Sunday, July 30, 2017

SPRM NAFI DAKWAAN KES JANS TIADA UNSUR RASUAH





Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menegaskan bahawa dakwaan kononnya Suruhanjaya berkenaan telah mengesahkan tiada unsur rasuah dalam kes Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) adalah tidak benar sama sekali serta mengelirukan masyarakat.

SPRM telah mengesan terdapat dakwaan tersebut di media sosial yang mula ditularkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sejak semalam.

Faktanya, pada 29 Disember 2016, tiga individu termasuk bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan isterinya telah pun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas kesalahan pengubahan wang haram dan sebutan kes tersebut telah ditetapkan pada 8 Ogos 2017.

Ketiga- tiga tertuduh ialah Ag. Mohd Tahir Mohd Talib, 54 dan isterinya Fauziah Ag. Piut, 51 serta Lim Lam Beng, 62.

Ag. Mohd Tahir didakwa dengan 12 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Manakala Fauziah dan Lam Beng masing- masing didakwa dengan 19 pertuduhan yang bernilai RM 2.2 juta dan empat pertuduhan yang bernilai RM 2.38 juta di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001.

SPRM ingin menegaskan kesalahan di bawah AMLATFPUAA 2001 melibatkan hasil wang haram yang diperolehi daripada kesalahan mengikut Akta SPRM 2009 oleh perasuah.

Mengikut seksyen tersebut, seseorang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi jika disabit kesalahan.

Sehubungan itu, SPRM memohon agar mana-mana pihak tidak mengambil kesempatan untuk memutarbelitkan isu kes JANS.

SPRM juga akan memantau dan mengkaji segala berita tidak sahih yang dimuat naik di mana-mana laman media sosial untuk memastikan tidak ada mana-mana pihak cuba mencemarkan reputasi SPRM.

Pengurusan Tertinggi SPRM sedang menimbang untuk membuat aduan polis terhadap mereka yang menyebar fitnah dalam media sosial supaya tindakan undang-undang terhadap mereka.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA 
PUTRAJAYA

30 JULAI 2017

Sunday, July 23, 2017

Lebih banyak ‘jerung’ ke mahkamah dalam masa terdekat – SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi gambaran awal bahawa lebih banyak ‘jerung’ akan disiasat dan diheret ke mahkamah dalam masa terdekat.

Bagi  Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Dzulkifli Ahmad apa yang dilakukan oleh pihaknya sebelum ini hanyalah satu permulaan dalam memerangi gejala rasuah habis-habisan.

“Ini baru permulaan. Bulan Ogos dan September lagi panas. Saya dah memberi amaran kepada mereka supaya menghindari rasuah, tetapi mereka tamak, mengingkari dan mengkhianati amanah itu nak juga teruskan amalan rasuah.

“Kita tutup kes Felda disebabkan bulan Ramadan, kini ia sudah dibuka semula. Saya sudah mengarahkan pegawai saya supaya membuka semula siastan ke atas Felda.

“Semoga kita akan mengambil tindakan terhadap pengkhianat, heret ke muka pengadilan pada Ogos dan September ini,” katanya ketika berucap pada Program My Aduan Rasuah anjuran Jaringan Melayu Malaysia (JMM).

Zulkifli berkata, SPRM juga telah melancarkan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gera) iaitu revolusi sosial yang dibawa kepada masyarakat untuk mengubah minda dan persepsi mereka tehadap SPRM.

“Pada 2020, saya mahu negara bebas rasuah, rakyat menolak rasuah dan perasuah sepenuhnya. Untuk itu semua NGO dan rakyat harus doakan dan sentiasa bersama kami untuk menjayakan gerakan banteras rasuah ini,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden JMM, Datuk Azwanddin Hamzah berkata, unit aduan rasuah yang digerakkan dalam badan bukan kerajaan itu adalah untuk mengumpul data dan pandangan masyarakat berbilang kaum mengenai pentingnya memerangi rasuah.

“Kami JMM sejak menjadi sahabat SPRM sudah mengambil sumpah untuk bersama rakyat memerangi rasuah dan membantu SPRM membersihkan negara.

“Sejak tiga tahun Aduan Rasuah kami diaktifkan, kita telah menerima sebanyak 13,000 aduan setakat ini dan kita akan menyerahkannya kepada SPRM,” katanya. – MalaysiaGazette


http://malaysiagazette.com/v2/blog/2017/07/23/lebih-banyak-jerung-ke-mahkamah-dalam-masa-terdekat-sprm/

Friday, July 21, 2017

SPRM KESAN MOHAMAD DON ADI



SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang mengesan seorang lelaki bagi tujuan penyampaian notis menghadiri perbicaraan kes rasuah di Mahkamah Tinggi, Kuching, Sarawak pada 26 Julai ini.

