Transformasi tingkat prestasi siasatan SPRM
Hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif yang diperkenalkan menerusi Program Transformasi sejak 2010 telah membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencatatkan prestasi baik secara berterusan dalam pelbagai segi termasuk penyelesaian kes-kes rasuah yang disiasat pada tahun yang sama.
Selain peningkatan kadar sabitan sejak tahun 2009, satu lagi aspek yang mencatatkan perkembangan positif ialah bilangan kes yang disiasat yang dapat diselesaikan pada tahun yang sama pada tahun 2014 telah mencecah paras 85 peratus. Ia satu peningkatan yang membanggakan berbanding 81.6 peratus yang direkodkan pada tahun 2013 dan 75 peratus pada tahun 2012.
Pada tahun 2014, SPRM telah membuka sebanyak 919 kertas siasatan di mana telah dapat menyelesaikan 85 peratus atau 781 kes.
"Kejayaan ini merupakan hasil program transformasi sektor operasi melalui pelaksanaan pendekatan pengurusan siasatan berpasukan (MTI)," kata Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
MTI adalah salah satu inisiatif yang diamalkan susulan program transformasi sektor operasi. Program transformasi SPRM memfokus sektor operasi, modal insan dan pencegahan, yang mana kesemuanya dilaksanakan secara berperingkat sejak tahun 2010.
Melalui program transformasi ini, beberapa inisiatif baharu diperkenalkan dan penambahbaikan dibuat terhadap program atau aktiviti yang masih relevan. Antaranya, pengurusan aduan yang lebih sistematik melalui pengenalan Sistem Pengurusan Aduan (CMS), penggunaan bilik temu bual bervideo (VIR) yang berjaya mengekalkan aduan sifar berkaitan kekerasan pegawai SPRM semasa merakam percakapan saksi, suspek dan orang kena tangkap, pendekatan pengurusan siasatan berpasukan (MTI) dengan fasiliti Bilik Gerakan Operasi Siasatan (BGOS) berjaya memendekkan tempoh siasatan.
Inisiatif-inisiatif transformasi yang diguna pakai oleh SPRM juga mendapat pengiktirafan antarabangsa di mana Biro Mencegah Rasuah (BMR) mencontohi langkah SPRM dengan membina Bilik Gerakan Operasi Khas (BGOS) bagi melengkapkan pendekatan pengurusan siasatan berpasukan (MTI).
Sesungguhnya 2014 merupakan tahun yang amat mencabar tetapi penuh bermakna bagi SPRM. Pelbagai perkembangan dan pencapaian besar di peringkat domestik mahupun antarabangsa berjaya dikecapi hasil usaha gigih dan sokongan semua pihak.
"Di persada antarabangsa, SPRM berbangga apabila kaedah MTI yang diilhamkan oleh transformasi ini diiktiraf dan menjadi ikutan agensi luar negara," kata beliau.
Tahun 2014 juga menyaksikan peningkatan membanggakan dalam aspek operasi di mana 552 orang ditangkap atas kesalahan rasuah berbanding 509 orang pada tahun 2013.
Daripada sebanyak 919 kertas siasatan yang dibuka pada tahun 2014, 326 (35.5 peratus) membabitkan kesalahan menerima rasuah, 159 (17.3 peratus) kesalahan memberi rasuah, 283 (30.8 peratus) kesalahan tuntutan palsu, 69 (7.5 peratus) kesalahan salah guna kedudukan, 82 (8.9 peratus) lain-lain kesalahan.
Dalam pada itu, kata beliau, SPRM turut berbangga kerana jumlah pertuduhan yang dibawa ke mahkamah telah meningkat dari 289 pada tahun 2013 kepada 317 pada tahun 2014.
"Begitu juga jumlah denda yang dikenakan oleh mahkamah ke atas pesalah rasuah iaitu RM13 juta di mana ia meningkat daripada RM11.6 juta pada tahun 2013," katanya lagi.
Pencapaian dalam kadar sabitan masih berada di paras yang baik iaitu 78 peratus berbanding 54 peratus ketika SPRM dibentuk pada tahun 2009. Dalam pada itu, aset bernilai RM2.8 juta juga berjaya dilucuthakkan pada tahun 2014.
Dalam pada itu, SPRM juga telah membuka sebanyak 136 Kertas Pemeriksaan dan Perundingan di mana ia telah menghasilkan 231 cadangan penambahbaikan, yang telah dikemukakan kepada agensi-agensi kerajaan dan swasta. Salah satu cadangan membabitkan syor penambahbaikan sistem dan prosedur kerja berkaitan penguatkuasaan dan pentadbiran tanah di Cameron Highlands, isu yang mendapat perhatian banyak pihak pada tahun 2014.
Selaras dengan dasar Merakyatkan SPRM, tumpuan pemeriksaan dibuat terhadap isu-isu nasional dan mempunyai kepentingan awam.
Malah, selaras dengan dasar Merakyatkan SPRM, tahun 2014 memperlihatkan kejayaan SPRM membongkar penyelewengan kes-kes bersindiket yang melibatkan isu nasional, antaranya kes penyelewengan bantuan khas kepada nelayan di Terengganu dan pembalakan haram di Sarawak.
Hasil program transformasi, tahap keyakinan masyarakat terhadap SPRM terus meningkat ke paras 67.8 peratus berbanding 65.8 peratus peratus pada tahun 2013. Dengan usaha penambahbaikan berterusan, SPRM menyasarkan tahap keyakinan masyarakat akan meningkat kepada 70 peratus pada tahun 2015.
Gabungan antara komponen transformasi dan dasar Merakyatkan SPRM telah memberi nafas baharu kepada SPRM untuk merealisasikan visi dan misi yang direncanakan.
Peningkatan skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2014 kepada 52 berbanding 50 pada tahun 2013 merupakan bukti kejayaan negara hasil inisiatif yang dilaksanakan. Pencapaian ini yang merupakan hasil kerjasama semua pihak, adalah yang terbaik sejak 2014 dan SPRM berharap skor CPI mampu melonjak ke paras yang lebih baik pada tahun-tahun akan datang.
Masyarakat meletakkan harapan yang sangat tinggi ke atas SPRM. Bagi Pengurusan Tertinggi SPRM, harapan masyarakat ini adalah amanah yang wajib dilaksanakan sedaya upaya demi negara tercinta.
Mengenai pencapaian sepanjang tahun 2014, Tan Sri Abu Kassim juga berpandangan, "sesungguhnya 2014 merupakan tahun yang amat mencabar tetapi penuh bermakna bagi SPRM."
"Pelbagai perkembangan dan pencapaian besar di peringkat domestik mahupun antarabangsa berjaya dikecapi hasil usaha gigih dan sokongan semua pihak," kata beliau.
Gabungan antara komponen transformasi dan dasar Merakyatkan SPRM telah memberi nafas baharu kepada SPRM untuk merealisasikan visi dan misi yang direncanakan.
Tan Sri Abu Kassim berkata, masyarakat meletakkan harapan yang sangat tinggi ke atas SPRM. "Harapan masyarakat ini adalah amanah yang wajib dilaksanakan SPRM sedaya upaya demi negara tercinta," kata beliau.
No comments:
Post a Comment