari kemudian dalam tong dram yang berisi simen di kawasan paya di Subang Jaya, Selangor.
Penganalisis jenayah Universiti Sains Malaysia (USM) Dr P. Sundramoorthy bagaimanapun mempunyai pandangan yang sedikit berbeza berhubung insiden itu.
Menurutnya, ia bukan semestinya bermakna orang ramai tidak acuh terhadap kejadian itu tetapi boleh jadi, mereka tidak menumpukan perhatian kepada kejadian di sekeliling mereka.
"Boleh jadi mereka tidak sedar perkara yang baru sahaja disaksikan mereka itu sangat mustahak dalam mencegah sesuatu jenayah daripada berlaku dan dalam hal ini, mungkin ramai yang tidak menumpukan perhatian kerana mereka menggunakan laluan itu setiap hari.
"Jadi saya tidaklah begitu terkejut jika tiada laporan dibuat terhadap insiden itu. Ia berlaku dalam beberapa saat sahaja," katanya.
Menurut Sundramoorthy lagi, orang ramai sekarang ini juga cenderung merakam insiden seperti kemalangan menerusi telefon bimbit mereka tetapi gagal berkongsi rakaman itu dengan pihak berkuasa.
Morais bertugas di Jabatan Peguam Negara dan merupakan timbalan ketua bahagian perbicaraan dan rayuan.
Beliau dipinjamkan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama 10 tahun dan dipindahkan semula ke Jabatan Peguam Negara Julai tahun lalu.
Sewaktu di SPRM, Morais mendakwa seorang doktor tentera berpangkat kolonel yang bertugas di makmal patologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan atas tuduhan rasuah dalam bulan Disember 2013.
Doktor itu dan beberapa individu lain ditahan dalam siasatan kes culik dan bunuh Morais.
Keluarga Morais sudah memulakan majlis memperingatinya namun jenazahnya masih berada di rumah mayat Hospital Kuala Lumpur. – 25 September, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kematian-morais-dapat-dielak-jika-khalayak-bersikap-peduli-kata-penganalisi#sthash.eBD0RIDT.dpuf

No comments:

Post a Comment