PENDEDAHAN media mengenai kegiatan penyeludupan di stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Padang Besar, Perlis, dipandang serius oleh pasukan keselamatan negara yang mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.
Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner Shafie Ismail sendiri turun padang meninjau lokasi itu serta kawasan sempadan lain selepas pendedahan dibuat. Tinjauan dilakukan selama dua hari dengan helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berpangkalan di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Tujuannya bagi mendapat gambaran lebih jelas tentang situasi pagar sempadan termasuk di lokasi-lokasi hutan yang tidak dapat dimasuki oleh kenderaan.
Hasilnya, pagar-pagar yang berlubang diperbaiki kontraktor dilantik pada petang sejurus pendedahan itu. Lampu-lampu pula dinyalakan bermula pukul 7 petang sehingga pukul 7 pagi bagi menerangi lokasi terbabit.
Jabatan Tanah dan Galian Perlis pula serta-merta mengeluarkan status bahawa kawasan bersemak yang menyumbang kepada kegiatan penyeludupan di stesen itu disahkan milik KTMB. Status kawasan itu menjadi tanda tanya sejak sekian lama sehingga sukar untuk mana-mana pihak mengambil tindakan membersihkannya.
Perkembangan ini sudah tentu melegakan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pos Bukit Kuan Chu (BKC) 7 di situ, yang kini lebih mudah untuk memantau kegiatan penyeludupan.
Menurut satu sumber keselamatan, jika perkara-perkara ini dapat diselesaikan, pihaknya yakin kawasan stesen itu yang diletakkan sebagai lokasi paling panas penyeludupan di sempadan Perlis dapat 'dibersihkan' daripada aktiviti itu.
"Namun apa yang penting, kesungguhan semua pihak untuk membantu sama dalam menyelesaikan perkara ini. Ini termasuklah memastikan setiap anggota pasukan keselamatan ditempatkan di situ mempunyai integriti yang tinggi.
"Perkara ini pernah disuarakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika menjalankan operasi khas membanteras penyeludupan petrol di kawasan sempadan Perlis, Mac lalu, yang menyaksikan lebih 20 orang penguat kuasa diberkas ketika pertukaran tugas di Kedah.
"SPRM percaya tiada elemen lain seperti pagar 'bocor' kecuali yang lebih utama adalah soal integriti. Oleh itu, kembalikan 'fear factor' (rasa takut) penyeludup terhadap penguat kuasa kita," katanya.
Jika soal pagar bocor atau semak hendak ditimbulkan, terdapat kawasan pagar sempadan lain dari Sintok, Kedah sehingga ke utara Perak yang jauh lebih daif serta tiada bekalan asas. Namun tidak pula terdengar pelbagai masalah tentang penyeludupan yang timbul.
Nampak seolah-olah terdapat segelintir penguat kuasa yang 'tewas' apabila berhadapan tawaran lumayan daripada penyeludup ketum sehingga mencemar nama lebih ramai lagi yang tidak sanggup menggadai maruah sendiri.
Dalam pada itu, peruntukan RM500 juta kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini, diharap dapat digunakan untuk membaik pulih pagar-pagar, memasang kamera litar tertutup (CCTV) selain mewujudkan Unit Berkuda bagi menunjukkan kehadiran polis di kawasan sempadan.
Mudah-mudahan penyeludup dan penjenayah merasa gerun dan ‘pagar’ kita tidak bolos lagi.
No comments:
Post a Comment