Tuesday, February 2, 2016

Drama Pasca 26 Januari: Skrip hancur



Kalau skripnya baik,  jalan cerita bagus,  sebab musabab boleh dipercayai dan watak-watak yang dibina  menyakinkan, kalau dikatakan bulan  berwarna biru pun orang boleh percaya.  Sebab itu di Barat diadakan sesi membedah skrip (lakon layar)  sebelum difilemkan. Supaya mana-mana bahagian yang menimbulkan persoalan dijawab terlebih dulu dalam skrip.

Contohnya macam skrip drama Pasca 26 Januari.  Skrip teruk sangat.  Jalan cerita entah apa-apa, boleh pening dibuatnya. Hakikatnya inilah yang berlaku dalam  drama yang sedang dimainkan oleh Najib Razak, Apandi  Ali dan Zahid Hamidi.  Drama boleh ditamatkan dengan pelbagai cara.  Cuma penamat yang tergantung dan watak antagonis terlepas  hukuman yang kurang disukai.  Kalau di India,  panggung yang tayang filem tidak ditamatkan dengan memuaskan atau crook terlepas dari hukuman,  panggung itu akan dibakar.  Kalau pelakon crook ada  di situ mereka akan bakar bersama-sama panggung.

Sekarang ini  hendak kata macammana sekalipun orang sudah tidak percaya kepada ketiga-tiga pelakon utama itu,  diikuti oleh pelakon-pelakon pembantu yang membuatkan skrip menjadi kacau bilau.  Dialog watak-watak tak konsisten dan inilah yang memburaikan semua yang cuba diselindungkan daripada penonton.

Kononnya drama ini hendak dijadikan suspen thriller,  derma RM2.6 bilion pada awalnya dikatakan hanya tohmah puak pembangkang.  Tetapi apabila The Wall Street Journal membuat pendedahan, tohmah bertukar jadi pengakuan. Ditambah pula dialog oleh puak-puak pemakan dedak yang tiba-tiba mengaku derma itu untuk parti mereka.

Plot begini sangat susah untuk ditamatkan cerita.  Lepas itu dikatakan pula untuk belanja PRU 13.  Ini sekali lagi tak ikut skrip yang sepatutnya.  Skrip asal kata,  belanja  kempen pilihan raya umum ada hadnya.  Kalau lebih had,  keputusan boleh jadi tidak sah.  Maka diciptakan dialog baharu,  "bukan semua diambilnya derma itu,  hanya sedikit sahaja. Selebihnya dipulangkan kepada pemberi."

Penonton drama  bukan semuanya dalam kalangan pemakan dedak.  Malah mereka juga bukan berfikir lurus macam sesetengah wartawan yang menerima tanpa berfikir  dialog-dialog yang dimuntahkan oleh ketiga-tiga watak penting ini.  Penonton  drama pasca 26 Januari mempunyai pemikiran yang sangat kritis, sebab itu mereka sudah  menyampah dengan plot  drama ini.  

Mereka sudah menjangka dialog ini (memulangkan  baki derma)  sengaja ditulis untuk selarikan jumlah belanja kempen pilihan raya yang dibenarkan oleh SPR.  Tetapi kalau drama ini mendapat sentuhan pengarah yang hebat,  sudah tentu dia akan membuat syot close up  penyata bank yang membuktikan baki derma itu dipulangkan. Tetapi maaf cakaplah, pengarah drama ini pun ling long.  Kalau diberi kepada TV3 pun awal-awal lagi ditolak.

Sekarang ini watak Zahid  senyap seketika, mungkin sedang menulis dialog baharu untuk selarikan dengan perkembangan semasa.  Dulu watak Zahid sepatah haram tidak sebut  sebahagian derma itu dipulangkan,  dia cuma kata sudah berjumpa dengan pemberi derma. 

Tetapi dialog yang dituturkan oleh Zahid sebenarnya tersalah tulis.  Pemberi derma seperti yang dilaporkan oleh BBC London, adalah Raja Abdullah.  Kalau diteliti  berita  Zahid membaca dialog dia berjumpa dengan pemberi derma (tidak disebut Raja Abdullah) pada Ogos 2015. Raja Abdullah telah meninggal dunia pada Januari 2015.  Alih alih watak Zahid pun bertuturlah bahawa isu derma sudah selesai. Ini betul-betul wayang.

Akhirnya penamat belum ada tetapi penonton sudah membuat penamat sendiri iaitu  watak Apandi berjasa kepada Najib kerana telah "membersihkan"  Najib dan tidak ada mahkamah yang boleh mencabar keputusan Apandi.  Inilah yang dikatakan oleh orang yang arif undang-undang.  Penonton pun segera berfikir,  drama ini menjadi berbeza kalau watak Apandi ditukar kepada Gani.

Penonton pun cuba ingat-ingat semula tragedi  Najib memecat (bahasa lembut ialah menamatkan) Gani,  Peguam Negara itu hanya ada tiga bulan sahaja lagi kontraknya.  Tetapi tiga bulan boleh jadi macam-macam.  Cuba ingatkan balik apa yang dilakukan dalam masa tiga bulan itu?   Takkan sudah lupa pegawai kanan SPRM  yang  siasat 1MDB kena tukar ke JPM,  penonton bising memprotes,  dua tiga hari di JPM ditukarkan balik ke SPRM.  Ini boleh jadi drama komedi yang kelakar gila.

Drama ini telah memaksa penonton  menerima plot yang caca marba  akibat skrip yang hancur.  Apabila watak Apandi berkata, "tidak ada kes"  penonton pun bertepuk tangan sambil berkata, "kalau benar tak ada kes bawalah ke mahkamah."

Kesimpulannya, pada zaman penonton kita sudah bijak,  mereka membaca banyak sumber untuk mendapat maklumat, pemikiran pun sudah luas dan susah hendak dikelentong.  Kalau ada pihak yang masih menganggap penonton kita masih dungu, bahlol, bingai,  bangang dan macam lembu dicucuk hidung, mereka adalah dalam kalangan  orang-orang  yang membuat kesilapan besar.


sumber: http://kayangdailypost.blogspot.my/2016/01/drama-pasca-26-januari-skrip-hancur.html

No comments:

Post a Comment