INSTITUT Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) bersama Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) telah membentangkan beberapa cadangan bagi memperkasakan sistem dan kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika mengendalikan kes rasuah di negara ini, di Ipoh baru-baru ini.
Perkara tersebut dikemukakan oleh Eksekutif Kanan IDEAS, Shaza Onn bersama Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel ketika menjadi panel dalam forum bertajuk "Catching Monkey: Fighting Corruption in Malaysia" yang dihadiri oleh kira-kira 30 wakil pelbagai organisasi.
Turut bertindak sebagai panel forum tersebut ialah bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato' Sri Zakaria Jaffar.
Antara cadangan yang dikemukakan ialah mewujudkan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah (SBPR) di bawah peruntukan perlembagaan yang mana organisasi itu akan bertindak sebagai badan bebas yang diketuai oleh Pesuruhjaya.
Struktur ini akan memisahkan SBPR dengan SPRM mengikut undang-undang yang telah ditubuhkan dan SPRM akan dinamakan semula sebagai Badan Bebas Pencegahan Rasuah (BBPR).
Selain itu, IDEAS dan C4 turut mencadangkan pindaan Akta SPRM 2009 dengan memperluaskan definasi 'penerimaan rasuah" dan kuasa untuk menyiasat pegawai awam yang hidup di luar kemampuan mereka.
Turut disentuh ialah mengenai pindaan akta-akta berkaitan khususnya Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk membolehkan dokumen berkaitan pendedahan rasuah diterbitkan untuk tatapan umum, memperkemaskan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Perlindungan Saksi 2009.
Shaza turut mengemukakan cadangan mengenai pemisahan bidang kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta mengkaji semula tatacara pendakwaan.
Jelas beliau, perkara ini akan memastikan percanggahan kepentingan antara kedua-dua bidang kuasa tersebut dapat dielakkan.
Sementara itu, Dato' Sri Zakaria berkata, mana-mana pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu mencadangkan kepada kerajaan untuk meminda Seksyen 29(4) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan bahawa kandungan setiap aduan hendaklah dirahsiakan sekiranya perkara itu dikatakan sebagai menyekat kebebasan serta faktor kurang keyakinan masyarakat terhadap SPRM.
Dato' Sri Zakaria menjelaskan, berdasarkan pengalaman beliau selama 33 tahun bersama SPRM, badan tunggal penguat kuasa pencegahan rasuah itu tetap berpegang kepada
undang-undang berkenaan yang bertujuan melindungi serta mengelak mereka yang dituduh daripada teraniaya.
"Jika boleh semua perkara kita mahu kongsikan, tetapi SPRM berpegang kepada Seksyen 29(4) ini yang mana aduan hanya boleh didedahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya atau pegawai penyiasat sahaja," ujarnya.
Justeru itu, beliau berkata, masyarakat perlu memberi kepercayaan sepenuhnya kepada SPRM yang mempunyai kuasa menyiasat serta mempertingkatkan sokongan terhadap agensi berkenaan.
"Kuasa menyiasat itu hanya ada pada SPRM, jadi masyarakat perlu meningkatkan keyakinan dan memberi sokongan seperti mana rakyat Indonesia menyokong
Komisi Pemberantasan Korupsi," katanya.
No comments:
Post a Comment