Wednesday, September 26, 2018

Kes 1MDB uji Amla

AMLA adalah akronim atau singkatan nama undang-undang utama negara ini yang diluluskan Parlimen untuk membanteras jenayah pengubahan wang haram iaitu Anti-Money Laundering Act 2001 (Akta 613), yang mula berkuatkuasa pada 15 Januari 2002. Akta ini kemudian dipinda pada Mac 2007 untuk membolehkan kerajaan membanteras pembiayaan keganasan. Tajuk asal akta ini dipinda kepada Anti-Money Laundering and Anti-Terrorism Act Financing (AMLATFA), atau dalam bahasa Malaysia, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.
Sebelum AMLA wujud apabila pihak berkuasa menjalankan siasatan mengenai satu jenayah kolar putih, undang-undang yang dipakai adalah seperti Kanun Keseksaan, Akta Syarikat 1965, Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988 dan Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Kini, dengan adanya AMLA 2001 dan Akta SPRM 2009 (yang menggantikan Akta Pencegahan Rasuah 1997), tugas pihak berkuasa membanteras jenayah pengubahan wang haram boleh dijalankan dengan lebih berkesan.

Kesalahan pengubahan wang (money laundering) diperincikan dalam seksyen 4 AMLA sebagai perbuatan seorang itu yang melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan. Juga, memperoleh, menerima, memiliki, menyembunyikan, memindahkan, mengubah, menukar, membawa, melupuskan atau menggunakan hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan.

Selain itu, mengalihkan dari atau membawa masuk ke dalam Malaysia, hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan. Atau merahsiakan, menyembunyikan atau menghalang pemastian sifat sebenar, sumber, lokasi, pergerakan, pelupusan, hakmilik, hak berkenaan dengan atau pemilikan hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan.

Hukuman bagi kesalahan pengubahan wang adalah penjara tidak melebihi lima tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram atau lima ribu ringgit (yang mana lebih tinggi) atau kedua-duanya sekali.

Di bawah AMLA sekarang, sesiapa sahaja yang melakukan satu kesalahan berat atau kesalahan berat asing adalah melakukan aktiviti haram. Siapa sahaja yang melakukan aktiviti haram sama ada dalam negara atau di luar negara, boleh disiasat di bawah AMLA.

Kelebihan AMLA, berbanding undang-undang lain boleh dilihat dalam 4(4) yang menyatakan seorang itu boleh disabitkan dengan kesalahan pengubahan wang haram di bawah seksyen 4(1) AMLA tidak kira sama ada dia telah disabitkan dengan satu kesalahan berat di bawah mana-mana akta yang disebutkan dalam Jadual Kedua AMLA itu atau pun satu pendakwaan telah dijalankan terhadapnya di bawah akta tersebut.

Di sebalik `kelebihan’ AMLA seperti yang disebut di atas, namun apabila dibandingkan hukuman yang boleh dikenakan oleh mahkamah setelah seorang tertuduh itu disabitkan, hukuman di bawah Akta SPRM 2009 adalah lebih berat lagi. Hukuman penjara maksimum di bawah AMLA adalah lima tahun manakala di bawah Akta SPRM 2009 hukuman penjara maksimum adalah 20 tahun.

Saya kira ramai rakyat negara ini kini sudah meneliti kandungan buku tulisan Tom Wright dan Bradley Hope berjudul Billion Dollar Whale. Buku ini menceritakan perihal Jho Low (yang kini diburu pihak berkuasa kita) menjalankan `aktiviti haramnya’ melibatkan dana 1MDB.

Sama ada pendedahan Wright dan Hope dalam buku ini akan disusuli pada suatu hari nanti dengan pengemukaan bukti yang menyokong oleh pasukan pendakwa dalam kes-kes akan datang bagi mensabitkan individu tertentu yang dikatakan melakukan kesalahan pengubahan wang haram, kita tunggulah sahaja.

Sementara itu, selaras dengan kehendak rule of law, kita perlu menganggap seorang itu tidak bersalah sehinggalah kesalahannya dibuktikan melampaui keraguan yang munasabah di mahkamah dalam satu prosiding terbuka.

Pada 19 September lalu, SPRM telah melakukan tangkapan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Pada keesokannya beliau menghadapi 25 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berkaitan kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadinya - iaitu empat pertuduhan di bawah seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, dan 21 pertuduhan di bawah seksyen 4 (1) (a) AMLA. Beliau mengaku tidak bersalah.

Ketika bercakap dengan wakil media di ruang legar kompleks mahkamah Jalan Duta, Najib berkata, segala pertuduhan yang dihadapkan ke atasnya ini memberinya peluang untuk membersihkan namanya. “Saya bukan pencuri,” tegasnya. Mahkamah menetapkan 16 November ini untuk sebutan semula kes. Perjalanan kes ini dijangka mengambil masa yang panjang.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.

http://www.utusan.com.my/rencana/utama/kes-1mdb-uji-amla-1.755436#ixzz5SHRBRszW

Sunday, September 23, 2018

Kenapa Najib tak dipakai baju jingga? Ini jawapan SPRM

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan wujud layanan istimewa yang diberikan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak apabila bekas perdana menteri itu tidak dipakaikan baju jingga dan digari ketika dibawa ke mahkamah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki pada Sabtu berkata pemakaian baju jingga dan gari adalah bergantung kepada budi bicara pegawai pengendali dan keperluan kes.
"Datuk Seri Najib bukan satu-satunya kes yang kita kendali di mana yang ditahan tidak dipakaikan baju oren dan tidak digari. Sebelum ini pun sudah ada.

