Kesedaran tentang keburukan salah laku rasuah serta pentingnya sifat amanah dan berintegriti dalam diri generasi muda menjadi faktor utama Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta pihak pengurusan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Serdang Baru 2 menjemput Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM mengadakan Kempen Wira Anti Rasuah (WAR) di sekolah.
SJKC Serdang Baru 2 menjadi sekolah pertama melancarkan Kempen WAR bagi tahun 2016 serta sekolah pertama yang menjemput SPRM mengadakan kempen itu. Sebelum ini permohonan mengadakan WAR dilakukan oleh pihak SPRM kepada pihak sekolah.
Kempen WAR yang dimulakan pada 2014 merupakan usaha SPRM untuk mendekati pelajar sekolah rendah khususnya pelajar-pelajar berbangsa cina bertujuan memberi pengetahuan serta pendedahan kepada para pelajar tentang apa itu rasuah , keburukan rasuah serta peranan dan bidang kuasa SPRM.
Menerusi ucapan perasmian, Ketua Cawangan Pendidikan, Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, PPj Maznah Che Muda berkata, SPRM terus berusaha menyebarluas mesej anti rasuah di peringkat generasi muda bagi melahirkan generasi celik rasuah iaitu generasi muda yang tahu tentang apa itu salah laku rasuah dan dibimbing agar menjauhi perbuatan keji itu.
Beliau turut memuji pihak PIBG dan pengurusan sekolah yang menjemput SPRM mengadakan Kempen WAR, membuktikan bahawa kesedaran tentang pentingnya pendidikan anti rasuah kepada generasi muda telah meningkat.
Antara pengisian Kempen WAR ini adalah sesi ceramah, pertandingan teka silang kata, pidato anti rasuah, serta pertandingan mencipta slogan. Para pelajar juga turut dibekalkan dengan Komik Old Master Q yang telah diolah dialognya dengan mesej-mesej anti rasuah.
No comments:
Post a Comment