Tuesday, March 1, 2016

Rasuah perlu ditangani dengan tegas, tanpa gentar dan pilih kasih - Sultan Perak


KUALA LUMPUR: Kegagalan memerangi dan membanteras rasuah secara serius dan berkesan dibimbangi mampu melumpuhkan negara.

Demikian titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzudin Shah sambil menyeru agar rasuah di negara ini ditangani dengan tegas oleh pelbagai agensi bertanggungjawab, tanpa gentar dan pilih kasih.

"Rasuah merupakan barah yang dikatakan sedang merebak dalam batang tubuh negara; rasuah bagaikan anai-anai yang sedang membusut besar dan semakin mereputkan tonggak-tonggak utama negara. Masakan pokok semakin bergoyang, jika tiada angin yang meniupnya.

"Kegagalan memerangi dan kegagalan membanteras rasuah secara serius, secara bersungguh, secara berkesan, secara komited, dibimbangkan berpotensi melumpuhkan negara, dan rakyat keseluruhannya terpaksa membayar dengan penderitaan dan kesengsaraan seperti dialami oleh rakyat di kebanyakan negara mundur."

Baginda bertitah pada majlis Anugerah Bisnes Utusan yang dianjurkan Kumpulan Utusan di sini, hari ini.

Baginda juga bertitah agar Kumpulan Utusan melalui bahan penerbitannya berperanan aktif dalam membantu membina sebuah pentadbiran dan sebuah negara bangsa yang sifar rasuah.

"Salah laku rasuah hendaklah dilaporkan tanpa memihak, tanpa gentar, tanpa berat sebelah, kerana rasuah adalah rasuah tidak kira siapa yang melakukannya," titah Baginda.

Sultan Nazrin bertitah agar rakyat diasuh dengan budaya benci rasuah dan menolak pemimpin yang melakukan rasuah.

"Warga perlu dididik untuk memandang rasuah dengan rasa amat jijik. Ruangan yang meningkatkan kesedaran tentang rasuah hendaklah disediakan.

"Contoh tokoh-tokoh yang bersih rasuah boleh dijadikan teladan sementara kisah-kisah pemimpin yang melakukan rasuah boleh dijadikan sempadan," titah Baginda lagi.

Indeks Persepsi Rasuah 2015 oleh Transparency International, meletakkan negara mencapai skor 50 daripada 100 markah dan negara berada pada ranking ke-54 daripada 168 buah negara yang dinilai.


Sunday, February 28, 2016

IDEAS,C4 bentang cadangan memperkasakan SPRM

INSTITUT Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) bersama Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) telah membentangkan beberapa cadangan bagi memperkasakan sistem dan kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika mengendalikan kes rasuah di negara ini, di Ipoh baru-baru ini.

Perkara tersebut dikemukakan oleh Eksekutif Kanan IDEAS, Shaza Onn bersama Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel ketika menjadi panel dalam forum bertajuk "Catching Monkey: Fighting Corruption in Malaysia" yang dihadiri oleh kira-kira 30 wakil pelbagai organisasi.

Turut bertindak sebagai panel forum tersebut ialah bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato' Sri Zakaria Jaffar.

Antara cadangan yang dikemukakan ialah mewujudkan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah (SBPR) di bawah peruntukan perlembagaan yang mana organisasi itu akan bertindak sebagai badan bebas yang diketuai oleh Pesuruhjaya.

Struktur ini akan memisahkan SBPR dengan SPRM mengikut undang-undang yang telah ditubuhkan dan SPRM akan dinamakan semula sebagai Badan Bebas Pencegahan Rasuah (BBPR).

Selain itu, IDEAS dan C4 turut mencadangkan pindaan Akta SPRM 2009 dengan memperluaskan definasi 'penerimaan rasuah" dan kuasa untuk menyiasat pegawai awam yang hidup di luar kemampuan mereka.

Turut disentuh ialah mengenai pindaan akta-akta berkaitan khususnya Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk membolehkan dokumen berkaitan pendedahan rasuah diterbitkan untuk tatapan umum, memperkemaskan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Perlindungan Saksi 2009.

