KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi gambaran awal bahawa lebih banyak ‘jerung’ akan disiasat dan diheret ke mahkamah dalam masa terdekat.
Bagi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Dzulkifli Ahmad apa yang dilakukan oleh pihaknya sebelum ini hanyalah satu permulaan dalam memerangi gejala rasuah habis-habisan.
“Ini baru permulaan. Bulan Ogos dan September lagi panas. Saya dah memberi amaran kepada mereka supaya menghindari rasuah, tetapi mereka tamak, mengingkari dan mengkhianati amanah itu nak juga teruskan amalan rasuah.
“Kita tutup kes Felda disebabkan bulan Ramadan, kini ia sudah dibuka semula. Saya sudah mengarahkan pegawai saya supaya membuka semula siastan ke atas Felda.
“Semoga kita akan mengambil tindakan terhadap pengkhianat, heret ke muka pengadilan pada Ogos dan September ini,” katanya ketika berucap pada Program My Aduan Rasuah anjuran Jaringan Melayu Malaysia (JMM).
Zulkifli berkata, SPRM juga telah melancarkan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gera) iaitu revolusi sosial yang dibawa kepada masyarakat untuk mengubah minda dan persepsi mereka tehadap SPRM.
“Pada 2020, saya mahu negara bebas rasuah, rakyat menolak rasuah dan perasuah sepenuhnya. Untuk itu semua NGO dan rakyat harus doakan dan sentiasa bersama kami untuk menjayakan gerakan banteras rasuah ini,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden JMM, Datuk Azwanddin Hamzah berkata, unit aduan rasuah yang digerakkan dalam badan bukan kerajaan itu adalah untuk mengumpul data dan pandangan masyarakat berbilang kaum mengenai pentingnya memerangi rasuah.
“Kami JMM sejak menjadi sahabat SPRM sudah mengambil sumpah untuk bersama rakyat memerangi rasuah dan membantu SPRM membersihkan negara.
“Sejak tiga tahun Aduan Rasuah kami diaktifkan, kita telah menerima sebanyak 13,000 aduan setakat ini dan kita akan menyerahkannya kepada SPRM,” katanya. – MalaysiaGazette
http://malaysiagazette.com/v2/blog/2017/07/23/lebih-banyak-jerung-ke-mahkamah-dalam-masa-terdekat-sprm/
No comments:
Post a Comment