Menampilkan reka bentuk yang unik dengan berdiri utuh di atas tiang-tiang tinggi, Ibu Pejabat SPRM itu sudah pasti mampu mencuri perhatian sesiapa yang melihatnya. 
Lebih menarik, pada waktu malam sinaran cahaya lampu yang menerangi di sekeliling bangunan berkenaan akan menyerlahkan lagi penampilannya dari jarak jauh.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, reka bentuk bangunan tersebut menampilkan suatu kelainan yang cukup unik sekali gus menjadi mercu tanda yang begitu menarik dan boleh dibanggakan oleh seluruh warga kerja SPRM.
Tambah beliau, bangunan yang tersergam indah itu akan memberikan nafas baharu kepada seluruh warga kerja SPRM kerana dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan peralatan yang canggih serta ruang kerja yang kondusif.
"Pelbagai kemudahan telah disediakan termasuk peralatan dan sistem-sistem teknologi yang serba canggih supaya warga kerja SPRM dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih efisien khususnya dalam penyiasatan kes-kes rasuah yang semakin rumit ketika ini,” katanya.
Bangunan tersebut yang telah siap dibina sepenuhnya dan diserahkan secara rasmi pada 21 Julai lalu merupakan bangunan yang direka bentuk agar menepati keperluan operasi serta sistem pentadbiran SPRM.
Jelas Dzulkifli, bangunan berkenaan didirikan atas tanah berkeluasan 2.07 hektar di Presint 7 serta mampu menempatkan kira-kira 1,800 kakitangan. 
"Ibu Pejabat SPRM yang gah ini terdiri daripada tiga menara iaitu A, B dan C masing-masing setinggi 14, 18 dan 22 tingkat berserta tujuh tingkat podium," ujarnya.
Antara kemudahan yang disediakan ialah sebuah dewan serbaguna dengan kapasiti 1,000 orang, auditorium yang mampu memuatkan 300 orang, mes pegawai, taska, gimnasium, bilik simulasi menembak, perpustakaan dan bilik sidang media.
Dari segi aspek keselamatan, bangunan tersebut mempunyai 354 unit kamera litar tertutup (CCTV) yang mengawasi persekitaran luar dan dalam bangunan termasuk di dalam lif serta keseluruhan kawasan dipagari dengan pagar jenis antipanjat dan antipotong yang sukar ditembusi penceroboh.
Maka tidak hairanlah sekiranya selepas ini bangunan berkenaan akan menjadi salah satu daripada tarikan jurufoto atau orang ramai yang berkunjung ke Putrajaya.