PENDANG - Cubaan tiga individu termasuk seorang lelaki tempatan memberi wang sogokan RM10,000 kepada pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen Kedah gagal apabila ditahan dalam satu operasi di tapak pembinaan ladang ayam di Lubuh Getah, kelmarin.
Dalam operasi bermula jam 6.20 petang itu, seorang pekerja warganegara Bangladesh menawarkan wang RM3,000 kepada Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Yusrazif Wan Yusoh.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata, pekerja Bangladesh di tapak pembinaan ladang ayam menawarkan wang berkenaan supaya tindakan penguatkuasaan tidak diambil terhadap 17 warga asing ditahan.
“Pekerja tapak pembinaan ini memaklumkan wang RM3,000 berkenaan ditawarkan seorang lelaki lain yang juga ketua warga Bangladesh yang bekerja di tapak pembinaan ladang ayam itu.
“Bagi mendapatkan maklumat lanjut, Yusrazif yang mengetuai operasi telah meminta lelaki berkenaan hadir sendiri bagi menyerahkan wang sepertimana ditawarkan,” katanya.
Sebelum itu, 17 pekerja Bangladesh berusia antara 27 hingga 35 tahun ditahan kerana dikesan tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa.
Berikutan itu, Yusrazif bertindak menghubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya.
Beberapa pekerja Bangladesh kemudiannya berpura-pura hendak melarikan diri, namun cubaan mereka gagal dan ditahan semula pihak berkuasa.
Seorang lagi pekerja warga Bangladesh cuba menawarkan lagi wang bernilai RM8,000 bagi membolehkan pekerja warga asing dapat dilepaskan.
Tidak lama kemudian, seorang lelaki warga tempatan hadir menyerahkan wang pendahuluan sebanyak RM5,000 manakala seorang warga Bangladesh hadir memberi wang RM10,000 lebih kurang jam 9 malam.
Mohamad Yusri berkata, pihak SPRM bertindak menahan seorang lelaki yang didakwa diarahkan memberi wang sogokan selepas dia menyerahkan wang berkenaan untuk tindakan lanjut.
"Seorang penduduk tempatan berusia 23 tahun bersama dua lelaki Bangladesh berusia 36 dan 37 tahun turut ditahan.
"Tindakan menawarkan wang sogokan sedemikian tidak boleh diterima. Kami tidak akan sesekali akan berkompromi bagi membasmi rasuah," katanya.
No comments:
Post a Comment