Wednesday, December 30, 2015

SPRM cadang pekeliling baharu patuh syor sekat rasuah


TIMBALAN Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mustafar Ali, menunjukkan Laporan Tahunan SPRM 


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan satu pekeliling baharu dikeluarkan kepada agensi kerajaan yang mengandungi syor-syor penambahbaikan suruhanjaya itu dalam menutup ruang dan peluang rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata pekeliling itu akan menjadi garis panduan kepada kementerian, jabatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak berkaitan untuk mematuhi cadangan yang dikemukakan SPRM dalam kertas pemeriksaan dan perundingan.

Katanya, dalam pekeliling itu, akan menjelaskan secara terperinci antaranya mengenai saluran undang-undang sedia ada, sistem prosedur yang patut dilakukan serta carta aliran kerja.

"Sekiranya agensi kerajaan atau GLC gagal mematuhi syor penambahbaikan, maka ketua jabatan atau pihak terbabit boleh dikenakan hukuman seperti yang termaktub dalam pekeliling itu," katanya.

Mustafar berkata, draf pekeliling itu masih di tahap perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Ali Hamsa dan adalah diharapkan ia dapat dipersetujui dan dikeluarkan tahun depan. Beliau berkata, SPRM mengemukakan syor penambahbaikan ke dalam kertas pemeriksaan dan perundingan yang dikeluarkan setiap tahun kepada agensi kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, ada kalanya ketua jabatan atau pihak tertentu akan lewat dalam melaksanakan cadangan penambahbaikan itu walaupun SPRM melakukan pemantauan berkala - tiga bulan, enam bulan dan satu tahun.

Beliau berkata, kegagalan melaksanakan penambahbaikan itu satu perkara yang serius dalam urus tadbir.

‘Kami juga mahu tangkap jerung’



KEKANGAN maklumat dan keengganan saksi, antara yang perlu ditempuh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Namun, SPRM Kelantan sebagai badan bertanggungjawab memastikan integriti terpelihara tetap melaksanakan tugas dengan keupayaan yang ada.

Hasilnya, sepanjang tahun ini, 35 tangkapan dilakukan dan ia kejayaan buat agensi tersebut. Bagi mendapat penjelasan lanjut peranan dan isu disiasat agensi ini, satu pertemuan khas bersama Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Abdul Aziz  Aban di pejabatnya baru baru ini.

Bagaimana status isu pembalakan luar kawasan melibatkan pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai di Hutan Ulu Sat Machang?
Kita ada buka dua siasatan untuk kes tersebut dan 13 tangkapan telah dibuat. Kedua-duanya kita telah serahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan selanjutnya.

Bagaimana status penyiasatan Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK)?
KPK bukan di bawah seliaan kami, ia di bawah seliaan ibu pejabat.

Sebelum ini, umum mengetahui, seorang bekas pemimpin kerajaan negeri mendedahkan beberapa kepincangan dalam pentadbiran kerajaan negeri. Adakah perkara ini diambil perhatian pihak SPRM?

Secara rasminya, beliau tidak pernah datang untuk buat laporan rasmi kepada SPRM Kelantan, tapi saya tak tahulah selebihnya. Jika ia melibatkan SPRM Kelantan dan beliau hadir di sini, insya-ALLAH kita akan siasat segala dakwaan beliau. Bagaimanapun, kami mengambil maklum apa yang dikatakan. Atas perbincangan saya dan pegawai ibu pejabat bersama pasukan yang menyiasat kes KPK, saya ambil maklum apa tindakan yang akan mereka lakukan tetapi siasatan sepenuhnya dilakukan oleh SPRM ibu pejabat.

Bagaimana pula dengan isu dibangkitkan Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin atau Chegu Bard berkenaan dakwaan rasuah konsesi balak di Kelantan?
Saya rasa apa yang Chegu Bard bawa adalah isu sama, berkaitan dengan KPK. Jadi laporan itu termasuk dalam apa yang disiasat ibu pejabat.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, pendapatan cukai khususnya hasil hutan kerajaan negeri dikatakan akan meningkat sekali ganda sekiranya unsur rasuah dalam industri hutan, khususnya pembalakan dibanteras. Sejauh mana serius gejala rasuah berlaku dalam jabatan ini?

Untuk kita lihat sejauh mana seriusnya masalah tersebut, kita kena tengok melalui dalaman. Kita mesti buat kajian dan keduanya, pengakuan daripada orang dalam sendiri, kita sebagai penguat kuasa undang-undang. Kita cuma menyiasat atas kes yang kita terima. Jika dilihat sepanjang 2015, kita siasat dua kes.

