Tingkatkan rondaan pagar sempadan KTMB
Atasi segera penyeludupan, elak perbuatan rasuah
KUALA PERLIS 8 Nov. - Kerajaan negeri mengarahkan pihak berkuasa meningkatkan rondaan di kawasan pagar sempadan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Padang Besar dekat sini, bagi mengatasi segera masalah penyeludupan di situ.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, pihaknya juga meminta setiap anggota pasukan keselamatan ditugaskan di kawasan itu ditukar secara lebih kerap bagi mengelak berlakunya perbuatan rasuah.
“Kita tidak mahu ada anggota penguat kuasa yang terlalu lama dan menjadi kawan dengan penyeludup. Saya sudah sampaikan perkara ini kepada pihak yang berkenaan dan tindakan sedang diambil,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Gotong-royong Mega Bersepadu di Kampung Padang Besar Selatan, di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zaini Hussain.
Beliau diminta mengulas laporan khas akhbar ini baru-baru ini mengenai isu pagar sempadan di stesen KTMB Padang Besar yang berlubang sehingga menjadi lokasi penyeludupan daun ketum dan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Azlan seterusnya menegaskan, satu rundingan mengenai soal penjagaan pagar sempadan perlu digerakkan oleh Kerajaan Pusat bersama Thailand kerana ia merupakan isu bilateral dan tanggungjawab bersama.
“Kita perlu mencari satu mekanisme khusus dan persefahaman yang diputuskan di peringkat Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama rakan sejawat di Thailand sebelum diterjemahkan di peringkat bawah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak agar membudayakan kebersihan sebagai cara hidup bagi mengelak berlakunya penyakit seperti demam denggi.
“Apa yang kerajaan negeri lihat, budaya kebersihan dalam kalangan penduduk di kawasan kampung masih rendah walaupun mengetahui tentang bahaya penyakit demam denggi yang boleh membawa maut.
“Kalau di kampung, pelepah kelapa dan kelopak jantung pisang yang jatuh ke tanah merupakan antara lokasi boleh berlakunya pembiakan nyamuk,” katanya.
No comments:
Post a Comment