PUTRAJAYA, 21 Sept (Bernama) -- Pemerasan dan sogokan seks atau 'sextortion', yang berlaku apabila seseorang menerima dan menawarkan rasuah dalam bentuk seks dan bukan wang, kini telah menjadi fenomena global, menurut Penasihat Kanan International Association of Women Judges (IAWJ) Nancy Hendry.
Katanya pemerasan atau sogokan seks menjadi satu masalah di serata dunia, yang memberi kesan besar kepada manusia dan masyarakat.
Walaupun mangsa pemerasan dan sogokan seks terdiri daripada kedua-dua gender iaitu lelaki dan wanita, kebanyakan yang terlibat adalah wanita dan kanak-kanak perempuan, beliau mendakwa fenomena global ini telah menyebabkan kemudaratan yang serius, merampas maruah dan peluang wanita, serta menghakis keyakinan terhadap institusi awam.
"Sextortion berlaku apabila seseorang yang berkedudukan dan berkuasa seperti pegawai-pegawai kerajaan, hakim, pendidik, pegawai penguatkuasa undang-undang, pengawal sempadan, majikan, atau pihak-pihak lain yang memeras mahukan habuan seks, bukan wang, sebagai balasan untuk mendapatkan sesuatu yang bergantung kepada kuasa mereka untuk memberi atau menolak, umpamanya permohonan visa, sokongan keputusan mahkamah, gred yang baik, pengecualian saman trafik, kebenaran merentas sempadan dan sebagainya," kata beliau dalam satu bengkel pada Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) ke-16, di sini baru-baru ini.
PELAKU DAN KESALAHAN
Apabila menyentuh soal rasuah, lazimnya umum akan mengaitkannya dengan sesuatu berbentuk material atau wang bertukar tangan walaupun skop jenayah itu lebih luas dan bukan sahaja terhad dalam bentuk demikian.
Mungkin tidak ramai yang akan terfikir atau sedar bahawa meminta habuan seks sebagai ganjaran merupakan satu bentuk rasuah - justeru IAWJ mencipta istilah 'sextortion' untuk menggambarkan pemerasan dan sogokan seks sebagai satu bentuk rasuah.
Hendry berkata adalah menyedihkan kerana kesan rasuah gender tidak mendapat perhatian yang cukup, dan ia sering kali terjerumus dalam kelemahan undang undang dan tidak ditangani sama ada sebagai jenayah seksual atau rasuah, justeru pelaku lepas bebas tanpa didakwa.
"Satu faktor penyumbang terbesar pelaku rasuah itu bebas daripada hukuman pemerasan dan sogokan seks adalah hakikat bahawa umum tidak menganggapnya sebagai rasuah... kebanyakan usaha pencegahan rasuah lebih memberi tumpuan kepada salah laku kewangan, bukan habuan seksual," katanya.
Menurut Hendry, sejak 2009 IAWJ berusaha untuk meningkatkan kesedaran terhadap rasuah berkaitan seks.
"IAWJ mahu melihat usaha-usaha pencegahan 'sextortion' diinstitusikan dalam perkhidmatan awam dengan menggabungkan pemerasan dan sogokan seks dalam penggubalan, pendidikan dan penguatkuasaan kod etika profesional dan kebertanggungjawaban kerajaan, dengan menggabungkan 'sextortion' ke dalam usaha-usaha pemantauan dan pengumpulan data pemerasan dan sogokan seks," tegas beliau.
Menurut beliau, 'sextortion' bukan sahaja perlu diiktiraf sebagai satu bentuk penyalahgunaan kuasa yang diamanahkan, selain menyalahi undang-undang dan tidak beretika, tetapi juga penting untuk pengumuman nama dan kesalahan pelaku, sekali gus menghentikan rasuah seks.
KURANG KESEDARAN
Sejauh manakah tahap pemerasan seks di Malaysia?
Menurut Timbalan Pesuruhjaya Bahagian Penyelidikan Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Han Chee Rull, hanya dua kes yang melibatkan habuan seks diterima sejak 2009.
Beliau berpendapat jumlah berkenaan sangat rendah berikutan kekurangan kesedaran di kalangan mangsa bahawa mereka berhadapan dengan rasuah seks.
"Saya percaya mangsa langsung tidak tahu-menahu bahawa jenayah itu sepatutnya dilaporkan kepada pihak kami... ramai orang tidak mengetahui hal ini.
"Ini mungkin kerana orang ramai selalu menyangka bahawa rasuah hanya melibatkan wang... jika mereka yang terlibat dalam habuan seks ini melaporkan kepada kami, kami pasti akan menjalankan siasatan dengan segera," katanya kepada Bernama di luar persidangan itu.