"Biasanya, pegawai yang mengendalikan akan melihat jika ada orang yang ditahan itu boleh membawa kemudaratan seperti melarikan diri atau membuat kecoh, maka dia perlu digari dan dipakaikan baju jingga itu," jelas Azam.

Beliau berkata demikian ketika ditemu ramah dalam program SPRM 360 di Bernama Radio, hari ini.


Jangan keliru peranan SPRM - Azam Baki

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengulangi komitmen mereka sebagai sebuah badan bebas dan tidak tertakluk kepada mana-mana parti politik dalam membanteras rasuah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, meminta orang ramai agar tidak keliru dengan peranan mereka sebagai badan penyiasat rasuah, dan tidak bertanggungjawab dalam menentukan kes yang dibicarakan di mahkamah.

Mengambil contoh kes Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, yang sebelum ini pernah disiasat ketika negara masih di bawah pimpinan Barisan Nasional, jelas Azam, ia tertakluk kepada penilaian pendakwaraya dan peguam negara.

"Kes-kes yang ditarik balik adalah berasaskan penilaian Peguam Negara dan Jabatan Peguam Negara. Tak kisahlah siapa pun dia dan bila dia disiasat, SPRM akan menyiasat berdasarkan maklumat yang diperolehi.

"Kita buka kertas siasatan, tetapi sama ada ia akan berakhir dengan pendakwaan atau tidak, ia bergantung kepada dapatan fakta kes.

"Dalam kes Lim Guan Eng, pendakwaraya tidak memohon untuk kes ditarik balik, sebaliknya hanya permohonan DNAA atau discharged not amounting to an acquittal (permohonan untuk melepaskan tanpa membebaskan tertuduh). Tetapi mahkamah yang membuat keputusan agar beliau dilbebaskan," katanya sambil menegaskan, SPRM tidak mempunyai kuasa untuk menarik balik kes.

Beliau berkata demikian ketika ditemu ramah dalam program SPRM 360 di Bernama Radio, hari ini.

Dalam pada itu, Azam tidak berselindung apabila meluahkan kebimbangan berkenaan peningkatan kes rasuah dalam beberapa sektor, iaitu perolehan, penguatkuasaan dan grand corruption (korupsi di peringkat tertinggi kerajaan yang mengganggu dasar atau fungsi pusat negara).

"Situasi ini akan menyebabkan kesan yang besar dari segi ekonomi kerana akan berlakunya ketirisan. Kerana itu fokus kita sekarang adalah pada kes-kes sebegini dan membabitkan mereka yang mempunyai kuasa.

"Dalam keadaan ekonomi negara sekarang, kita tidak mahu penjenayah-penjenayah ini membuat kerosakan lebih besar," tambahnya lagi.


http://www.astroawani.com/berita-malaysia/jangan-keliru-peranan-sprm-azam-baki-186293

SPRM kenal pasti 3 punca utama rasuah

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenalpasti sektor perolehan dan penguatkuasaan serta individu yang mempunyai kepentingan dan kuasa menjadi penyumbang utama gejala rasuah di negara ini, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki.
“Rasuah membabitkan perolehan dan individu berkepentingan mempunyai kaitan kerana pihak berkenaan mempunyai kuasa dalam meluluskan sesuatu projek.

”Ini antara penyebab ketirisan ekonomi negara sama ada wang hilang akibat jenayah rasuah atau wang tidak dikutip akibat jenayah (rasuah) ini,” katanya selepas menjadi tetamu bual bicara #SPRM360 terbitan Bernama Radio di sini, hari ini.

Azam berkata, bagaimanapun, pihaknya tetap komited dalam mengendalikan kes berprofil tinggi yang menyebabkan ketirisan wang negara.

“Kita tidak mahu jenayah ekonomi seperti ini menyebabkan kita kehilangan lebih banyak wang negara.

“Walaupun gejala rasuah di negara kita ini boleh dianggap serius, namun ia masih boleh dikawal... dengan kerjasama masyarakat dan SPRM ia mampu dibanteras,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengapa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak memakai pakaian lokap SPRM berwarna oren, Azam berkata pemakaian pakaian lokap dan bergari untuk suspek kes rasuah adalah tertakluk kepada budi bicara pegawai penyiasat.

“Bukan Najib sahaja yang tidak pakai (baju oren dan gari). Ramai lagi yang tidak pakai. Orang bertanya mengapa. Ia adalah kuasa budi bicara penyiasatan.

“Sekiranya pegawai penyiasat merasakan suspek perlu pakai baju oren, bergari, ia bergantung kepada aspek kemudaratan. Sekiranya ia mendatangkan kemudaratan, maka ia perlu,” katanya.

