Tuesday, January 12, 2016

Intergriti peribadi, kita ini barang pinjaman


DALAM kehidupan seharian, saya selalu berpegang kepada konsep "kita ini hanya barang pinjaman". Allah meminjamkan kita satu benda dengan harapan kita melakukan sesuatu yang baik di dunia. Maka, sepanjang hayat, kita perlu melakukan yang terbaik. Malah perkara ini ditekankan oleh Islam. Ali Imran ayat 109 dengan jelas menyebut, “Dan bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.”

Sebagaimana saya sebutkan dalam tulisan sebelum ini dan saya menekankan dalam hampir setiap ceramah bahawa pegawai SPRM ini mempunyai tugas yang berat iaitu mencegah seseorang itu daripada melakukan rasuah. Itu peranan SPRM. Maka, kerja pegawai SPRM sesuatu yang murni. Ibadah namanya!

Begitu juga anggota masyarakat yang lain. Tidak kira pangkat dan kedudukan. Sama ada yang berkuasa atau rakyat pun biasa. Mereka perlu ada integriti peribadi. Integriti peribadi yang memastikan dan memandu kita agar tidak melakukan kemungkaran yang boleh memudaratkan diri sendiri dan orang lain, juga negara.

Dalam memastikan integriti peribadi ini menjadi kenyataan dan dijadikan amalan dan budaya, kita perlu melakukan tiga perkara dalam memperlihatkan "diri kita ini satu barang pinjaman".

Pertama: Kita perlu sedar bahawa kita ini lahir hasil kuasa 'Creator' atau 'Pencipta'. Kita ada Pencipta yang perlu dijadikan panduan dalam setiap tindak-tanduk kita. Pencipta tidak mahu kita melakukan perkara-perkara yang mungkar. Kita perlu sedar bahawa di atas kita ada seorang yang bernama Pencipta.

Kedua: Mengambil berat atau menjaga persekitaran yang diamanahkan. Kita, sebagai barang yang dipinjamkan, perlu menjadi menjaga atau mengambil berat akan dunia dan mereka yang di sekeliling kita dengan menggunakan panduan dan manual yang disediakan. Sama ada manual agama atau bukan agama seperti undang-undang ciptaan manusia. Kita juga ada kepercayaan. Kita perlu mengelakkan perkara-perkara yang ditegah oleh undang-undang dan agama. Sudah pasti dalam perkara ini perlakuan rasuah adalah mustahak. Kita harus mengelak dan menjauhi jenayah rasuah.

Ketiga: Kita sebagai ‘barang pinjaman’ akan diambil semula oleh Pencipta pada bila-bila masa. Kita perlu bersedia untuk diambil pada bila-bila masa untuk kembali ke tempat asal mengikut kehendak Pencipta. Kita perlu redha kepada kehendak ini. Ini mandatori. Kita akan diambil semula sama ada secara sekali gus, beransur-ansur, atau sama ada dengan ‘notis’ atau tanpa ‘notis’.

Dengan mengambil kira konsep "barang pinjaman", kita perlu melakukan yang terbaik sepanjang masa. Tidak kira sebagai atas kapasiti diri sendiri ataupun atas kapasiti jawatan, kedudukan dan autoriti yang diberikan.

Atas konsep ini, kita perlu melakukan yang terbaik untuk mencegah rasuah sama ada dengan menyampaikan mesej menjauhi rasuah, mencegah perbuatan rasuah atau menguatkuasakan undang-undang pencegahan rasuah.

Kita tidak tahu masa yang ada kepada kita. Kalau seorang pegawai badan pencegahan rasuah, sudah pasti kita boleh menjangkakan sama ada usia 58 atau 60 tahun sebagai masa persaraan. Itu pun kalau Pencipta tidak membawa kita kembali kepada Dia sebelum tempoh perkhidmatan berakhir.

Kini saya ada masa selepas bersara pada 12 Oktober lalu. Saya sedang menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk meningkatkan kesedaran menjauhi rasuah. Pentingnya membenci rasuah.

Rumusannya, saya sentiasa menekankan keperluan bahawa kita boleh mengatasi isu rasuah jika menggunakan konsep "kita ini barang pinjaman". Dipinjamkan untuk melakukan yang terbaik di dunia ini sepanjang tempoh pinjaman, yang kita sendiri tidak tahu berapa lama.


Pesanan saya tingkatkan integriti peribadi demi semua!

No comments:

Post a Comment