Monday, November 9, 2015

Kerjasama SPRM dan REACH Pupuk Integriti Tangani Isu Cameron Highlands



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH) bercadang mengadakan program memupuk integriti dan mencegah rasuah bagi memulih dan menyelamatkan pusat peranginan terkenal itu.

Program itu merupakan antara perkara yang telah dipersetujui oleh SPRM dan REACH pada satu pertemuan di Cameron Highlands baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, susulan tragedi yang melanda Cameron Highlands sudah tiba masanya nilai-nilai integriti dan membenci serta melaporkan sebarang bentuk perbuatan rasuah perlu dipupuk dan dilaksanakan dengan berkesan.

"SPRM yakin usaha bersepadu ini, dengan usaha yang sedang diambil oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pahang, kita boleh menyelamatkan Cameron Highlands," kata Mustafar.

Mustafar berkata, SPRM bercadang membawa bersama agensi-agensi kerajaan negeri dan pusat dalam sesi taklimat mengenai gerakan pengukuhan integriti dan memerangi rasuah bagi membolehkan penduduk Cameron Highlands mengemukakan aduan kepada agensi-agensi berkaitan.

"SPRM sudah pun menempatkan pegawai di Cameron Highlands. Jadi, siri taklimat mengenai integriti dan membenci rasuah akan menjadi pendekatan bersepadu dan berterusan ke arah mengelakkan permasalahan, termasuk tragedi banjir, hakisan tanah dan penerokaan tanah secara haram dari berulang," katanya.

Kata Mustafar, semua pihak di Cameron Highlands perlu diberi penjelasan mengenai hak mereka.

"Sama ada pekebun, usahawan atau rakyat biasa di Cameron Highlands, mereka harus tahu tentang hak dan tanggungjawab mereka dan bagaimana mereka perlu bertindak.”

"Jika setiap daripada mereka tahu tentang hak dan tanggungjawab, saya yakin kita boleh sama-sama melindungi pusat peranginan ini di samping memulihara persekitaran indahnya," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ramakrishnan berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan SPRM bagi mencapai objektif tersebut.

"Kami mengharapkan kerjasama padu agensi-agensi kerajaan. Kami sedia jadi mata dan telinga bagi SPRM demi masa depan Cameron Highlands," kata beliau.

 Tambah beliau, "Cameron Highlands perlu dilindungi dan ia memerlukan kerjasama semua serta tindakan tegas pihak berkuasa."

Ramakrishnan berkata, REACH menyedari bahawa bukan semua isu dan masalah di Cameron Highlands harus dibebankan ke atas SPRM.

Tetapi, apabila penguatkuasaan oleh pihak-pihak berwajib seperti pejabat tanah dan pihak berkuasa tempatan gagal dilaksanakan dengan berkesan, ini menimbulkan pelbagai tanda tanya, adakah pihak penguat kuasa tidak mengambil tindakan atau kemungkinan ada unsur-unsur rasuah atau penyelewengan berlaku.

"Itu sebabnya kami menyambut baik langkah SPRM menempatkan pegawai di sini. Sekarang Jabatan Imigresen pun sudah buka pejabat. Kita mengharapkan lagi banyak tindakan tegas termasuk sesi menyedarkan setiap penduduk di Cameron Highlands," kata beliau lagi.

Pada November 2014, SPRM mengumumkan bahawa pihaknya telah mengemukakan 12 syor untuk menangani isu Cameron Highlands.


Antara 12 syor yang dikemukakan ialah menilai semula sistem dan prosedur penguatkuasaan bagi meningkatkan keberkesanan operasi dan memperkemaskan pelaksanaan penguatkuasaan Seksyen 425 dan 426 Kanun Tanah Negara serta mengenakan  syarat-syarat baru Lesen Pendudukan Sementara, melaksanakan tindakan pentadbiran yang bersesuaian bagi melicinkan pengurusan dan penguatkuasaan penerokaan haram, dan mewujudkan sistem aduan yang berfungsi sebagai satu mekanisme kepada mana-mana pihak menyalurkan aduan, laporan dan maklumat berhubung kegiatan menyalahi undang-undang, peraturan dan salah laku.

No comments:

Post a Comment