KUANTAN: Agensi
Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini menandatangani Kenyataan
Komitmen bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memantapkan
strategi memerangi rasuah dan meningkatkan integriti tadbir urus.
Langkah itu
juga menjadikan APMM agensi penguat kuasa pertama di bawah Jabatan Perdana
Menteri (JPM) dan jabatan ke-29 menandatanganinya bagi menjayakan usaha
pencegahan rasuah.
Majlis
menandatangani Kenyataan Komitmen berkenaan disempurnakan pada ulang tahun ke
11 APMM di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah dekat sini sebentar tadi.
Pada majlis
berkenaan, APMM diwakili Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Ahmad Puzi
Ab Kahar manakala SPRM oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Seri
Mustafar Ali, yang disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri
Shahidan Kassim.
Kenyataan
Komitmen yang akan berkuat kuasa selama lima tahun dan berasaskan kepada lapan
terma rujukan antaranya mewujudkan kerjasama bagi mengesan serta membanteras
jenayah rasuah, operasi bersama serta perkongsian maklumat risikan dan
melaporkan jenayah rasuah warga APMM kepada SPRM untuk tindakan susulan.
Sementara itu,
Shahidan dalam ucapannya memuji inisiatif APMM dalam mencegah rasuah di kalangan
warganya dan wajar diberikan sokongan padu demi keutuhan APMM sebagai agensi
berkredibiliti tinggi.
Ini juga adalah
sebagai satu mesej jelas kepada pihak luar supaya lebih berwaspada dan
berhati-hati terhadap bahaya rasuah," katanya.
Sementara itu,
Mustafar berkata, pihaknya menyambut baik langkah APMM menandatangani Kenyataan
Komitmen berkenaan dan berharap ia mampu meningkatkan keberkesanan pencegahan
rasuah untuk jangka panjang.
No comments:
Post a Comment