Shaza turut mengemukakan cadangan mengenai pemisahan bidang kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta mengkaji semula tatacara pendakwaan.

Jelas beliau, perkara ini akan memastikan percanggahan kepentingan antara kedua-dua bidang kuasa tersebut dapat dielakkan.

Sementara itu, Dato' Sri Zakaria berkata, mana-mana pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu mencadangkan kepada kerajaan untuk meminda Seksyen 29(4) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan bahawa kandungan setiap aduan hendaklah dirahsiakan sekiranya perkara itu dikatakan sebagai menyekat kebebasan serta faktor kurang keyakinan masyarakat terhadap SPRM.

Dato' Sri Zakaria menjelaskan, berdasarkan pengalaman beliau selama 33 tahun bersama SPRM, badan tunggal penguat kuasa pencegahan rasuah itu tetap berpegang kepada 
undang-undang berkenaan yang bertujuan melindungi serta mengelak mereka yang dituduh daripada teraniaya.

"Jika boleh semua perkara kita mahu kongsikan, tetapi SPRM berpegang kepada Seksyen 29(4) ini yang mana aduan hanya boleh didedahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya atau pegawai penyiasat sahaja," ujarnya.

Justeru itu, beliau berkata, masyarakat perlu memberi kepercayaan sepenuhnya kepada SPRM yang mempunyai kuasa menyiasat serta mempertingkatkan sokongan terhadap agensi berkenaan.

"Kuasa menyiasat itu hanya ada pada SPRM, jadi masyarakat perlu meningkatkan keyakinan dan memberi sokongan seperti mana rakyat Indonesia menyokong 
Komisi Pemberantasan Korupsi," katanya.


Monday, February 22, 2016

'Follow the money'

Mantan TKP P&P SPRM,  Dato' Sri Zakaria Jaffar  berkongsi pengalaman beliau mengendalikan skandal Perwaja.

SATU persoalan yang seringkali ditimbulkan oleh banyak pihak, dan tidak ketinggalan juga ahli-ahli politik adalah, mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil masa yang lama untuk menyiasat satu-satu kes.

Siasatan kes rasuah bukan mudah. Bukan seperti kes-kes jenayah yang lain. Ada kes rasuah boleh disiasat dengan cepat. Ada kalanya ia akan mengambil masa yang lama. Kemungkinan bertahun-tahun.

Bagaimanapun hasil program transformasi SPRM, kebelakangan ini kebanyakan kes dapat diselesaikan dengan segera. Bermakna dalam tempoh 12 bulan. Laporan Tahunan 2014 SPRM menunjukkan 85 peratus berjaya disiapkan dalam tahun semasa iaitu dalam tempoh 12 bulan. Ada juga kes yang mengambil masa yang lama, bergantung pada kerumitan.

Minggu ini saya akan berkongsi pengalaman saya mengendalikan skandal Perwaja.

Skandal Perwaja pernah menjadi isu besar satu masa dahulu. Ia bermula apabila syarikat berkaitan kerajaan itu mengalami kerugian berbilion ringgit, dipercayai akibat penyelewengan dan salah urus syarikat. Siasatan dibuat secara bersepadu antara BPR (sebelum SPRM dibentuk pada tahun 2009) dan Polis Diraja Malaysia. Ia juga mendapat nasihat perundangan daripada Jabatan Peguam Negara.

Saya sendiri terlibat dalam siasatan kes ini yang menyaksikan pengarah urusannya, mendiang Tan Sri Eric Chia didakwa di mahkamah atas kesalahan pecah amanah melibatkan RM76.4 juta. Pertuduhan dibuat pada 9 Februari 2004 setelah lebih lapan tahun siasatan dibuat bagi mencari bukti dan keterangan.

Saya tidak berhasrat mengulas panjang kes ini kerana ini telah diputuskan oleh mahkamah. Pada 26 Jun 2007, Tan Sri Eric Chia dibebaskan kerana isu teknikal. Beliau meninggal dunia ketika rayuan sedang dibuat ke atas keputusan mahkamah.

Apa yang ingin saya kongsi adalah pengalaman menarik menjalankan siasatan berprofil tinggi yang amat rumit dan merentas sempadan. Ini merupakan kes terawal yang mana kaedah 'money trail' dibuat. Pada masa itu, siasatan sebegini dikenali sebagai 'follow the money'.