Lelaki tersebut, Mohamad Don Adi Bin Morshidi, 35 yang memegang kad pengenalan 821008-13-5013 mempunyai alamat terakhir di No. 210, Kampung Tabuan, 93450 Kuching, Sarawak.

Mohamad Don Hadi turut mempunyai alamat surat-menyurat di No 732a Kampung Tabuan Lot No 3, Jalan Kampung Tabuan Melayu, 93450, Kuching, Sarawak.

Sehubungan itu, SPRM memohon agar individu tersebut tampil ke Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak pada tarikh tersebut atau sekiranya mana-mana ahli keluarga atau orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu tersebut, diminta hadir ke Pejabat SPRM Sarawak di alamat Kompleks Pejabat SPRM Sarawak, Lot 3894, Jalan Laksamana Cheng Ho, 93350 Kuching, Sarawak atau hubungi pegawai penyiasat, Ps Mohd Fadzli Haji Abd Manaf di talian 082-467701 / 012-3932731.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

21 JULAI 2017

Thursday, July 20, 2017

Drama Siri 'Banteras' Didik Rakyat Bahaya Amalan Rasuah - Salleh Keruak

CYBERJAYA, 20 Julai (Bernama) -- Drama bersiri 'Banteras' yang dilancarkan hari ini bertujuan untuk menyedarkan dan mendidik masyarakat tentang bahaya amalan rasuah, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak

Beliau berkata idea penerbitan drama itu yang merupakan kerjasama di antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Fantasy Film Sdn Bhd juga bagi memaparkan usaha cekal para pegawai SPRM dalam menangani kes-kes rasuah.

Katanya, penceritaan dengan unsur-unsur drama dan aksi melalui media massa merupakan antara wadah terbaik untuk menyampaikan mesej ini secara berkesan kepada rakyat.

"Drama Ini menekankan pembanterasan rasuah sebagai agenda tetap dan tidak mahu melihat rasuah jadi budaya bahaya di kalangan masyarakat.

"Perbuatan rasuah harus dijauhi daripada hati dan minda. Jadi, drama Banteras bantu beri kesedaran pada usia muda," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran itu.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad, timbalannya (Pencegahan) Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Ketua Pegawai Eksekutif Fantasy Films Sdn Bhd Adillah Abu Samah.

Salleh turut meminta penerbit-penerbit filem menggunakan media kerajaan seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menghasilkan drama atau filem berkaitan rasuah agar memberikan mesej untuk rakyat dan pemimpin kerajaan supaya menjauhi rasuah.

"Rakyat perlu hargai segala usaha kerajaan dalam membanteras rasuah. Rakyat cepat kutuk, tetapi tidak memahami perasaan dan tugasan berat yang perlu dilalui khususnya apabila ia melibatkan siasatan dan penangkapan kes rasuah.

Rasuah adalah musuh utama kita. Kita perlu perangi rasuah bersama-sama. Saya harap drama Banteras dapat memperjelaskan mesej tersurat dan tersirat dengan jelas. Kalau mesej kabur, maka ia akan menimbulkan kekeliruan. Mesej harus sampai ke pihak penonton," katanya.

Salleh berharap dengan sentuhan daripada pengarah terkenal, Ghaz Abu Bakar yang berpengalaman menghasilkan filem aksi, serta barisan pelakon tanah air yang berbakat, dapat menghasilkan sebuah drama yang berkualiti.

Drama Banteras dengan 13 episod itu, bakal disiarkan menerusi saluran televisyen tempatan dan dijangka memulakan penggambaran pada Sept ini selama tiga bulan dan dibintangi antara lain pelakon hebat masa kini Namron, Khir Rahman dan Sangeetha Krishnasamy.

Ia berkisar kehidupan seorang pegawai pencegahan rasuah dan ujian yang ditempuhinya agar masyarakat mengetahui skop tugas dan cabaran yang perlu dilalui seorang pegawai SPRM.

Sementara itu, Dzulkifli berkata Drama Banteras diharap menyuntik mesej pencegahan rasuah yang mana penonton boleh melihat kesan serta akibat rasuah dengan jelas.

