KES yang akan saya kongsikan pada minggu ini melibatkan seorang ustaz. Bukan hendak merendahkan mereka yang bergelar 'ustaz'. Tetapi sebagai iktibar bahawa jenayah rasuah tidak mengenal siapa, warna kulit, agama dan kedudukan seseorang itu.
Dalam kes ini, ustaz berkenaan menerima arahan berpindah ke Semenanjung Malaysia setelah tujuh tahun mengajar di Sarawak. Bagi menguruskan perpindahan barang-barang ke tempat baharu, syarikat pengangkutan digunakan. Semuanya dibiayai oleh kerajaan.
Pada ketika itu, tempahan tiket kapal terbang memerlukan masa yang agak lama. Sementara menunggu tiket diuruskan, ustaz berkenaan dan keluarganya menumpang di rumah seorang kawan di bandar Kuching.
Semasa menunggu itulah ustaz diduga. Kawannya mencadangkan agar ustaz meminta wang daripada syarikat pengangkutan yang menguruskan penghantaraan barangnya ke Semenanjung. Kononnya sebagai balasan kerana memilih syarikat pengangkutan tersebut.
Dua kali pemilik syarikat pengangkutan tersebut menolak permintaan ustaz. Dua kali juga kawannya menasihatkan agar ustaz tersebut mencuba. Selepas ditolak kali kedua, kawannya menasihatkan agar ustaz menggunakan ugutan ke atas pemilik syarikat pengangkutan itu. Kononnya akan membuat laporan 'tidak puas hati' berkenaan dengan perkhidmatan yang diberikan sekiranya enggan memberi wang yang diminta.
Tidak tahan dengan permintaan ustaz, pemilik syarikat pengangkutan membuat aduan kepada Badan Pencegah Rasuah (kini SPRM). Operasi perangkap dibuat dan ustaz ditangkap semasa berjumpa dengan pemilik syarikat pengangkutan itu bagi menuntut wang yang diminta.
Bak kata pepatah 'sesal kemudian tiada gunanya'. Ustaz tersebut dituduh di mahkamah kerana rasuah. Jenayah yang dilakukannya akibat pengaruh kawan. Beliau seterusnya didapati bersalah dan dihukum penjara. Hukuman itu menyebabkan beliau dibuang kerja.
Kes ini patut menjadi pengajaran kepada semua. Kerana pengaruh kawan dan didorong sifat inginkan untung mudah, seseorang ahli agama juga boleh terjebak dalam jenayah rasuah. Untuk mengelakkan daripada jenayah rasuah atau sebarang salah laku, pertimbangan perlu dibuat dengan waras sama ada sesuatu perbuatan itu salah di sisi undang-undang atau tidak.
Bukan hanya melihat kepada untung yang tidak seberapa.
Daripada perspektif lain, kes ini menyedarkan saya agar lebih kuat menyebarkan dakwah Islamiah kepada penduduk setempat.
Mungkin ia satu balasan Allah kepada ustaz berkenaan kerana tidak menjalankan amanah dengan baik dalam menyampaikan dakwah kepada penduduk dia dihantar bertugas. Sebagai ustaz tanggungjawab beliau amat besar. Bukan hanya mengajar murid-murid di sekolah, amanah yang lebih besar adalah mendidik masyarakat dalam hal-hal keagamaan.
Saya dimaklumkan perkara itu yang tidak dilaksanakan oleh ustaz terbabit.
Daripada tiga kes yang kongsi bersama pembaca menerusi kolum saya ini, saya berharap setiap anggota masyarakat akan mengambil iktibar untuk mengelak terjebak dalam jenayah rasuah. Jangan sama sekali cuba beri atau terima rasuah.
Orang ramai kena ada satu keyakinan dan kepercayaan berdasarkan kes-kes bahawa balasan boleh diterima di dunia semasa kita masih hidup dan juga di akhirat. Bukan hanya dalam bentuk balasan sabitan dan hukuman di dunia, tetapi dalam apa jua bentuk.
Jauhi rasuah tidak kira kecil atau besar. Jika ditangkap merana hidup kita.
http://www.malaysiagazette.com/ms/man-ana/kerana-pengaruh-kawan-hidup-ustaz-musnah?utm_campaign=shareaholic&utm_medium=facebook&utm_source=socialnetwork
No comments:
Post a Comment