Pengurusan Tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah secara sebulat suara memutuskan untuk mengambil tindakan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang enggan memohon maaf atas kenyataan fitnahnya bahawa penahanan Exco Kerajaan Negeri, Phee Boon Poh sebagai “penahanan haram oleh SPRM” walaupun telah diberi satu tempoh masa untuk berbuat demikian.
Sehubungan itu, SPRM akan mengemukakan keputusan yang telah dibuat kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang.
Ingin juga ditegaskan, SPRM menghormati hak serta kebebasan mana-mana pihak untuk mengkritik tetapi tidak akan sama sekali bertolak ansur jika mereka didapati mengeluarkan kenyataan fitnah khususnya berhubung siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM dengan tujuan mencemarkan serta menjejaskan imej dan reputasi SPRM.
SPRM tidak mempunyai kepentingan dalam mana-mana siasatan dan akan menyiasat setiap kes tanpa mengambil kira jawatan, ideologi politik dan kedudukan individu yang disiasat itu.
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
5 SEPTEMBER 2017
No comments:
Post a Comment