Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus berusaha merealisasikan
komitmen untuk mendekati golongan belia sekali gus menjadikan mereka sebagai
‘mata dan telinga’ SPRM dalam usaha memerangi rasuah.
Terbaharu, SPRM Pahang mengadakan Majlis Penerangan &
Wacana SPRM Pahang bersama Majlis Belia Negeri Pahang, Kerajaan Negeri Pahang
serta Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) di Sekolah Menengah Kebangsaan
Temerloh, Pahang, hari ini.
Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 400 belia di negeri
Pahang tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji
Adnan Haji Yaakob.
Antara pengisian dalam program selama sehari ini ialah
majlis penerangan dan wacana bertajuk "Pencegahan Rasuah Bermula Daripada
Rebung" yang disertai oleh Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM,
Haji Abdul Samat Kasah; Timbalan Presiden YARM, Haji Jais Karim dan Presiden
Majlis Belia Negeri Pahang, Khairul Amin Osman sebagai ahli panel manakala Pengerusi
YARM Pahang, Wan Emril Wan Embong pula bertindak sebagai moderator.
Turut diadakan dalam majlis tersebut ialah lafaz ikrar
integriti oleh belia-belia yang diketuai oleh Khairul Amin sambil disaksikan
oleh YAB Dato’ Sri Diraja Haji Adnan.
Sementara itu, Adnan ketika berucap pada majlis tersebut
berkata, bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang
bebas rasuah, ia bukanlah terletak di bahu SPRM semata-mata tetapi memerlukan
sokongan dan komitmen daripada semua pihak.
“Oleh itu, ibu bapa mempunyai tanggungjawab besar dalam
mendidik anak-anak kerana usaha memantapkan integriti perlu dilakukan sejak
dari kecil lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah SPRM Negeri Pahang, Dato’ Wan Ramli
Wan Abdullah, berkata, antara tujuan program seumpama ini dilakukan ialah untuk
merapatkan hubungan SPRM bersama belia yang boleh dijadikan sebagai ‘mata dan
telinga’ SPRM dalam membanteras rasuah.
Jelasnya, golongan tersebut boleh dijadikan sebagai sumber
SPRM untuk memperolehi maklumat berkaitan rasuah pada bila-bila masa.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan
Kebudayaan Negeri, YB. Dato' Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin; Pengerusi
Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Johari Haji Hussin
serta Pengarah Jabatan Belia Negeri Pahang, Dato’ Haji Kamarulzaman Hassan
Mansor.
No comments:
Post a Comment