Monday, September 21, 2015

Pengarah JPJ disiasat SPRM

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Seorang pengarah bahagian, ibu pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Putrajaya bergelar Datuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes menyalahgunakan kuasa dengan memberi beberapa projek bernilai RM200,000 kepada syarikat milik isterinya.

Menurut sumber, individu berke­naan dikatakan menyalahgunakan kuasa dengan memberikan kontrak menyediakan pelbagai perkhidmatan di akademi latihan jabatan beberapa tahun dahulu.

“Kontrak yang diberikan itu termasuk pengurusan acara kursus, latihan, perundingan, membersihkan kawasan dan bangunan akademi. Syarikat itu didaftarkan atas nama isteri dia sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, sumber memberitahu, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

“Pihak SPRM juga telah menyoal siasat sebanyak 20 orang kakitangan JPJ serta merampas sejumlah dokumen untuk tujuan siasatan,” ujarnya.


sumber : http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/pengarah-jpj-disiasat-sprm-lead-1.138917

Wednesday, August 12, 2015

Segerakan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pelantikan Ketua Pesuruhjaya badan bebas

Suasana hangat dan kalut apabila pegawai kanan Suruhanjaya Pencegah­an Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Pengarah Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik, Datuk Rohaizad Yaakob yang diarah berpindah ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta-merta, kembali reda minggu ini.

Ini ekoran kerajaan membatalkan perpindahan Bahri dan Rohaizad ke JPM dengan mengembalikan semula jawatan asal mereka di SPRM Isnin lalu. 

Persepsi negatif timbul dalam kalangan rakyat ekoran siasatan terhadap SRC International dan kemasukan dana RM2.6 bilion ke dalam akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak oleh SPRM masih berjalan.

Lebih malang, rakyat menganggap SPRM yang selama ini dikatakan sebagai bebas, telus dan profesional sebagai sebuah agensi yang boleh diberikan tekanan oleh kerajaan atau dalam kata lain SPRM tidak bebas. 

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO merangkap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika mengulas isu tersebut telah memberi mesej yang cukup jelas bahawa SPRM akan runtuh sekiranya badan penguat kuasa itu terus diganggu oleh pihak luar yang dilihat mempunyai kepentingan ter­tentu.

Kata Khairy lagi, tindakan memindahkan pegawai-pegawai yang sedang menjalankan siasatan ha­nya akan merosakkan SPRM serta memberi gambaran seolah-olah ada agenda tertentu untuk menakut-nakutkan institusi berkenaan.

Apa-apa pun, kita perlu melihat isu ini secara positif demi kebaikan kerajaan, SPRM dan masyarakat pada masa akan datang.

Inilah masanya pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan peruntukan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pelantikan Ketua Pesuruhjaya badan bebas ini disegerakan.

Selama ini tiada Suruhanjaya Perkhidmatan untuk SPRM dan perlantikan Ketua Pesuruhjayanya dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)  dan  jawatannya tertakluk pada Akta(SPRM), Seksyen 5 subsekyen 4, serta disifatkan sebagai anggota perkhidmatan awam am persekutuan bagi maksud tatatertib.

Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu diperuntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan wajar dinaik taraf setanding dengan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara.

Dengan kaedah perlantikan sebegini, diharapkan peranan Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak dipengaruhi atau kelihatan dipengaruhi oleh mana-mana parti politik yang memegang tampuk pemerintah negara.

Seterusnya, turut diharapkan tiada lagi kes umpama Bahri dan Rohaizad ini berulang pada masa akan datang. 

Friday, August 7, 2015

Hubungan Dingin dan Niat Sokongan

*pix-malaysia gazzete


Selepas berita penahanan dan siasatan pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk tiga pengarah berpangkat Datuk oleh polis tersebar, hubungan kedua-dua agensi ini dilihat menjadi dingin.

Perang dingin di laman-laman sosial terus menjadi-jadi.Macam-macam teori2 konspirasi keluar.

Puak-puak pembangkang yang selama ini menghentam SPRM habis-habisan khususnya berkaitan kes Teoh Beng Hock, kini -tiba-tiba buat pusingan 360 darjah. Memberi sokongan pula.

Sokongan kepada SPRM mencurah-curah. Harap-harap niat penyokong ini ikhlas seperti mana yang diluahkan di mulut mereka,

Memang SPRM amat memerlukan sokongan seumpama itu dalam keadaan getir ini. Tapi bagi orang SPRM, janganlah melatah pula bila dilambung dengan mcm-mcm pujian dan sokongan. Teruskan bekerja dengan ikhlas seperti biasa.

Sambutlah semua sokongan tanpa mengira siapa atau pegangan politik, tapi jangan pula emosi hingga dilihat seperti penentang kerajaaan.

Kerana SPRM bukan menentang kerajaan tapi menentang kemungkaran iaitu RASUAH.

Semalam, KPN, TS Khalid mengeluarkan kenyataan bahawa siasatan polis tidak mengganggu siasatan SPRM dan bertujuan utk mencari kebenaran.

Hari ini pula, TPM, DS Zahid pun mengeluarkan kenyataan lebih kurang sama dengan menjamin tiada tindakan lanjut terhadap pegawai-pegawai SPRM tersebut.

Tapi sejauh mana dikatakan tidak mengganggu siasatan SPRM?

Misalnya, kamu disuruh boss untuk membuat satu tugasan penting menggunakan sebuah laptop. Tapi tiba-tiba kawan kamu rampas laptop kamu sebab nak siasat dakwaan kata kamu tengok porno dengan laptop tu. Jadi macamana kamu hendak buat kerja?..memang betul tgk porno salah...tapi tidakkah itu ganggu tugasan penting kamu..

* Kena cari jalan...







Tuesday, August 4, 2015

Solat hajat SPRM: Usah gentar jika di pihak benar



SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak perlu gentar sekiranya mereka berada di pihak yang benar dalam siasatan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, sehubungan itu usaha agensi berkenaan mengadakan solat hajat semalam, bagi mendapat kekuatan dari sudut spiritual wajar dipuji.

“Apa yang kita lihat sekarang, SPRM telah mengambil usaha untuk menjunjung kebenaran sama ada dari sudut fizikal atau spiritual. Usaha fizikal itu termasuk memberi kerjasama kepada mana-mana pihak yang mahu dapatkan kenyataan mereka.

“Manakala, dari sudut spiritual adalah apa usaha yang melibatkan kita dengan Yang Maha Berkuasa iaitu ALLAH SWT seperti berdoa dan solat hajat. 

"Usaha ini bagi mereka mendapatkan kekuatan tambahan untuk terus mendedahkan kesalahan sesiapa saja melalui siasatan yang telus,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut beliau, rakyat di negara ini juga digalakkan membuat solat hajat sekiranya mereka merasakan telah dizalimi dalam apa juga keadaan sama secara langsung atau tidak.

“Malah kalau ada yang ingin buat qunut nazilah atas musibah yang berlaku hari ini pun adalah diharuskan. Kita jangan hanya terlampau risau apa yang di depan mata kerana kekuasaan ALLAH melebihi segala-galanya.

“Kekuatan doa boleh meruntuhkan institusi raja dan menenggelamkan negara suatu ketika dulu. Jadi, jangan sesekali kita memandang rendah usaha untuk berdoa ini,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai wang yang didermakan ke akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti disahkan oleh SPRM, beliau berkata: “Kalau dari sudut Islam, ia dinamakan wang ghulul atau khianat sebab mendapatnya atas nama jawatan dan boleh membawa kepada rasuah.”

SUMBER:

http://www.sinarharian.com.my/semasa/solat-hajat-sprm-usah-gentar-jika-di-pihak-benar-1.416295

Derma....kita tengok sapa yang kena....



Semalam, SPRM telah mengeluarkan satu kenyataan berkaitan siasatan terhadap SRC International dan kemasukan wang sebanyak RM2.6 billion ke dalam akaun Perdana Menteri.

Jelas kenyataan itu, dalam siasatan kes 1MDB, SPRM menyiasat dua perkara iaitu SRC International dan wang RM2.6 billion itu. Siasatan lain dilakukan oleh polis atau Bank Negara mengikut bidang kuasa masing-masing.

Selepas beberapa minit kenyataan itu tersebar di serata dunia menerusi media sosial, maka seluruh dunia bagai terkena histeria kerana SPRM mengesahkan bahawa wang RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun Perdana Menteri itu ialah wang derma.

Di ulangi kenyataan di atas,  SPRM mengesahkan bahawa wang RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun Perdana Menteri itu ialah wang derma. Ya wang derma.

Sebelum ini, isu RM 2.6 bilion ini tidak pernah didedahkan kepada media. Tup-tup muncul.

Jadi, mesejnya jelas tapi penuh tersirat, SPRM kini sedang all out!! Tidak berselindung lagi.

Bukan pasal derma, tapi sah duit itu masuk ke dalam akaun Perdana Menteri.

Tidak perlu tahu siapa yang sangat baik hati menderma berbilon ringgit , kalau nak tahu juga tanyalah empunya diri.

Sudah pasti ada sebab kenapa kenyataan ini dikeluarkan. Apa sebabnya?, hanya SPRM yang boleh jawap.

Semalam juga, tiga pegawai SPRM termasuk dua pengarah berpangkat Datuk disiasat polis berkaitan isu pembocoran maklumat rahsia.

Datuk Bahri iaitu salah seorang pegawai kanan SPRM yang disiasat itu, ketika ditemui media selepas memberi keterangan tersebut menganggap perbuatan menahan Timbalan Pendakwaraya SPRM pada pukul 1 pagi sebagai kerja gila.

Hari ini pula, di ibu pejabat SPRM Putrajaya, warganya melakukan solat hajat bagi mendapat petunjuk dari Allah SWT.

Dalam akhbar Kosmo!... online tajuknya: SPRM mohon takdir terbaik (http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0804&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_10.htm)

Sekali lagi, dua perkara ini adalah mesej besar yang jelas tapi penuh tersirat.

Dalam mencari kebenaran ini, memang penuh ranjau yang perlu dilalui.

Sebagai orang Islam pula, diingatkan, kita diuji  kerana Allah mahu tingkatkan martabat kita. InsyaAllah.

Akhir kalam, rajin-rajinlah menderma, kita tengok siapa yang kena?





Jangan Berundur...bukan isu SPRM vs Kerajaan???

Tindakan polis menyiasat dakwaan kononnya terdapat konspirasi oleh segelintir pihak  untuk menjatuhkan kerajaan seperti dilaporkan oleh sebuah blog tidak boleh dihalang. 

Mereka punyai hak untuk berbuat demikian selagi siasatan itu dilakukan secara profesional dan perkara itu mesti dilakukan atas dasar mencari kebenaran.

Tapi apa yang lebih utama ialah siasatan kes 1MDB kerana ini adalah maruah negara.

Kerajaan perlu percepatkan siasatan ini dan jangan dilengah-lengahkan lagi jika kerajaan berniat untuk mengelakkan fitnah berlaku. 

Sebagaimana pantasnya tindakan yang diambil terhadap mereka yang dikatakan berkonspirasi menjatuhkan kerajaan maka tindakan yang sama juga perlu diambil terhadap pegawai 1 MDB.

Jika kerajaan gagal dalam siasatan kes ini, seluruh rakyat terus hilang kepercayaan kepada pihak berkuasa.

Lebih malang, jika soal integriti dalam negara ini akan dianggap telah mati.

Oleh itu, SPRM bersama agensi-agensi lain dalam pasukan petugas khas jangan sesekali berundur dalam berjuang mencari kebenaran ini.

Dalam keadaan sukar ini, yakinlah rakyat menaruh harapan tinggi serta mengharapkan kebenaran boleh dibawa oleh SPRM.

Ini bukan isu SPRM vs Kerajaan, ini adalah untuk kebenaran bagi masa depan negara yang tercinta!!

Sunday, August 2, 2015

"Budi politik" dan pembaris integriti

Rencana oleh Ku Seman Ku Hussain di Mingguan Malaysia yang bagus untuk dihadam politikus.

Apabila membaca tulisan Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Tun Faisal Tun Aziz bahawa sekiranya ada individu mahu memberikan wang kepada kita, itu adalah hak peribadi dan bukan satu kesalahan, saya melupakan seketika pesanan orang tua-tua supaya berhati-hati menerima budi. Kedudukan tinggi Tun Faisal sebagai "pemikir" sebuah jabatan kerajaan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia berjaya mempengaruhi saya supaya berfikir sealiran dengannya.

Tulis Tun Faisal dalam blognya, “Apabila ada pihak yang hendak masukkan sejumlah wang ke dalam akaun peribadi seseorang, itu adalah bantuan dana politik kepada individu tersebut. Terserahlah bagaimana dia hendak menggunakannya asalkan tidak untuk tujuan yang menyalahi undang-undang sebab itu dana politik peribadinya,”.  Kenyataan ini banyak dipetik oleh media lain.

Pencerahan yang diberikan oleh pemikir Jasa ini membuatkan saya sedikit cemburu, kenapalah saya tidak menyertai politik awal-awal dulu di mana saya bebas  menerima dana politik  atau "budi politik" daripada pihak  yang sangat baik hati.
Saya selalu menganggap kerjaya politik memerlukan duit banyak untuk dilaburkan yang hasilnya belum tentu dikecapi. Saya tidak sanggup untuk mengeluarkan  simpanan yang nilainya  hanya sebesar emas saga untuk diperjudikan.
Rupa-rupanya perkara yang saya fikirkan bertentangan dengan moral dan integriti, sebenarnya bukanlah satu yang salah di sisi undang-undang.  Saya fikir  tidak salah mempercayai Tun Faisal kerana selain pemikir Jasa, dia juga bekas Exco Pemuda UMNO. Saya percaya telah  memetik dan memahami  dana politik  daripada individu yang berwibawa dalam UMNO.
Maka kalau hari ini saya seorang pemain politik dan ada pula  yang menghulurkan dana secara "sukarela", saya tidak  berfikir panjang untuk menerimanya. Ini termasuklah  daripada tauke judi dengan syarat dia mengusahakan pusat judi halal. Itulah apa yang saya faham dengan tulisan Tun Faisal, harap saya tidak  dipersalahkan,   kecualilah  dana itu  daripada sumber tidak halal, misalnya pusat judi yang tidak berlesen dan sebagainya. Selagi berlesen, halallah namanya.

Etika politik

Saya mengakui begitu jauh ketinggalan dalam hukum hakam dan etika politik masa kini. Maka sudut pandangan saya mengenai moral dan integriti sewajarnya tidak boleh dibawa bersama dalam kita melihat suasana politik semasa dalam semua parti termasuk UMNO. Ini sudah  tidak relevan dengan tuntutan politik. Maka saya berazam membuat anjakan pemikiran dan persepsi terhadap keperluan politik bagi seorang politikus. Saya percaya penjelasan Tun Faisal lahir daripada pengalaman berada dalam  fenomena politik semasa.
Daripada penjelasan ini kita boleh memahami bahawa parti juga boleh menerima dana politik daripada pihak luar negara untuk membiayai kegiatan demi kelangsungan parti tertentu. Malah difahamkan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  berusaha keras untuk mendapatkan persetujuan parti politik bagi mewujudkan prosedur yang lebih telus terhadap dana politik. 
Sekali lagi, ini menunjukkan dana politik tidak salah di sisi undang-undang. Dalam lain perkataan, bukan rasuah. Barangkali ini sama dengan politik wang, satu-satunya kes beli undi  yang diuruskan sendiri oleh parti iaitu Lembaga Tatatertib UMNO.  Jangan bimbang ini bukan rasuah.
Tetapi masalahnya dana politik bukan boleh dinikmati oleh semua orang. Kalau yang  berada dalam ranking yang sayup di bawah,  jangan mimpilah ada pihak yang berhati mulia untuk menaja. Yang memberi pun cerdik juga, buat apa memberi dana kalau macam mencampakkan duit dalam sungai, tidak ada pulangan.  Ada ubi ada batas, ada budi mesti kena balas.  
Tidak lama dahulu banyak pihak mempersoalkan dana politik kepada parti pembangkang yang didakwa disalurkan oleh pihak luar khususnya  Amerika Syarikat (AS). Persepsi terhadap dana politik ketika itu adalah satu perbuatan yang jijik. 
Boleh menggadaikan negara khabarnya. 
Saya tidak pasti sama ada Tun Faisal  ada memberikan reaksinya atau tidak dalam isu berkenaan. Tetapi saya pasti dia setuju dengan  pembangkang yang diberi  dana politik. Ini bersandarkan kenyataannya yang saya petik di atas. Tambahan pula dana itu sudah tentu digunakan untuk tujuan yang tidak menyalahi undang-undang, cuma untuk membiayai tuntutan kerjaya politik peribadi.
Walaupun pada mulanya saya  terpengaruh dengan pemikiran  Tun Faisal,  tetapi syukur akhirnya saya sedar bahawa tidak semua perkara diukur dengan  undang-undang. Kita kena juga mengukur  dengan pembaris moral dan integriti. 
Inilah  yang  membezakan tinggi dan rendah nilai antara seorang  dengan yang lain. Ada pemimpin yang lulus saringan undang-undang tetapi orang tidak percaya kerana faktor integriti. Dia didapati tidak bersalah tetapi rakyat berkata, "Selamat jalan."
Suatu yang bermain di fikiran saya ialah setiap "budi politik" pasti akan menuntut balasan. Terlalu baik sangatkah pihak yang memberikan dana tanpa mengharapkan sesuatu?
Integriti bukan diukur dengan riuh rendah atau dan kuatnya  laungan. Integriti diukur daripada perbuatan  yang sekecil-kecil hinggalah yang sebesar-besarnya. Kenalah buat  dan bukan hanya beretorik. Maka terpulanglah kepada orang politik sama ada terus  mewajarkan  "niat boleh menghalalkan cara" atau sebaliknya. 

- SUMBER BERITA: http://www.utusan.com.my/rencana/budi-politik-dan-pembaris-integriti-1.119511#sthash.RzKzUqYd.dpuf