Tuesday, February 2, 2016

SPRM perangi rasuah dari bilik darjah


Datuk Seri Mustafar Ali

PUTRAJAYA: Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Di saat negara lemas dalam budaya rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kembali ke sekolah dan melawan penyelewengan bermula dari bilik darjah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, modul kesedaran bahaya rasuah ini diterapkan melalui mata pelajaran Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral tahun 6.
“Dalam Pendidikan Agama Islam (kepada pelajar Islam) kita tekankan aspek Iman, dosa jika mengambil rasuah beserta ayat (Al-Quran) dan hadith berkaitan,” katanya dalam sidang media bersama beberapa media terpilih di Bangunan SPRM, petang tadi.
Bagi pelajar bukan Islam pula, katanya lagi, modul tersebut menghuraikan larangan rasuah dalam agama dan budaya masyarakat.
“Secara asasnya, kita menekankan aspek pencegahan untuk jangka panjang,” katanya.
Modul ini diperkenalkan di kala gejala rasuah di Malaysia dilihat semakin memburuk. Kita berada di tangga ke-54 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2015 yang dikeluarkan Transparency International 27 Januari lalu, turun empat kedudukan berbanding CPI 2014.
Modul tersebut bermula pada tahun ini dan akan memberikan kefahaman tentang pengertian rasuah, keburukannya serta hukuman yang menanti pelaku.
Mustafar menambah model itu akan sentiasa ditambahbaik, dan pihaknya sedang mempertimbangkan memasukkan kes rasuah yang pernah dibicarakan dalam mahkamah sebagai rujukan.
Ketika ditanya samada modul itu turut menangani faktor pendorong rasuah seperti kuasa dan amalan masyarakat, Mustafar berkata:
“Tentang faktor pendorong, ada disebut soal budaya dan keadaan di mana hal yang salah dibenarkan.
“Kita masukkan kata-kata pepatah ‘seperti ketam mengajar anak berjalan’ dan ‘guru kencing berdiri, anak kencing berlari’. Kita cuba sampaikan dengan cara yang mudah difahami,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment