Wednesday, November 18, 2015

Bantu SPRM, FAM sediakan formula mujarab basmi rasuah bolasepak



Mungkin ramai yang masih ingat pada 1994 apabila ratusan pemain bola sepak di negara ini disoal siasat berhubung isu rasuah dan kesudahannya ada yang dibuang daerah di atas kesalahan tersebut.
Kelmarin, sekali lagi isu ‘lapuk’ ini dibangkitkan apabila Menteri Belia dan Sukan Malaysia Khairy Jamaluddin mendedahkan aktiviti mengatur perlawanan adalah antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan prestasi pasukan bola sepak negara.
Khairy berkata, perkara itu juga menyebabkan wujudnya pelbagai masalah berkaitan termasuk judi, peras ugut dan penawaran rasuah kepada pemain.
Mengulas kenyataan Khairy tersebut, Presiden Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar menegaskan bahawa gejala rasuah tidak akan berlaku sekiranya kebajikan pemain dan pegawai dijaga oleh pasukan atau kelab masing-masing terutama gaji.
Berdasarkan kenyataan Hairuddin itu, bermakna di sini, segala jenis kelompongan serta ruang yang dilihat berupaya mewujudkan gejala rasuah harus dihentikan supaya ia tidak membarah. 
Oleh sebab itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia FAM harus mencari satu mekanisme paling mujarab bagi memerangi isu tersebut.
Mekanisme yang dikenal pasti itu tidak harus bersifat sementara dan pada masa yang sama mampu membasmi rasuah hingga ke peringkat akar umbinya.
Dalam pada itu, tidak kiralah apa jua jawapan atau alasan daripada pemain atau kelab, yang pasti pihak-pihak berkenaan perlu memainkan peranan memperbaiki kelemahan tersebut.
Semua pihak perlu memainkan peranan bagi menutup lubang rasuah kerana ini adalah tanggungjawab kita bersama.
Saya yakin SPRM akan terus memainkan peranan penting dalam memberi khidmat nasihat bagi membaiki mana-mana sistem yang lemah tersebut.
Bersama-samalah kita membasmi dan membebaskan gejala terkutuk ini daripada terus memusnahkan sukan bola sepak negara. 


No comments:

Post a Comment