Mesyuarat Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (Jitu) peringkat kebangsaan yang bersidang di sini hari ini menggesa setiap kementerian melaksanakan pendekatan kaedah Penilaian dan Pengurusan Risiko Rasuah atau CRM.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersempena mesyuarat itu, CRM adalah pendekatan terbaik dalam usaha memerangi rasuah serta mempertingkatkan tadbir urus dan integriti badan-badan kerajaan.
"CRM adalah satu alat pengurusan yang boleh membantu mewujudkan sebuah sistem pengurusan bercirikan anti-rasuah dan mendukung nilai integriti.
"CRM dilaksanakan dengan mengambil kira rasuah sebagai risiko asas dalam sesebuah pengurusan dengan menggunakan pendekatan Penilaian dan Pengurusan Risiko, maka satu bentuk sistem pengurusan yang baik dan berintegriti dapat dilahirkan melalui Pelan Pengurusan Risiko Rasuah," kata SPRM.
Menurut kenyataan itu, setakat ini sebanyak 22 kementerian dan agensi berisiko tinggi telah dilatih SPRM mengenai CRM.
Mesyuarat Jitu hari ini dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tadbir Urus dan Integriti) Datuk Paul Low Seng Kuan.
Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali yang juga Penyelaras Pasukan Khas Perunding Jitu; ketua-ketua setiausaha kementerian, setiausaha kerajaan negeri dan ketua-ketua unit integriti kementerian.
Antara kertas kerja atau kertas cadangan yang dibentangkan pada mesyuarat tersebut ialah pemeriksaan terhadap Amalan, Sistem dan Tatacara Kerja dalam Pengurusan; Pengendalian dan Pengesanan bagi Pengambilan Ekspatriat di Jabatan Imigresen oleh SPRM, cadangan Pindaan Akta Pembangunan Sukan 1997–Kuasa dan Tanggungjawab oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PPSM).
Turut dibentangkan ialah mengenai Usaha-Usaha Memerangi Rasuah serta Mempertingkat Tadbir Urus dan Integriti Dengan Menggunakan Pendekatan CRM oleh Jabatan Pengangkutan Jalan.
No comments:
Post a Comment