Pergerakan wang yang diperoleh daripada kesalahan dikesan dan dituruti ke mana ia pergi. Terlalu banyak transaksi, dokumen dan saksi terlibat. Siasatan perlu mengumpulkan bukti melibatkan transaksi bank yang rumit di negara Jepun, Switzerland, Hong Kong dan China. Saksi-saksi di luar negara perlu dikesan dan dirakam percakapan menggunakan bantuan daripada agensi penguat kuasa negara lain. Seperti yang saya sebutkan tadi, selama lebih lapan tahun BPR bekerja keras menjalankan siasatan.

Skandal Perwaja merupakan kes pertama di Malaysia yang menggunakan peruntukan di bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 atau MACMA 2002. Kesan daripada kes ini, beberapa pindaan telah dibuat dalam Akta Keterangan 1950 bagi membolehkan keterangan saksi yang direkod di luar negara dapat diterima di mahkamah Malaysia.

Proses itu juga melibatkan Mutual Legal Assistance (MLA) di mana SPRM perlu memperoleh kebenaran atau 'consent' Peguam Negara jika ingin mendapatkan keterangan saksi di luar negara. Ini cabaran kepada SPRM dalam menjalankan siasatan.

Saya berharap orang ramai akan memahami keperluan perundangan ini apabila menilai keberkesanan fungsi dan amanah yang diletakkan ke atas SPRM.

Ketegasan Sarawak perangi rasuah perlu dicontohi

Mustafar (tengah) pada Majlis Penerangan SPRM Sarawak Bersama ‘Key Communicator’ Pemimpin Politik Parlimen Sibuti, Ketua Agensi Kerajaan Berisiko Tinggi dan Pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Bahagian Miri semalam.


KETEGASAN Sarawak memerangi amalan rasuah, salah guna kuasa selain kegiatan pembalakan haram perlu dicontohi dalam mewujudkan urus tadbir yang telus.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mustafar Ali berkata tahun lalu Sarawak merupakan negeri pertama menandatangni Ikrar Integriti melibatkan 26 anggota kabinet negeri dan 19 setiausaha politik.

Mustafar berkata, inisiatif menandatangani ikrar itu menampakkan keberkesanan khususnya dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan dan sistem penyampaian kepada rakyat selain usul-usul pencegahan rasuah berjaya dilaksanakan dengan baik.

Inisiatif dilaksanakan itu yang pertama seumpamanya dilakukan oleh seorang Ketua Menteri dan kerajaan negeri di Malaysia, diyakini mampu memperkukuh keyakinan rakyat terhadap jentera pentadbiran kerajaan negeri di semua peringkat.

“Sebagai contoh, usul pencegahan rasuah dalam industri pembalakan membolehkan kerajaan negeri dan SPRM melakukan tindakan bersepadu dalam menguatkan undang-undang sekali gus membanteras pembalakan haram.

“Kejayaan ini termasuk tangkapan, sitaan terhadap pihak melakukan pembalakan haram termasuk jentera dan kilang serta pembekuan aset selain pendakwaan terhadap mereka di mahkamah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penerangan SPRM Sarawak bersama ‘Key Communicator’ Pemimpin Politik Parlimen Sibuti, Ketua Agensi Kerajaan Berisiko Tinggi dan Pemimpin-Pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di sini, semalam.

Mustafar menambah, ini adalah isyarat jelas bahawa kerajaan negeri di bawah Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem amat komited dan serius dalam usaha memerangi salah laku dan rasuah di semua peringkat.

“Ketua Menteri amat tegas dalam perkara ini dan tidak boleh disifatkan sebagai ‘main wayang’ atau gimik. Kita ambil tindakan tegas jika cukup bukti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak Datuk Badrul Shah Norman berkata bermula 1 Januari hingga 22 Februari (semalam) pihaknya menahan 24 orang bersabit pelbagai kes.

“Bagaimanapun, kes itu tiada melibatkan pembalakan, hanya beberapa kes seperti lesen memandu dan setakat ini masih dalam siasatan,” katanya.