"Jika kita betul-betul hendak memerangi rasuah, perkara pertama, semua pihak mesti menghindarinya. Caranya mudah dan semua orang tahu - Jangan beri, dan Jangan terima Rasuah serta sanggup melaporkan perbuatan rasuah yang berlaku kepada SPRM untuk tindakan," katanya.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1374274

SPRM UCAP TAHNIAH KEPADA WARGA PENEROKA SEMPENA SAMBUTAN HARI PENEROKA KE-60


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad mewakili warga kerja SPRM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga peneroka bersempena sambutan Hari Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) ke-60 yang akan diraikan pada 21 hingga 23 Julai ini.

SPRM menghargai dan menyanjung tinggi segala pengorbanan warga peneroka yang telah berbakti dan menyumbang kepada pembangunan serta kemajuan ekonomi negara.

SPRM turut mengiktiraf kepentingan peranan warga peneroka dalam melahirkan generasi masa hadapan yang berkualiti, berintegriti dan progresif.

Justeru itu, SPRM ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon sokongan dan dokongan seluruh warga peneroka Felda agar sentiasa bersama SPRM sebagai pencetus gelombang perubahan dalam kalangan masyarakat bagi memerangi anasir rasuah dan salah guna kuasa.

Warga peneroka Felda harus berada di barisan hadapan bersama SPRM bagi membenci, menolak dan memerangi penularan jenayah rasuah dan salah guna kuasa agar segala kepentingan dan kebajikan warga peneroka dilindungi dan terpelihara.

SPRM sebagai sahabat kepada seluruh warga peneroka Felda akan sentiasa melaksanakan tugas dan amanahnya dengan memastikan segala peruntukan dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan buat warga peneroka Felda akan sampai kepada mereka serta tidak tiris atau diseleweng mana-mana pihak.

SPRM juga yakin bahawa Felda di bawah pengurusan baharu yang telah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah pada 9 April lalu akan turut sama melindungi dan menjaga kepentingan warga peneroka Felda dengan melaksanakan segala perancangan penerokaan dan pembangunan tanah secara berintegriti agar ia bebas daripada sebarang jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

SPRM juga berharap warga peneroka Felda di seluruh negara akan turut menyokong dan meresapi agenda perjuangan SPRM melalui Gerakan Revolusi Anti-Rasuah (GERAH) yang dilancarkan oleh SPRM pada 8 Mei lalu agar rasuah dan salah guna kuasa diiktiraf oleh kerajaan sebagai musuh nombor satu negara yang perlu diperangi habis-habisan.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

20 JULAI 2017

Wednesday, July 19, 2017

Henti jadikan SPRM sasaran politik

SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution yang juga Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang ter­nyata tidak selesa apabila Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad membidas tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana tidak mahu menangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Sehubungan itu, beliau membangkitkan persoalan sama ada Dzulkifli mahu menjadi ahli politik atau selebriti? Saifuddin turut menganggap IBR hanyalah untuk menarik perhatian media. Persoalannya, siapa sebenar­nya mahu menjadi selebriti? Dzulkifli atau Saifuddin?

Kalau mahu bercakap soal selebriti (sekadar mahu menarik perhatian media), rasanya sudah ramai pemimpin pembangkang mencapai tahap tersebut. Siapa mereka mungkin Saifuddin lebih mengetahui.

Apa yang dilakukan oleh Dzulkifli sejak menerajui SPRM sama sekali tiada kaitan untuk menjadi selebriti, sebaliknya sepanjang hampir setahun berada di agensi itu, beliau sudah melakukan pelbagai langkah dalam ­usaha memerangi rasuah di negara ini.

IBR, turun padang bertemu rakyat dan melancarkan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) merupakan pendekatan atau perubahan yang dilakukan oleh Dzulkifli dalam memastikan rasuah tidak menjadi barah yang akhir­nya boleh meruntuhkan negara.

Tetapi pemimpin-pemimpin pembangkang seperti Saifuddin tidak mahu mengiktiraf semua itu, sebaliknya mempersoalkan apakah melalui IBR, isu rasuah dapat diselesaikan. Inilah masalah pembangkang, sebelum ini mereka sendiri beria-ia menonjolkan diri sebagai wira memerangi rasuah, namun apabila SPRM bertindak, mereka pula mempertikaikannya.