Sebelum itu, ketika bercakap di persidangan tersebut, Han berkata Malaysia mempunyai undang-undang tertentu untuk menyiasat dan mendakwa kes-kes pemerasan dan sogokan seks. Beliau berkata habuan seks atau khidmat seks dianggap sebagai bentuk suapan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan istilah meliputi sebarang tawaran, akujanji atau janji, sama ada bersyarat atau tanpa bersyarat, untuk sebarang habuan atau khidmat seks.
"Di Malaysia, perlakuan menyalahgunakan kuasa untuk keseronokan seksual oleh (mana-mana) individu boleh didakwa sebagai (satu) kesalahan serangan jenayah atau kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan atau untuk mengaibkan seseorang, atau menggunakan (sebarang) perkataan atau isyarat yang bermaksud menghina kehormatan seseorang," katanya.
'Sextortion' juga boleh didakwa di bawah kesalahan rogol, kata Han, dan menambah kata bahawa "kesalahan rogol oleh (seseorang) individu yang berkuasa atau dipercayai, diperuntukkan di bawah Seksyen 375 (f) Kanun Keseksaan.
"Elemen kesalahan itu menepati jika pesalah meminta habuan seks untuk mendorong beliau melaksanakan perbuatan-perbuatan tertentu atau perlakuan seperti yang dikehendaki. Tidak semestinya tujuan asal itu terhasil."
SUKAR DIBUKTIKAN
Bagaimanapun, menurut Han adalah lebih sukar untuk membuktikan rasuah seks berbanding dengan kes peras ugut wang dan ini adalah tugas getir yang dihadapi SPRM.
Unsur-unsur objektif dan subjektif tindakan pemerasan dan sogokan seks perlu diambil kira bagi menentukan sama ada perbuatan untuk memperoleh dan menerima habuan seks adalah serupa dengan perbuatan rasuah dalam undang-undang.
"Apabila lelaki yang mengharapkan habuan seks walaupun hanya dengan mengatakan 'Saya mahukan kamu' kepada seseorang, hanya mangsa yang memahami akan maksud sebenarnya. Tetapi bagaimanakah caranya untuk seseorang membuktikan bahawa tertuduh telah melakukan pemerasan seks?
"Adalah lebih mudah untuk membuktikan rasuah wang tetapi sangat sukar untuk membuktikan pemerasan dan sgokan seks memandangkan ia biasanya tidak mempunyai bukti kukuh," jelas beliau.
Menurut Han lagi, lazimnya SPRM "memasang perangkap", untuk mengumpul dan merekodkan bukti sebelum pegawainya menyerbu tertuduh. Perangkap seumpama itu termasuk meminta mangsa untuk menetapkan janji temu dengan tertuduh secara peribadi, yang semestinya di bawah pemerhatian pegawai pencegahan rasuah.
"Apabila tertuduh menyatakan sesuatu yang menjurus kepada habuan seks, kita akan menangkapnya," kata Han, lalu memetik kes di mana SPRM yang melibatkan seorang wanita yang mendakwa bahawa seorang pegawai imigresen telah mempelawanya "untuk keluar bersama" ketika dia cuba menyeberang masuk ke Singapura.
"Apabila wanita itu melaporkan kepada kami, kami memerlukan bukti. Maka, kita mengarahkannya untuk menghubungi beliau (pegawai imigresen) itu. Memang benar, lelaki itu meminta beliau (wanita) supaya menempah bilik hotel...," jelasnya.
UNDANG-UNDANG TERHADAP GANGGUAN SEKSUAL
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia, Tan Sri Prof Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, yang turut menghadiri IACC memberitahu Bernama bahawa kerajaan perlu menggubal undang-undang untuk jenayah gangguan seksual di tempat kerja, serta pemerasan dan sogokan seks.
"Wanita perlu bersedia untuk tampil melaporkan kes-kes tersebut. Pada masa ini, ramai daripada mereka enggan berbuat demikian kerana takut menjadi buah mulut dan stigma... mereka beranggapan hal berkenaan boleh menyebabkan mereka dipecat atau dipindahkan di tempat lain," katanya.
Beliau menegaskan bahawa pemerasan seks tidak hanya berkaitan golongan lelaki meminta habuan seks, malah ada kalangan wanita yang menggunakan seks sebagai alat untuk memperoleh kenaikan pangkat di tempat kerja.
"Kedua-dua bentuk pemerasan dan sogokan seks perlu ditangani dengan serius," tegas beliau.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment