Thursday, July 20, 2017

SPRM UCAP TAHNIAH KEPADA WARGA PENEROKA SEMPENA SAMBUTAN HARI PENEROKA KE-60


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad mewakili warga kerja SPRM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga peneroka bersempena sambutan Hari Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) ke-60 yang akan diraikan pada 21 hingga 23 Julai ini.

SPRM menghargai dan menyanjung tinggi segala pengorbanan warga peneroka yang telah berbakti dan menyumbang kepada pembangunan serta kemajuan ekonomi negara.

SPRM turut mengiktiraf kepentingan peranan warga peneroka dalam melahirkan generasi masa hadapan yang berkualiti, berintegriti dan progresif.

Justeru itu, SPRM ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon sokongan dan dokongan seluruh warga peneroka Felda agar sentiasa bersama SPRM sebagai pencetus gelombang perubahan dalam kalangan masyarakat bagi memerangi anasir rasuah dan salah guna kuasa.

Warga peneroka Felda harus berada di barisan hadapan bersama SPRM bagi membenci, menolak dan memerangi penularan jenayah rasuah dan salah guna kuasa agar segala kepentingan dan kebajikan warga peneroka dilindungi dan terpelihara.

SPRM sebagai sahabat kepada seluruh warga peneroka Felda akan sentiasa melaksanakan tugas dan amanahnya dengan memastikan segala peruntukan dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan buat warga peneroka Felda akan sampai kepada mereka serta tidak tiris atau diseleweng mana-mana pihak.

SPRM juga yakin bahawa Felda di bawah pengurusan baharu yang telah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah pada 9 April lalu akan turut sama melindungi dan menjaga kepentingan warga peneroka Felda dengan melaksanakan segala perancangan penerokaan dan pembangunan tanah secara berintegriti agar ia bebas daripada sebarang jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

SPRM juga berharap warga peneroka Felda di seluruh negara akan turut menyokong dan meresapi agenda perjuangan SPRM melalui Gerakan Revolusi Anti-Rasuah (GERAH) yang dilancarkan oleh SPRM pada 8 Mei lalu agar rasuah dan salah guna kuasa diiktiraf oleh kerajaan sebagai musuh nombor satu negara yang perlu diperangi habis-habisan.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

20 JULAI 2017

Wednesday, July 19, 2017

Henti jadikan SPRM sasaran politik

SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution yang juga Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang ter­nyata tidak selesa apabila Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad membidas tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana tidak mahu menangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Sehubungan itu, beliau membangkitkan persoalan sama ada Dzulkifli mahu menjadi ahli politik atau selebriti? Saifuddin turut menganggap IBR hanyalah untuk menarik perhatian media. Persoalannya, siapa sebenar­nya mahu menjadi selebriti? Dzulkifli atau Saifuddin?

Kalau mahu bercakap soal selebriti (sekadar mahu menarik perhatian media), rasanya sudah ramai pemimpin pembangkang mencapai tahap tersebut. Siapa mereka mungkin Saifuddin lebih mengetahui.

Apa yang dilakukan oleh Dzulkifli sejak menerajui SPRM sama sekali tiada kaitan untuk menjadi selebriti, sebaliknya sepanjang hampir setahun berada di agensi itu, beliau sudah melakukan pelbagai langkah dalam ­usaha memerangi rasuah di negara ini.

IBR, turun padang bertemu rakyat dan melancarkan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) merupakan pendekatan atau perubahan yang dilakukan oleh Dzulkifli dalam memastikan rasuah tidak menjadi barah yang akhir­nya boleh meruntuhkan negara.

Tetapi pemimpin-pemimpin pembangkang seperti Saifuddin tidak mahu mengiktiraf semua itu, sebaliknya mempersoalkan apakah melalui IBR, isu rasuah dapat diselesaikan. Inilah masalah pembangkang, sebelum ini mereka sendiri beria-ia menonjolkan diri sebagai wira memerangi rasuah, namun apabila SPRM bertindak, mereka pula mempertikaikannya.

Saifuddin melakukan kritikan ke atas Dzulkifli semata-mata kerana Ketua Pesuruhjaya SPRM itu membidas Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam soal IBR, bayangkan kalau teguran Dzulkifli melibatkan kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Barisan Nasional (BN), sudah pasti pemimpin pembangkang seperti Saifuddin akan menyokong SPRM.

Kalau benar Saifuddin dan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan mahu memerangi rasuah, kenapa mereka tidak mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk me­lakukan IBR kerana bak kata Dzulkifli, “Jangan hanya bercakap berdegar-degar mengenai isu rasuah dan salah guna kuasa, minta SPRM ambil tindakan dan pelbagai lagi, tetapi mereka sendiri tidak mahu nyatakan ikrar untuk membanteras gejala itu.”

Sebenarnya, ketika Saifuddin mempersoalkan sama ada Dzulkifli mahu menjadi ahli politik atau selebriti, beliau sendiri mahu mempolitikkan segala-galanya termasuklah ketegasan SPRM dalam memerangi rasuah.

Selain itu, apabila Saifuddin menggunakan perkataan, “menunjukkan kedangkalan fikiran dan kurangnya kreativiti…’’ yang ditujukan kepada Dzulkifli, sebenarnya beliau yang bersikap demikian apabila mempersoalkan adakah menangkap pesalah rasuah setiap minggu akan menyelesaikan masalah rasuah.

Persoalannya, apa yang pemimpin pembangkang se­perti Saifuddin mahu SPRM lakukan? Kalau SPRM tidak bertindak agresif seperti menangkap dan mendakwa pesalah rasuah mereka akan menuduh agensi itu lemah dan mengikut telunjuk kerajaan, apabila SPRM bertindak, mereka anggap pula ia tidak mampu membendung rasuah. Begitulah juga apabila Saifuddin mempersoalkan sama ada langkah SPRM mencadangkan Gerah dan bermesra dengan rakyat serta berikrar dapat menyelesaikan masalah rasuah.

Apa salahnya melancarkan Gerah yang bertujuan mewujudkan azam menghapuskan rasuah? Apakah ikrar untuk menolak dan membenci rasuah adalah satu dosa? Adakah langkah Dzulkifli dan SPRM turun bertemu ­rakyat bagi merapatkan hubungan supaya mereka bersama-sama memerangi rasuah adalah satu kesalahan?

Saifuddin sepatutnya menghentikan perbuatan yang boleh dianggap cuba mengheret SPRM ke dalam kancah atau polemik politik. Apa yang dilakukan oleh Dzulkifli bukanlah untuk menjadi selebriti dan tiada kaitan sama sekali dengan politik. Beliau bukanlah insan yang dilahirkan untuk menjadi ahli politik seperti Saifuddin, sebaliknya seorang penjawat awam yang berusaha melaksanakan amanah dengan sebaik-baiknya.

Sama ada IBR, Gerah atau pendekatan turun bertemu rakyat akan berjaya menghapuskan rasuah atau tidak, biarlah rakyat menilainya, tetapi dalam masa sama rakyat juga berhak mempersoalkan kenapa Kerajaan Negeri Pulau Pinang susah sangat mahu melakukan IBR?

Apapun kita tidak harus membuang masa melayan kerenah politik yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang seperti Saifuddin, sebaliknya SPRM perlu meneruskan agendanya memerangi rasuah sehingga ke akar umbi.

Setakat ini biarpun baharu setahun menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli telah berjaya menjadikan agensi itu ‘Mesra Rakyat, digeruni perasuah’. Kalau pencapaian itu tidak mahu diiktiraf oleh pemimpin-pe­mimpin pembangkang, biarkan sahaja.

Penulis percaya SPRM tidak akan terperangkap de­ngan hujah-hujah dangkal bagi mengheret agensi itu ke dalam polemik politik kerana banyak lagi kerja yang perlu dilakukan oleh agensi itu dalam usaha membanteras rasuah di negara ini.

Penulis yakin rakyat sudah bijak menilai kemampuan dan kejayaan SPRM di bawah kepemimpinan Dzulkifli, malah kita percaya dalam kalangan pembangkang pun mereka secara diam-diam mengiktiraf keberkesanan agensi tersebut, tetapi terpaksa berubah nada memandangkan Dzulkifli menegur sekutu mereka, sedangkan apa yang dilakukan oleh Dzulkifli adalah untuk memastikan mana-mana kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan tidak bertindak ibarat ayam jantan berkokok kuat tetapi ekor bergelumang dengan najis!

http://www.utusan.com.my/rencana/utama/henti-jadikan-sprm-sasaran-politik-1.504077#ixzz4nEGxsNYj 

Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah sokong IBR

KUALA LUMPUR - Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) kesal dengan tindakan segelintir pihak yang memperkecilkan inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi rasuah khususnya berkaitan Ikrar Bebas Rasuah (IBR). Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, SPRM telah melaksanakan sesuatu yang terbaik bukan sahaja daripada segi penguatkuasaan malah dalam mendidik dan mewujudkan kesedaran orang ramai berkaitan jenayah rasuah.
Beliau berkata, pengkritik-pengkritik berkenaan seharusnya memberi sokongan penuh kepada SPRM untuk menangani isu rasuah dan salah guna kuasa dan bukannya memutarbelitkan fakta bagi mendapatkan kepentingan politik.

"LPPR mengalu-alukan semua inisiatif yang dicadangkan oleh SPRM termasuk IBR serta memuji transformasi yang dilaksanakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad. "SPRM telah berusaha keras serta sangat komited bagi mendapatkan sokongan masyarakat termasuk ahli politik agar menolak rasuah dan salah guna kuasa," katanya dalam satu kenyataan, semalam. Abdul Aziz berkata, bagi kepentingan negara kita bersama, kita perlu menzahirkan sokongan kepada inisiatif dan komitmen yang ditunjukkan oleh SPRM tersebut.

"Gesaan ini berdasarkan kepada sokongan masyarakat yang semakin meningkat dan sangat menggalakkan terhadap agensi antirasuah berkenaan yang telah menganjurkan pelbagai program," katnya.

Beliau berkata, LPPR turut memuji kerajaan-kerajaan negeri yang telah pun menandatangani IBR kerana menunjukkan komitmen terbuka untuk memerangi rasuah. Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, pembangkang diminta berganding dengan SPRM cegah rasuah serta berhenti memperlekeh suruhanjaya itu.

Katanya, beliau terkilan dengan kenyataan Setiausaha Agung Keadilan, Datuk Saifuddin  Nasution yang dilihat memperkecil-kecilkan peranan SPRM tanpa memahami peranan dan tanggungjawab yang dimainkan suruhanjaya itu dalam membanteras rasuah.

"Sebagai ahli politik kita harus memberi sokongan kepada SPRM untuk bertindak dengan efektif dan berkesan. Jika kita sendiri tidak menghargai dan menghormati tindakan SPRM yang bekerja keras mahu menghapuskan masalah rasuah, rakyat tidak akan menghormati," katanya.

Oleh itu, beliau memenasihatkan pemimpin-pemimpin pembangkang supaya menerima dengan terbuka pandangan Ketua Pesuruhjaya SPRM mengenai sikap Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam soal penerimaan Ikrar Basmi Rasuah.  "Sokonglah SPRM untuk lebih berkesan meskipun SPRM berhadapan dengan kekangan sumber dan kerangka perundangan untuk mereka bertindak tegas terhadap rasuah," katanya.


http://www.sinarharian.com.my/nasional/lembaga-penasihat-pencegahan-rasuah-sokong-ibr-1.705431#

FIC: SPRM akan tahan dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan melakukan beberapa tangkapan dalam masa terdekat selepas beberapa saksi penting berhubung pembelian sebuah hotel di London oleh Felda Investment Corporation (FIC), selesai memberi keterangan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata, pihaknya kini dalam proses untuk mendapatkan lebih ramai saksi dalam proses urus niaga itu.

"Saya tidak menolak beberapa tangkapan akan dibuat pada masa terdekat untuk membantu siasatan ini berikutan pelbagai maklumat yang sudah diterima ketika ini," katanya.

Sementara itu, difahamkan, SPRM ketika ini masih mencari beberapa lagi individu yang juga saksi penting bagi membantu siasatan.

Dengan merakam percakapan saksi itu, SPRM dijangka memperoleh beberapa maklumat terbaharu berhubung pembelian hotel empat bintang di Kensington antara tahun 2013 dan 2015.

Saksi itu boleh membantu menentukan sama ada wujud unsur rasuah dan penyelewengan dalam pembelian hartanah itu.

Dalam perkembangan itu, SPRM hari ini merakam percakapan enam lagi individu dari FIC berhubung siasatan berkenaan.

Mereka yang memberikan kenyataan adalah Ketua Hospitaliti FIC, Ketua Kewangan FIC, Pengurus Kanan Strategik dan Pelaburan, Eksekutif Kewangan, Pembantu Pengurus Kewangan serta Bekas Timbalan Presiden yang juga Ketua Pegawai Operasi.

SPRM sebelum ini mendedahkan beberapa individu akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel bernilai RM330 juta di Kensington oleh FIC pada 2014.

Hasil maklumat siasatan awal mendapati FIC dipercayai membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga pasaran sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.


http://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/07/303769/fic-sprm-akan-tahan-dalam-masa-terdekat#cxrecs_s

Monday, July 17, 2017

Dokumen FIC dibawa keluar SPRM

Selepas hampir lapan jam berada di Balai Felda, pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akhirnya membawa keluar sebahagian dokumen daripada Felda Investment Corporation (FIC) bagi siasatan lanjut.
Kesemua dokumen berkenaan dibawa keluar oleh pegawai dan anggota sebelum meninggalkan menara berkenaan menaiki dua buah kenderaan SPRM kira -kira pukul 6 petang tadi.

Difahamkan kesemua dokumen itu telahpun menjalani proses siasatan awal sebelum ia dibawa keluar dari pejabat FIC ke Putrajaya.

Kesemua dokumen terbabit terdiri daripada empat kotak bersaiz A4. - UTUSAN ONLINE

http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/video-dokumen-fic-dibawa-keluar-sprm-1.503923#ixzz4n8Rq87rA 

Sunday, July 16, 2017

IBR:SPRM tidak berpolitik

JOHOR BAHRU 17 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berpolitik apabila bekerjasama dengan mana-mana organisasi, agensi atau jabatan kerajaan negeri untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebaliknya menegaskan, kesediaan SPRM itu menunjukkan tanggungjawab mereka dalam memberikan kesedaran selain menunjukkan komitmen memerangi serta membanteras gejala rasuah.

“Saya percaya SPRM tidak berpolitik. (Mereka) yang berpolitik adalah pihak-pihak yang tidak dapat melakukan ikrar yang sama,” katanya ditemui pemberita selepas Majlis Meraikan Bakal-bakal Haji Rombongan Kerajaan Negeri Johor Tahun 1438/2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini sebentar tadi.


Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution semalam mempersoalkan tindakan SPRM itu dan mendakwa tindakan menandatangani IBR hanya untuk mendapat perhatian media.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri semalam melakar sejarah apabila menjadi JAS pertama di Malaysia yang menzahirkan komitmen memerangi rasuah dengan melafaz dan menandatangani IBR.

http://m.utusan.com.my/berita/wilayah/johor/ibr-sprm-tidak-berpolitik-1.503882#.WWxbZ5e8qCw.whatsapp

Wednesday, July 5, 2017

SPRM janji tangkap 'ikan jerung'

SPRM akan terus tangkap 'ikan jerung'! Demikian ditegaskan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamshun Baharin ketika menafikan dakwaan kononnya hanya 'ikan bilis' yang menjadi sasaran mereka selama ini.

Sebagai bukti, kata Shamshun, sepanjang enam bulan pertama tahun ini, SPRM berjaya menahan 501 orang dan daripada jumlah itu, 223 orang terdiri daripada kakitangan awam.

"Daripada sejumlah kakitangan awam yang ditahan ini, 12 orang daripadanya adalah pegawai-pegawai tinggi agensi kerajaan terutama membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Advertisement
Menurutnya, bermula Januari hingga Jun tahun ini juga, 232 orang telah didakwa di mahkamah, manakala 113 orang bersabit kesalahan.

"Pada Mei tahun ini mencatatkan jumlah penangkapan paling tinggi iaitu 108 orang dan jumlah yang didakwa ke mahkamah pula seramai 71 orang.

"Sementara jumlah membabitkan kesalahan paling tinggi ialah pada Januari tahun ini iaitu seramai 34 orang," katanya.

Beliau berkata, sekiranya mengikut jumlah penangkapan pada separuh pertama tahun ini, SPRM menjangkakan memecahkan rekod tertinggi dari segi jumlah tangkapan iaitu melebihi 1,000 orang sepanjang tahun ini.

"Rekod tangkapan tertinggi sebelum ini dicatatkan pada 2010 iaitu seramai 944 orang," katanya.

Beliau menjelaskan, sekalipun jumlah tangkapan melebihi 1,000 orang, tetapi itu bukan bermakna gejala rasuah di Malaysia semakin teruk, sebaliknya rakyat semakin banyak beri sokongan kepada SPRM dalam usaha membanteras rasuah.