Lebih 70 pemimpin politik, ketua pemuda, ketua cawangan dan ketua bahagian Parlimen Sibuti, ketua-ketua agensi penguatkuasaan dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghadiri program sehari itu.

Ini merupakan julung kali diadakan di Parlimen Sibuti. Hadir sama Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, Residen Bahagian Miri Antonio Kahti Galis dan Ketua Publisiti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Yusuf Sani Wahab.

Tuesday, February 16, 2016

Drama Ops SPRM

SPRM Dakwa Bekas Pengarah Urusan Tanjung Offshore, Kesalahan Pengubahan Wang Haram RM13 juta


BEKAS Pengarah Urusan Tanjung Offshore Berhad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan yang berkaitan dengan transaksi jual beli ekuiti saham sebuah syarikat bernilai lebih RM34 juta tiga tahun lalu.

Dato’ Harzani Azmi, 49, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan, masing-masing satu di bawah Akta Syarikat 1965 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Di bawah Seksyen 366 (1)(a) Akta Syarikat 1965, Harzani didakwa mengemukakan kepada Lembaga Pengarah Tanjung Offshore Berhad satu kertas cadangan bertajuk “Proposed Acquisition of Remaining Shares In Gas Generators (M) Sdn Bhd mengenai pembelian 49% saham Gas Generators (M) Sdn Bhd, yang dimiliki Appolusa Sdn Bhd pada harga RM34.3 juta, walhal nilai saham tersebut adalah tidak benar kerana melebihi nilai sebenar yang mana bertujuan mendorong ahli Lembaga Pengarah Tanjung Offshore Berhad memasuki “Share Sale Agreement Between Appolusa Sdn Bhd dan Tanjung Offshore Berhad” bertarikh 21 Oktober 2013 untuk pembelian 49% saham Gas Generator (M) Sdn Bhd.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 10 pagi, 21 Oktober 2013 di Bilik Mesyuarat Pejabat Tanjung Offshore Berhad, Wisma UOA, Damansara, Kuala Lumpur.


Pertuduhan ini dikenakan di bawah Seksyen 366 (1)(a) Akta Syarikat 1965. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda RM250,000 atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Harzani didakwa mengarahkan firma guaman Mathews Hun Lachimanan memindahkan wang berjumlah RM13.3 juta dari Clients Account di Standard Chartered Berhad milik Mathews Hun Lachimanan kepada Client Trust Account milik Kenanga Investment Bank Berhad di Standard Chartered Berhad.

Harzani didakwa melakukan kesalahan itu di 10-3, Batu 3, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, antara 14 November 2013 dan 27 November 2013.

Pertuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun.

Bagi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Dato’ Umar Saifudin Jaafar dan Husmarudin Husim.

Hakim Mohd Nasir Nordin membenarkan jaminan sebanyak RM200,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin. Mahkamah juga mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport beliau kepada mahkamah.


Mahkamah menetapkan  23 Mac 2016 untuk sebutan semula kes.

Tiga Anggota Polis Ditahan SPRM Negeri Sembilan


Tiga anggota polis cawangan Risikan Jenayah (D4) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan berhubung kes penjualan semula kenderaan klon.

SPRM dalam kenyataannya berkata ketiga-tiga mereka masing-masing berumur 36, 54 dan 27, bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontingen (IPK) Negeri Sembilan ditahan pada pukul 2.30 petang tadi di sebuah restoran dekat sini.

"Mereka ditahan bersama barang kes RM1,500. Kes melibatkan penjualan kereta yang dirampas tanpa membuat laporan polis dan ia dijual semula kepada seorang lelaki Cina," kata kenyataan itu.

Menurut SPRM, ada kenderaan klon yang telah pun dijual manakala suspek telah dibawa untuk membolehkan pihaknya merampas kereta klon yang masih dalam simpanan.

Ketiga-tiga suspek itu kini ditahan bagi membantu siasatan dan dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban di sini esok untuk tujuan reman.

Ketua Polis Negeri Datuk Jaafar Mohd Yusof ketika dihubungi Bernama bagaimana pun tidak dapat mengesahkan tangkapan itu.