Monday, November 9, 2015

SPRM Pulau Pinang anjur Larian Anti Rasuah





SAMARAJOO (tengah) bersama Timbalan Pengarah SPRM Negeri Yusof Samsudin (kiri) dan Ketua Unit Pencegahan SPRM Negeri Teh Chong Earn menunjukkan kemeja-T dan pingat untuk peserta larian. 






Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menyasarkan lebih 1,000 peserta akan mengambil bahagian dalam Larian Anti Rasuah Pulau Pinang (PACRUN) di Padang Kota Lama pada 6 Disember ini.

Larian sejauh 6 kilometer itu terbuka kepada semua bagi meraikan sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa yang diraikan pada 9 Disember setiap tahun selain ingin menyampaikan mesej kepada masyarakat supaya bersama-sama SPRM memerangi rasuah.

Pengarah SPRM negeri Datuk M Samarajoo berkata, larian lebih berkonsep kepada ‘Fun Run’ melalui beberapa laluan utama di sekitar pusat bandar itu bertujuan merapatkan hubungan antara SPRM dengan masyarakat.

“Penyertaan adalah percuma dan setiap peserta akan diberikan kemeja-T eksklusif PACRUN dan 100 peserta terawal yang menamatkan larian akan menerima pingat dan sijil penyertaan.

“Selain larian pelbagai acara lain turut diadakan termasuk pameran dan aktiviti senaman bersama beberapa jabatan kerajaan termasuk Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang,” katanya.

Samarajoo berkata, borang penyertaan PACRUN boleh didapati di Pejabat SPRM Pulau Pinang dan penyertaan dibuka sejak 1 November lalu hingga 30 November ini.

Kaunter dibuka dari jam 9 pagi hingga 5 petang dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 04-2271982 atau 010-3414700

No comments:

Post a Comment