Saifuddin melakukan kritikan ke atas Dzulkifli semata-mata kerana Ketua Pesuruhjaya SPRM itu membidas Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam soal IBR, bayangkan kalau teguran Dzulkifli melibatkan kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Barisan Nasional (BN), sudah pasti pemimpin pembangkang seperti Saifuddin akan menyokong SPRM.

Kalau benar Saifuddin dan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan mahu memerangi rasuah, kenapa mereka tidak mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk me­lakukan IBR kerana bak kata Dzulkifli, “Jangan hanya bercakap berdegar-degar mengenai isu rasuah dan salah guna kuasa, minta SPRM ambil tindakan dan pelbagai lagi, tetapi mereka sendiri tidak mahu nyatakan ikrar untuk membanteras gejala itu.”

Sebenarnya, ketika Saifuddin mempersoalkan sama ada Dzulkifli mahu menjadi ahli politik atau selebriti, beliau sendiri mahu mempolitikkan segala-galanya termasuklah ketegasan SPRM dalam memerangi rasuah.

Selain itu, apabila Saifuddin menggunakan perkataan, “menunjukkan kedangkalan fikiran dan kurangnya kreativiti…’’ yang ditujukan kepada Dzulkifli, sebenarnya beliau yang bersikap demikian apabila mempersoalkan adakah menangkap pesalah rasuah setiap minggu akan menyelesaikan masalah rasuah.

Persoalannya, apa yang pemimpin pembangkang se­perti Saifuddin mahu SPRM lakukan? Kalau SPRM tidak bertindak agresif seperti menangkap dan mendakwa pesalah rasuah mereka akan menuduh agensi itu lemah dan mengikut telunjuk kerajaan, apabila SPRM bertindak, mereka anggap pula ia tidak mampu membendung rasuah. Begitulah juga apabila Saifuddin mempersoalkan sama ada langkah SPRM mencadangkan Gerah dan bermesra dengan rakyat serta berikrar dapat menyelesaikan masalah rasuah.

Apa salahnya melancarkan Gerah yang bertujuan mewujudkan azam menghapuskan rasuah? Apakah ikrar untuk menolak dan membenci rasuah adalah satu dosa? Adakah langkah Dzulkifli dan SPRM turun bertemu ­rakyat bagi merapatkan hubungan supaya mereka bersama-sama memerangi rasuah adalah satu kesalahan?

Saifuddin sepatutnya menghentikan perbuatan yang boleh dianggap cuba mengheret SPRM ke dalam kancah atau polemik politik. Apa yang dilakukan oleh Dzulkifli bukanlah untuk menjadi selebriti dan tiada kaitan sama sekali dengan politik. Beliau bukanlah insan yang dilahirkan untuk menjadi ahli politik seperti Saifuddin, sebaliknya seorang penjawat awam yang berusaha melaksanakan amanah dengan sebaik-baiknya.

Sama ada IBR, Gerah atau pendekatan turun bertemu rakyat akan berjaya menghapuskan rasuah atau tidak, biarlah rakyat menilainya, tetapi dalam masa sama rakyat juga berhak mempersoalkan kenapa Kerajaan Negeri Pulau Pinang susah sangat mahu melakukan IBR?

Apapun kita tidak harus membuang masa melayan kerenah politik yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang seperti Saifuddin, sebaliknya SPRM perlu meneruskan agendanya memerangi rasuah sehingga ke akar umbi.

Setakat ini biarpun baharu setahun menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli telah berjaya menjadikan agensi itu ‘Mesra Rakyat, digeruni perasuah’. Kalau pencapaian itu tidak mahu diiktiraf oleh pemimpin-pe­mimpin pembangkang, biarkan sahaja.

Penulis percaya SPRM tidak akan terperangkap de­ngan hujah-hujah dangkal bagi mengheret agensi itu ke dalam polemik politik kerana banyak lagi kerja yang perlu dilakukan oleh agensi itu dalam usaha membanteras rasuah di negara ini.

Penulis yakin rakyat sudah bijak menilai kemampuan dan kejayaan SPRM di bawah kepemimpinan Dzulkifli, malah kita percaya dalam kalangan pembangkang pun mereka secara diam-diam mengiktiraf keberkesanan agensi tersebut, tetapi terpaksa berubah nada memandangkan Dzulkifli menegur sekutu mereka, sedangkan apa yang dilakukan oleh Dzulkifli adalah untuk memastikan mana-mana kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan tidak bertindak ibarat ayam jantan berkokok kuat tetapi ekor bergelumang dengan najis!

http://www.utusan.com.my/rencana/utama/henti-jadikan-sprm-sasaran-politik-1.504077#ixzz4nEGxsNYj 

Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah sokong IBR

KUALA LUMPUR - Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) kesal dengan tindakan segelintir pihak yang memperkecilkan inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi rasuah khususnya berkaitan Ikrar Bebas Rasuah (IBR). Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, SPRM telah melaksanakan sesuatu yang terbaik bukan sahaja daripada segi penguatkuasaan malah dalam mendidik dan mewujudkan kesedaran orang ramai berkaitan jenayah rasuah.
Beliau berkata, pengkritik-pengkritik berkenaan seharusnya memberi sokongan penuh kepada SPRM untuk menangani isu rasuah dan salah guna kuasa dan bukannya memutarbelitkan fakta bagi mendapatkan kepentingan politik.

"LPPR mengalu-alukan semua inisiatif yang dicadangkan oleh SPRM termasuk IBR serta memuji transformasi yang dilaksanakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad. "SPRM telah berusaha keras serta sangat komited bagi mendapatkan sokongan masyarakat termasuk ahli politik agar menolak rasuah dan salah guna kuasa," katanya dalam satu kenyataan, semalam. Abdul Aziz berkata, bagi kepentingan negara kita bersama, kita perlu menzahirkan sokongan kepada inisiatif dan komitmen yang ditunjukkan oleh SPRM tersebut.

"Gesaan ini berdasarkan kepada sokongan masyarakat yang semakin meningkat dan sangat menggalakkan terhadap agensi antirasuah berkenaan yang telah menganjurkan pelbagai program," katnya.

Beliau berkata, LPPR turut memuji kerajaan-kerajaan negeri yang telah pun menandatangani IBR kerana menunjukkan komitmen terbuka untuk memerangi rasuah. Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, pembangkang diminta berganding dengan SPRM cegah rasuah serta berhenti memperlekeh suruhanjaya itu.

Katanya, beliau terkilan dengan kenyataan Setiausaha Agung Keadilan, Datuk Saifuddin  Nasution yang dilihat memperkecil-kecilkan peranan SPRM tanpa memahami peranan dan tanggungjawab yang dimainkan suruhanjaya itu dalam membanteras rasuah.

"Sebagai ahli politik kita harus memberi sokongan kepada SPRM untuk bertindak dengan efektif dan berkesan. Jika kita sendiri tidak menghargai dan menghormati tindakan SPRM yang bekerja keras mahu menghapuskan masalah rasuah, rakyat tidak akan menghormati," katanya.

Oleh itu, beliau memenasihatkan pemimpin-pemimpin pembangkang supaya menerima dengan terbuka pandangan Ketua Pesuruhjaya SPRM mengenai sikap Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam soal penerimaan Ikrar Basmi Rasuah.  "Sokonglah SPRM untuk lebih berkesan meskipun SPRM berhadapan dengan kekangan sumber dan kerangka perundangan untuk mereka bertindak tegas terhadap rasuah," katanya.


http://www.sinarharian.com.my/nasional/lembaga-penasihat-pencegahan-rasuah-sokong-ibr-1.705431#

FIC: SPRM akan tahan dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan melakukan beberapa tangkapan dalam masa terdekat selepas beberapa saksi penting berhubung pembelian sebuah hotel di London oleh Felda Investment Corporation (FIC), selesai memberi keterangan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata, pihaknya kini dalam proses untuk mendapatkan lebih ramai saksi dalam proses urus niaga itu.

"Saya tidak menolak beberapa tangkapan akan dibuat pada masa terdekat untuk membantu siasatan ini berikutan pelbagai maklumat yang sudah diterima ketika ini," katanya.

Sementara itu, difahamkan, SPRM ketika ini masih mencari beberapa lagi individu yang juga saksi penting bagi membantu siasatan.

Dengan merakam percakapan saksi itu, SPRM dijangka memperoleh beberapa maklumat terbaharu berhubung pembelian hotel empat bintang di Kensington antara tahun 2013 dan 2015.

Saksi itu boleh membantu menentukan sama ada wujud unsur rasuah dan penyelewengan dalam pembelian hartanah itu.

Dalam perkembangan itu, SPRM hari ini merakam percakapan enam lagi individu dari FIC berhubung siasatan berkenaan.

Mereka yang memberikan kenyataan adalah Ketua Hospitaliti FIC, Ketua Kewangan FIC, Pengurus Kanan Strategik dan Pelaburan, Eksekutif Kewangan, Pembantu Pengurus Kewangan serta Bekas Timbalan Presiden yang juga Ketua Pegawai Operasi.

