Tuesday, January 26, 2016

PMBK Tandatangan Ikrar Integriti Korporat Cegah Rasuah


KOTA BAHARU, 25 Jan (Bernama) -- Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) hari ini menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) sebagai komitmen menyokong usaha pencegahan rasuah.

CIP itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMBK Ahmad Zakie Ahmad Shariff dan disaksikan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Ahmad yang juga Pengerusi PMBK berkata integriti adalah suatu yang penting dalam pengurusan sektor korporat dan pentadbiran awam khususnya PMBK sebagai syarikat pelaburan kerajaan Kelantan.

"Dalam melaksanakan kerja, kita hendaklah memenuhi tuntutan ajaran Islam dan melalui ikrar tersebut akan menjadi panduan untuk kita meningkatkan integriti dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanah," katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut, di sini.

Beliau berharap melalui CIP itu juga akan dapat meningkatkan lagi keuntungan kepada PMBK dan 14 anak syarikatnya.

Terdapat lima prinsip dalam CIP iaitu mempromosikan nilai-nilai ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik; memperkukuhkan mekanisme kawalan dalaman dengan memasukkan elemen yang menyokong pencegahan rasuah; dan pematuhan undang-undang serta peraturan yang berkaitan dengan memerangi rasuah.

Prinsip CIP turut meliputi usaha membanteras sebarang bentuk amalan rasuah dan menyokong inisiatif pencegahan rasuah yang diusahakan oleh kerajaan dan SPRM.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment