Thursday, July 20, 2017

Drama Siri 'Banteras' Didik Rakyat Bahaya Amalan Rasuah - Salleh Keruak

CYBERJAYA, 20 Julai (Bernama) -- Drama bersiri 'Banteras' yang dilancarkan hari ini bertujuan untuk menyedarkan dan mendidik masyarakat tentang bahaya amalan rasuah, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak

Beliau berkata idea penerbitan drama itu yang merupakan kerjasama di antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Fantasy Film Sdn Bhd juga bagi memaparkan usaha cekal para pegawai SPRM dalam menangani kes-kes rasuah.

Katanya, penceritaan dengan unsur-unsur drama dan aksi melalui media massa merupakan antara wadah terbaik untuk menyampaikan mesej ini secara berkesan kepada rakyat.

"Drama Ini menekankan pembanterasan rasuah sebagai agenda tetap dan tidak mahu melihat rasuah jadi budaya bahaya di kalangan masyarakat.

"Perbuatan rasuah harus dijauhi daripada hati dan minda. Jadi, drama Banteras bantu beri kesedaran pada usia muda," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran itu.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad, timbalannya (Pencegahan) Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Ketua Pegawai Eksekutif Fantasy Films Sdn Bhd Adillah Abu Samah.

Salleh turut meminta penerbit-penerbit filem menggunakan media kerajaan seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menghasilkan drama atau filem berkaitan rasuah agar memberikan mesej untuk rakyat dan pemimpin kerajaan supaya menjauhi rasuah.

"Rakyat perlu hargai segala usaha kerajaan dalam membanteras rasuah. Rakyat cepat kutuk, tetapi tidak memahami perasaan dan tugasan berat yang perlu dilalui khususnya apabila ia melibatkan siasatan dan penangkapan kes rasuah.

Rasuah adalah musuh utama kita. Kita perlu perangi rasuah bersama-sama. Saya harap drama Banteras dapat memperjelaskan mesej tersurat dan tersirat dengan jelas. Kalau mesej kabur, maka ia akan menimbulkan kekeliruan. Mesej harus sampai ke pihak penonton," katanya.

Salleh berharap dengan sentuhan daripada pengarah terkenal, Ghaz Abu Bakar yang berpengalaman menghasilkan filem aksi, serta barisan pelakon tanah air yang berbakat, dapat menghasilkan sebuah drama yang berkualiti.

Drama Banteras dengan 13 episod itu, bakal disiarkan menerusi saluran televisyen tempatan dan dijangka memulakan penggambaran pada Sept ini selama tiga bulan dan dibintangi antara lain pelakon hebat masa kini Namron, Khir Rahman dan Sangeetha Krishnasamy.

Ia berkisar kehidupan seorang pegawai pencegahan rasuah dan ujian yang ditempuhinya agar masyarakat mengetahui skop tugas dan cabaran yang perlu dilalui seorang pegawai SPRM.

Sementara itu, Dzulkifli berkata Drama Banteras diharap menyuntik mesej pencegahan rasuah yang mana penonton boleh melihat kesan serta akibat rasuah dengan jelas.

"Jika kita betul-betul hendak memerangi rasuah, perkara pertama, semua pihak mesti menghindarinya. Caranya mudah dan semua orang tahu - Jangan beri, dan Jangan terima Rasuah serta sanggup melaporkan perbuatan rasuah yang berlaku kepada SPRM untuk tindakan," katanya.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1374274

No comments:

Post a Comment