SPRM sebelum ini mendedahkan beberapa individu akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel bernilai RM330 juta di Kensington oleh FIC pada 2014.

Hasil maklumat siasatan awal mendapati FIC dipercayai membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga pasaran sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.


http://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/07/303769/fic-sprm-akan-tahan-dalam-masa-terdekat#cxrecs_s

Monday, July 17, 2017

Dokumen FIC dibawa keluar SPRM

Selepas hampir lapan jam berada di Balai Felda, pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akhirnya membawa keluar sebahagian dokumen daripada Felda Investment Corporation (FIC) bagi siasatan lanjut.
Kesemua dokumen berkenaan dibawa keluar oleh pegawai dan anggota sebelum meninggalkan menara berkenaan menaiki dua buah kenderaan SPRM kira -kira pukul 6 petang tadi.

Difahamkan kesemua dokumen itu telahpun menjalani proses siasatan awal sebelum ia dibawa keluar dari pejabat FIC ke Putrajaya.

Kesemua dokumen terbabit terdiri daripada empat kotak bersaiz A4. - UTUSAN ONLINE

http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/video-dokumen-fic-dibawa-keluar-sprm-1.503923#ixzz4n8Rq87rA 

Sunday, July 16, 2017

IBR:SPRM tidak berpolitik

JOHOR BAHRU 17 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berpolitik apabila bekerjasama dengan mana-mana organisasi, agensi atau jabatan kerajaan negeri untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebaliknya menegaskan, kesediaan SPRM itu menunjukkan tanggungjawab mereka dalam memberikan kesedaran selain menunjukkan komitmen memerangi serta membanteras gejala rasuah.

“Saya percaya SPRM tidak berpolitik. (Mereka) yang berpolitik adalah pihak-pihak yang tidak dapat melakukan ikrar yang sama,” katanya ditemui pemberita selepas Majlis Meraikan Bakal-bakal Haji Rombongan Kerajaan Negeri Johor Tahun 1438/2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini sebentar tadi.


Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution semalam mempersoalkan tindakan SPRM itu dan mendakwa tindakan menandatangani IBR hanya untuk mendapat perhatian media.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri semalam melakar sejarah apabila menjadi JAS pertama di Malaysia yang menzahirkan komitmen memerangi rasuah dengan melafaz dan menandatangani IBR.

http://m.utusan.com.my/berita/wilayah/johor/ibr-sprm-tidak-berpolitik-1.503882#.WWxbZ5e8qCw.whatsapp

Wednesday, July 5, 2017

SPRM janji tangkap 'ikan jerung'

SPRM akan terus tangkap 'ikan jerung'! Demikian ditegaskan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamshun Baharin ketika menafikan dakwaan kononnya hanya 'ikan bilis' yang menjadi sasaran mereka selama ini.

Sebagai bukti, kata Shamshun, sepanjang enam bulan pertama tahun ini, SPRM berjaya menahan 501 orang dan daripada jumlah itu, 223 orang terdiri daripada kakitangan awam.

"Daripada sejumlah kakitangan awam yang ditahan ini, 12 orang daripadanya adalah pegawai-pegawai tinggi agensi kerajaan terutama membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Advertisement
Menurutnya, bermula Januari hingga Jun tahun ini juga, 232 orang telah didakwa di mahkamah, manakala 113 orang bersabit kesalahan.

"Pada Mei tahun ini mencatatkan jumlah penangkapan paling tinggi iaitu 108 orang dan jumlah yang didakwa ke mahkamah pula seramai 71 orang.

"Sementara jumlah membabitkan kesalahan paling tinggi ialah pada Januari tahun ini iaitu seramai 34 orang," katanya.

Beliau berkata, sekiranya mengikut jumlah penangkapan pada separuh pertama tahun ini, SPRM menjangkakan memecahkan rekod tertinggi dari segi jumlah tangkapan iaitu melebihi 1,000 orang sepanjang tahun ini.

"Rekod tangkapan tertinggi sebelum ini dicatatkan pada 2010 iaitu seramai 944 orang," katanya.

Beliau menjelaskan, sekalipun jumlah tangkapan melebihi 1,000 orang, tetapi itu bukan bermakna gejala rasuah di Malaysia semakin teruk, sebaliknya rakyat semakin banyak beri sokongan kepada SPRM dalam usaha membanteras rasuah.