Thursday, July 20, 2017

SPRM UCAP TAHNIAH KEPADA WARGA PENEROKA SEMPENA SAMBUTAN HARI PENEROKA KE-60


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad mewakili warga kerja SPRM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga peneroka bersempena sambutan Hari Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) ke-60 yang akan diraikan pada 21 hingga 23 Julai ini.

SPRM menghargai dan menyanjung tinggi segala pengorbanan warga peneroka yang telah berbakti dan menyumbang kepada pembangunan serta kemajuan ekonomi negara.

SPRM turut mengiktiraf kepentingan peranan warga peneroka dalam melahirkan generasi masa hadapan yang berkualiti, berintegriti dan progresif.

Justeru itu, SPRM ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon sokongan dan dokongan seluruh warga peneroka Felda agar sentiasa bersama SPRM sebagai pencetus gelombang perubahan dalam kalangan masyarakat bagi memerangi anasir rasuah dan salah guna kuasa.

Warga peneroka Felda harus berada di barisan hadapan bersama SPRM bagi membenci, menolak dan memerangi penularan jenayah rasuah dan salah guna kuasa agar segala kepentingan dan kebajikan warga peneroka dilindungi dan terpelihara.

SPRM sebagai sahabat kepada seluruh warga peneroka Felda akan sentiasa melaksanakan tugas dan amanahnya dengan memastikan segala peruntukan dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan buat warga peneroka Felda akan sampai kepada mereka serta tidak tiris atau diseleweng mana-mana pihak.

SPRM juga yakin bahawa Felda di bawah pengurusan baharu yang telah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah pada 9 April lalu akan turut sama melindungi dan menjaga kepentingan warga peneroka Felda dengan melaksanakan segala perancangan penerokaan dan pembangunan tanah secara berintegriti agar ia bebas daripada sebarang jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

SPRM juga berharap warga peneroka Felda di seluruh negara akan turut menyokong dan meresapi agenda perjuangan SPRM melalui Gerakan Revolusi Anti-Rasuah (GERAH) yang dilancarkan oleh SPRM pada 8 Mei lalu agar rasuah dan salah guna kuasa diiktiraf oleh kerajaan sebagai musuh nombor satu negara yang perlu diperangi habis-habisan.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

20 JULAI 2017

No comments:

Post a Comment