Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak tidak
pernah menerima sebarang laporan mengenai Orang Asli terlibat dalam rasuah atau
laporan daripada masyarakat itu mengenai kes rasuah, kata Timbalan Pengarah
SPRM Perak Mohamad Hassan.
Beliau berkata keadaan itu mungkin disebabkan masyarakat
pribumi tersebut sememangnya tidak terlibat dengan rasuah atau terdapat
kalangan mereka yang tahu mengenai jenayah kolar putih itu tetapi tidak
mengetahui saluran betul untuk membuat laporan.
“Memang tidak ada sebarang aduan dilaporkan oleh masyarakat
Orang Asli atas sebarang isu (rasuah). Saya percaya mereka tahu ada amalan
rasuah berlaku di sekitar mereka, tetapi tidak tahu bagaimana untuk
melaporkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi sembang santai ‘Hatimu
Hatiku Jua’ bersama masyarakat Orang Asli sempena program merakyatkan SPRM
bersama Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) di Kampung Orang Asli Desa
Permai, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun di sini, semalam.
Program sehari itu anjuran bersama SPRM, C4, Jabatan
Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta Biro Pengaduan Awam dan disertai lebih 100
orang terdiri daripada ketua dan pemimpin Orang Asli dari seluruh negara.
Mohamad menggesa masyarakat Orang Asli yang mempunyai
maklumat mengenai kes rasuah supaya tampil membuat laporan di pejabat SPRM Ipoh
atau cawangan berdekatan iaitu di Taiping dan Teluk Intan.
Beliau berkata pemberi maklumat tidak perlu risau untuk membuat
laporan mengenai kes rasuah kerana identiti dan aduan yang dibuat, dirahsiakan
selain SPRM tidak sesekali bersubahat bagi menggagalkan siasatan.
Dalam pada itu, Mohamad berkata SPRM mengambil inisiatif
dengan memberi pendedahan tentang cara pencegahan rasuah kepada masyarakat
Orang Asli menerusi program merakyatkan SPRM yang julung kali diadakan itu.
“Pada program ini SPRM membuka kaunter untuk mengajar
bagaimana cara-cara membuat aduan rasuah, selain mendengar masalah yang ingin
dikemukakan kepada SPRM,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jakoa Suhaimi Mahmud,
berkata mengikut rekod pihaknya, masyarakat Orang Asli tidak terlibat dengan
memberi atau menerima rasuah.
“Cuma ada segelintir daripada mereka yang tidak mematuhi
garis panduan dan sebagainya dan kami siasat perkara itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment