Esok genaplah 50 tahun perjuangan agensi itu dalam me­merangi jenayah tersebut yang bermula dengan pembentukan Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1 Oktober 1967.

Nama SPRM mula digunapakai secara rasmi pada 1 Januari 2009 apabila Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi melancarkan penubuhannya melalui penggubalan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 (Akta 694).
Sepanjang tempoh tersebut, SPRM menempuh pelbagai cabaran namun sama ada mahu diakui tidak, nama agensi itu semakin digeruni dan mula meniti di bibir rakyat apabila Dzulkif­li mengambil alih teraju kepemimpinannya dengan dibantu oleh Timbalannya, Datuk Azam Baki.
Pendekatan Dzulkifli yang dilihat tegas, drastik dan disulami elemen-elemen kejutan memungkinkan SPRM kini dianggap agensi paling digeruni di negara kita.
Namun begitu perjuangan SPRM masih panjang. Agensi itu perlu membuktikan kewujudannya masih relevan sekurang-kurangnya untuk tempoh 50 tahun akan datang. Bagaimanapun berdasarkan tekad, azam dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh agensi tersebut, ia bukanlah sesuatu yang mustahil.
Ia memandang­kan dalam melaksanakan tanggungjawabnya, agensi melakukan tindakan tanpa pilih kasih.
Bermula dengan penjawat awam khususnya penguat kuasa, agensi itu turut memburu petualang-petualang rasuah di dalam syarikat milik kerajaan (GLC).
Tidak terlepas daripada panda­ngan agensi itu ialah ahli politik.
Tiada yang terselamat jika ada antara mereka melakukan rasuah atau salah guna kuasa.
Tidak kira ahli politik kerajaan mahupun pembangkang, semuanya pasti berada dalam pemantauan dan genggaman agensi tersebut.
Pada masa sama, rakyat turut dirangkul untuk bersama-sama SPRM memerangi rasuah. Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) dicetuskan oleh Dzulkifli.
Beliau menghabiskan masa berhari-hari menjelajah ke seluruh pelosok negara untuk mendapat sokongan rakyat bagi tujuan murni itu.
Pelbagai acara diatur bagi mendekatkan rakyat dengan ma­syarakat. Kehadiran rombo­ngan SPRM dengan sebuah bas khas menarik perhatian rakyat.
Mereka mengagumi pendekatan tersebut yang dilihat akan ber­upaya menjayakan misi menjadikan ‘SPRM mesra rakyat, digeruni perasuah’.
Selama ini, mungkin bagi ge­nerasi lama mereka hanya me­ndengar sahaja nama BPR ma­nakala generasi baharu hanya mengetahui SPRM wujud, tetapi mereka tidak berpeluang me­ngenali dengan lebih dekat dan paling penting bagaimana untuk bersama-sama ‘bahtera’ SPRM memerangi rasuah.
Kini melalui pendekatan mesra rakyat itu yang diterjemahkan melalui Kembara Jelajah Anti Rasuah (Kejar), ia memungkinkan SPRM bukan sekadar dikenali melalui berita-berita berhubung ketegasannya tetapi rakyat berpeluang bersemuka dengan kepemimpinan agensi itu secara langsung.
Semua itu, SPRM lakukan kerana mahu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik-baiknya. Misi itu hanya boleh tercapai jika agensi itu tidak ganggu apatah lagi di­seret dalam sebarang kontroversi atau polemik.
Jika semua pihak benar-benar mahu melihat negara ini bebas daripada gejala rasuah, maka sokongan padu harus diberikan kepada agensi tersebut. Tidak perlu membuat kenyataan yang seolah-olah mahu memperkecilkan kewibawaan dan kemam­puan agensi tersebut.
Apa yang paling ketara ialah sikap parti-parti pembangkang. Satu ketika dahulu mereka begitu beria-ia menyokong SPRM. Mereka mahu SPRM bebas dan berfungsi dengan sebenar-benarnya dalam memerangi rasuah dan sa­lah guna kuasa.
Tetapi apabila ada dalam kalangan pemimpin mereka ditahan dan didakwa, mulalah nada mereka berubah.
Malah SPRM tidak semena-mena mula mahu diseret secara perlahan-lahan untuk terlibat dalam polemik politik sedangkan apa juga yang dilakukan oleh agensi itu adalah berdasarkan kepada bukti, bukannya semberono.
Seperti mana pernah ditegaskan berkali-kali, kepemimpinan SPRM bukan ahli politik, mereka tidak tahu berpolitik dan SPRM bukan parti politik.
Oleh itu langkah melihat tindakan SPRM ke atas ahli-ahli politik dari sudut politik adalah tidak wajar.
Ia memandangkan agensi itu melaksanakan tugasnya de­ngan profesional.
Walaupun menghadapi keka­ngan khususnya dari segi tenaga, namun SPRM terus melangkah dalam usaha memastikan negara bebas daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa.
Justeru sempena ulang tahun ke-50 penubuhannya, SPRM perlu diperkasa dan diperkukuhkan dari segenap sudut.
Tidak perlu bersusah payah untuk menubuhkan jabatan baharu kononnya bagi menguruskan soal integriti dan tadbir urus baik.
Sudah cukup tugas dan tanggungjawab itu dilaksanakan oleh SPRM, tidak harus ada jabatan apatah lagi agensi lain dalam soal berkenaan.
Apapun kepada SPRM, teruskanlah perjuangan untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa. Masih banyak lagi yang perlu dilakukan dalam usaha untuk memastikan jenayah tersebut tidak terus menghantui negara.

“Aku tidak mahu darah dan daging anak bangsaku
Bertasbih lara di sejadah panjang menghala ke neraka
Aku tidak mahu anak bangsaku
Lahir dari adunan benih seorang perasuah
Aku tidak mahu darah daging anak bangsa
Menjurai duit haram mengalir darah dosa ibu bapa
Yang celik tapi buta matanya kerana tiupan dan belai manis rasuah.”