Khamis lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 25 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Mahkamah membenarkan Najib diikat jamin sebanyak RM3.5 juta yang perlu dibayar secara berperingkat sehingga 28 September ini. – BERNAMA


https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/09/476833/sprm-kenal-pasti-3-punca-utama-rasuah

Jangan bocor maklumat diri – SPRM

KUALA LUMPUR 22 Sept.– Individu yang berniat menyalur maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta tidak mendedahkan maklumat dan diri mereka kepada pihak lain terutama dalam media sosial sekiranya mahu dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, akta tersebut bertujuan memberi perlindungan kepada pemberi maklumat daripada sebarang tindakan memudaratkan akibat pendedahan yang telah dibuat.

“Sekiranya mereka beritahu semua orang merekalah pemberi maklumat tersebut, ataupun bertindak memberikan maklumat yang di­salurkan kepada kita itu dalam media sosial serta media massa, hak perlindungan itu akan terlucut serta merta.

“Tanggapan masyarakat yang takut keselamatan terancam selepas salur maklumat ini perlu dibetulkan, kalau mereka tidak dedahkan diri mereka dan maklumat yang diberikan, memang menjadi tugas SPRM untuk melindungi mereka,” katanya selepas program temubual #SPRM360 anjuran Radio Bernama di Wisma Bernama, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata, SPRM berusaha membawa pulang barangan rampasan berhubung siasatan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dari luar negara.

Menurutnya, perbincangan selama tiga hari telah diadakan dengan tiga negara iaitu Singapura, Switzerland, Amerika Syarikat (AS) pada Selasa hingga Khamis lalu.

“Kita sebenarnya lebih menumpukan kepada bukti-bukti berbentuk keterangan yang diambil di tiga negara tersebut,” katanya.


http://www.utusan.com.my/berita/nasional/jangan-bocor-maklumat-diri-8211-sprm-1.752942#ixzz5RyGukmDh 

Wednesday, September 19, 2018

SPRM papar senarai pengisytiharan harta pemimpin kerajaan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memaparkan pengisytiharan harta anggota Kabinet dan anggota Parlimen Pakatan Harapan (PH) di portal suruhanjaya itu bermula 1 Oktober ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata, ini seiring arahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahukan semua wakil rakyat PH bersikap telus dan bebas rasuah.

“Usaha memaparkan pengisytiharan harta ini kali pertama kita lakukan untuk tatapan umum,” katanya ​​​selepas menjadi tetamu program Ala Carte Pagi Bernama Radio untuk memperkenalkan rancangan bual bicara SPRM 360, di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua anggota kabinet dan wakil rakyat PH perlu membuat pengisytiharan itu kepada Pejabat Perdana Menteri yang kemudian akan menghantar salinannya kepada SPRM untuk dimuat naik di portal suruhanjaya.

Mengulas lanjut, Shamsun Baharin berkata, setakat pihaknya belum menerima senarai penuh pengisytiharan berkenaan.

Katanya, SPRM dimaklumkan kesemua anggota pentadbiran dan mereka yang berkenaan harus mengisytiharkan harta masing-masing dalam tempoh tiga bulan selepas mengangkat sumpah jawatan.

“Tempoh itu masih berkuat kuasa dan pada 1 Okt nanti kita akan lihat siapa yang sudah melaksanakan pengisytiharan harta itu,” katanya.

Mengulas rancangan bual bicara SPRM 360, beliau berkata, program akan bersiaran bermula 22 Sept ini di Bernama Radio.

"Rancangan 13 episod ini akan bersiaran pada setiap Sabtu dari 10 pagi hingga 12 tengah hari dengan setiap minggu menampilkan pengurusan tertinggi SPRM sebagai tetamu untuk bercakap berhubung isu pencegahan rasuah," katanya.

Beliau berkata program SPRM 360 itu juga akan menjadi platform suruhanjaya dan media khususnya Bernama dalam menyebar luas mesej berkaitan pencegahan rasuah.

"Walaupun terdapat SPRM My Anti-Corruption Channel (MACC.fm), capaiannya tidak meluas berbanding radio biasa. Sebab itu kita adakan kerjasama dengan Bernama sebagai usaha mendapatkan lebih ramai pendengar.

"Ini kerana rasuah adalah isu nasional yang perlu kita dapatkan sokongan daripada semua pihak memandangkan masyarakat sendiri yang sangat terkesan jika gejala rasuah dibiarkan berlarutan," katanya. -- BERNAMA

NAJIB RAZAK DITAHAN SPRM UNTUK PENDAKWAAN LAGI

KENYATAAN MEDIA RASMI SPRM:


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak berhubung kes yang menarik perhatian masyarakat tempatan dan antarabangsa iaitu kes 1MDB berkaitan kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadi beliau.

Penahanan itu dibuat pada petang ini jam 4.13 petang di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Mohd. Najib akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah  Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara. Mohd. Najib akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 20 September 2018, jam 3.00 petang untuk pertuduhan di mahkamah.

SPRM juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi  merakam percakapan Mohd. Najib sebelum beliau dibawa ke mahkamah esok bagi membantu siasatan pihak polis mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

19 SEPTEMBER 2018