Itu antara modus operandi sindiket penyeludupan manusia bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa ketika membantu warga asing memasuki negara ini secara haram menerusi Sungai Golok, Rantau Panjang.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Datuk Abdul Aziz Aban berkata, taktik tersebut digunakan seorang transporter atau pengangkut yang cuba membawa masuk enam warga Myanmar menerusi sungai tersebut, baru-baru ini.

Bagaimanapun, kata beliau, lelaki tersebut ditahan pegawai SPRM ketika cuba merasuah anggota penguat kuasa bagi membolehkan dia menyeludup kumpulan warga asing tersebut.

“Ini merupakan taktik penyamaran sindiket penyeludupan manusia yang sememangnya gemar memilih Sungai Golok bagi melakukan kegiatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed serta Ketua Pegawai Eksekutif PMBK, Ahmad Zakie Ahmad Shariff.

Menurut Abdul Aziz, pihaknya yakin penahanan lelaki yang dipercayai menganggotai sindiket ter­tentu bakal membawa kepada lebih banyak penangkapan suspek pada masa depan.

“Kertas siasatan sudah selesai dan kes ini akan dibicarakan di mahkamah dalam masa terdekat,” katanya.