Daripada 13 tangkapan, ia melibatkan satu berlesen, satu kontraktor dan 11 lagi adalah pegawai Jabatan Hutan. 13 tangkapan tersebut adalah daripada 35 tangkapan kami tahun ini. Ia 37 peratus daripada tangkapan keseluruhan. Jika mahu lihat serius atau tidak, bagi saya memang serius.

Bagaimanapun, masih ramai tidak mahu ke depan, disebabkan tindakan tersebut mungkin akan menjejaskan kontrak mereka sebagai kontraktor dan sebagai pelesen. Mungkin tahun depan kita akan guna kaedah lain untuk mendalami lagi kes seperti ini.

Difahamkan hasil siasatan SPRM, kebanyakan kes melibatkan kerajaan negeri berkait kelemahan tadbir urus dan bukan unsur rasuah, adakah benar perkara tersebut?
Pertamanya, apabila kita buat sesuatu kes siasatan, maknanya kes jenayah, akan selari dengan satu pemeriksaan berkaitan dengan sistem dan prosedur kerja, yang mana ia diperuntukkan di bawah Seksyen 7 (C) Akta SPRM. Maknanya, apabila rasuah berlaku, apabila sesuatu kes disiasat, selari itu kita akan siasat di bawah sistem, dan prosedur yang diamalkan jabatan tersebut yang boleh memberi ruang atau peluang rasuah.

Jadi sama ada kita boleh buktikan kes jenayah dan kes rasuah tersebut atau tidak, ia bergantung kepada bukti yang kita ada. Kemudian, kita akan meneliti amalan tadbir urus. Jika sekiranya ada amalan atau sistem kerja jabatan yang ada ruang dan peluang rasuah, maka kita akan nasihati jabatan tersebut untuk bertindak. Kita ada kuasa di bawah Seksyen 7 (E) untuk menasihati ketua jabatan awam merombak sistem kerja sekiranya memberi peluang kepada amalan rasuah.

Persepsi  umum mengatakan kes penyeludupan yang berlaku di sempadan Kelantan dikaitkan dengan gejala rasuah. Adakah benar perkara ini berlaku?

Dari segi statistik, kes penyeludupan yang kita buat tangkapan seramai lima orang, lima daripada 35 tangkapan secara keseluruhan. Ini bermakna, 14 peratus, penyeludupan ini termasuklah sama ada penyeludupan beras, barangan dapur dan pemerdagangan manusia. Bagaimanapun, sebenarnya kita tidak berpuas hati  jumlah ini, namun kita mesti bergantung kepada fakta dan bukti yang kita ada.

Adakah ia menunjukkan SPRM mempunyai kekangan dalam melaksanakan tugas?=
Kekangan yang dimaksudkan di sini ialah melalui maklumat. Kita tidak mendapat maklumat yang boleh membuat tangkapan. Walaupun kita ada kepakaran sendiri untuk bertindak tetapi bukan mudah untuk mereka bagi kerjasama kepada kita kerana soal keselamatan dan takut untuk hadir ke mahkamah.

Itu antara faktor kenapa masih kurang tangkapan berbanding apa yang diperkatakan orang ramai. Namun, saya tidak menuduh penguat kuasa ini terlibat dengan rasuah, mungkin mereka telah bertegas, dan sebab itulah tiada tangkapan dan tiada rasuah.

Bagaimanapun, saya mempunyai perancangan pada 2016 terhadap penyeludupan di sempadan. Saya akan bekerjasama dengan NACC (National Anticorruption Commision)  untuk wilayah Narathiwat. Saya akan ke sana pada Januari nanti. Insya-ALLAH, apa yang kita boleh bincang berhubung kerjasama di sempadan Kelantan- Narathiwat, kalau mereka setuju, saya rasa kita akan mendapat satu impak yang baik.

Maksudnya, SPRM meningkatkan keupayaan untuk bekerja lebih keras di sempadan?
Ya, salah satu yang pentingnya ialah apa yang saya lihat ialah saya perlukan kerjasama dari sempadan dan perbincangan awal telah saya laukan dengan NACC Thailand, Oktober lepas. Cuma apa butiran kerjasama yang saya nak itu, akan saya kemukakan pada mereka Januari nanti.

Bagaimana pula kerjasama dengan agensi penguatkuasaan dalam negara?
Kami sentiasa ada kerjasama dengan pihak berkuasa. Kami sering adakan perbincangan meja bulat dan diteruskan usaha tersebut untuk dapatkan kerjasama berterusan.

Sejauh mana kempen integriti itu boleh mencegah jabatan kerajaan, jabatan penguat kuasa daripada terlibat rasuah?

Sepanjang tahun ini, kita mengendalikan 109 program dan ceramah untuk jabatan kerajaan terutama penguat kuasa. Saya harap ceramah dan program yang disampaikan ini termasuklah program yang memerlukan perbincangan meja bulat. Saya harap ia akan dapat menghasilkan sesuatu yang positif berkaitan integriti. Pertamanya, mereka tidak lagi terlibat dengan apa sahaja aktiviti tidak berintegriti. Keduanya, kesedaran mereka menyalurkan maklumat kepada SPRM.

Walaupun saya hanya ada sembilan pegawai penyiasat tetapi kalau datang 100 kes pun, insya-ALLAH kami boleh melakukannya. Ia bukan satu kekangan kepada kami tetapi yang penting, kami perlu maklumat berkualiti dalam mengendalikan kes rasuah.

Kebanyakan pemberi maklumat enggan buat laporan kerana  takut. Apa jaminan pihak SPRM maklumat ini tidak bocor dan memberi kesan kepada pelapor?

Sebenarnya mereka ini takut kita dedah sebab kita bawa ke mahkamah dan sebagainya. Sebenarnya tidak perlu takut. Hanya buat temu janji dengan kita, minum kopi di mana-mana dan boleh ceritakan sahaja apa kes yang dia tahu kepada kita.

Dalam bentuk maklumat biasa pun tidak apa, tidak perlu datang buat laporan di pejabat kami atau sebagainya. Kalau tidak berani lagi, tulis surat kepada kami. Kami masih melayan surat layang yang mana dikatakan betul.

Ini bermaksud setiap aduan yang dibuat akan disiasat?
Ya, kita akan siasat, syaratnya ia maklumat rasuah lah, kalau tidak ada kena mengena dengan SPRM, kita tidak akan campur. Kita menerima pelbagai maklumat daripada orang ramai, kita akan salurkan kepada agensi terlibat, terutama bahagian pengaduan awam. Kami akan siasat apa juga kes rasuah, tidak kira ikan jerung,  ikan bilis, kami akan siasat.

Bagaimana dengan isu rasuah dan penyelewengan wang banjir?
Kalau kita tengok bantuan RM500 itu, ia libatkan keseluruhan sehingga Oktober sebanyak RM86 juta mengikut statistik Majlis Keselamatan Negara (MKN). Jumlah diagihkan itu menunjukkan jumlah yang besar. Pihak ibu pejabat telah melihat perkara ini bahawa kemungkinan akan berlakunya ketirisan dan penyelewengan serta salah guna, sebab itulah ditubuhkan Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir.  Apa yang kita buat, kita kerahkan sepenuh tenaga, kita buka 24 jam bilik kawalan operasi dan sediakan lebih 20 pegawai.

Apa sahaja maklumat kita dapat, hari itu juga kita akan siasat. Hari yang sama kita ambil tindakan. Kita akan beri penerangan dan bagi implikasi sekiranya pengisytiharan bantuan itu tidak dilaporkan secara telus, maknanya sekiranya ada penipuan dan unsur lain.

Kita dapati bukan mereka yang menerima itu terlibat dengan penipuan, tetapi sebaliknya. Malah nasihat diberi oleh penghulu yang akan menandatangani borang tersebut pun kadang-kadang ada yang salah. Kami turun padang di semua peringkat, kita bagi penerangan kepada agensi dan mangsa banjir sekalipun kita telah beri amaran supaya perlunya integriti.

Saya sangat puas hati dan terima kasih kepada pegawai kita serta semua program yang kita rancang, kita berjaya jalankan, terutama melibatkan jawatankuasa banjir, kita tutup dengan cemerlang untuk tahun ini.

Selain penguatkuasaan, mungkin SPRM juga turut memberikan nasihat kepada mana-mana agensi atau jabatan yang mungkin terjebak dengan rasuah ini?
Ya. Salah satunya Jabatan Hutan. Ia berkaitan dengan bagaimana kaedah memungut hasil hutan secara telus. Kita mengemukakan sembilan syor melibatkan tahun 2014 dan 2015 dan ia dipersetujui.

Selain itu sistem perolehan Jabatan Pendidikan.

Kita buat tiga tangkapan pegawai pendidikan di sini dan sembilan di ibu pejabat, jumlahnya 12 tangkapan. Maka kita lihat Sistem Perolehan. Hasilnya kita menasihatkan Jabatan Pendidikan buat tindakan kepada ruang-ruang rasuah tersebut supaya ditutup. Mereka juga bersetuju dengan enam syor diberikan.

Pejabat Tanah dan Galian juga turut tidak ketinggalan dan pihak mereka bersetuju dengan lapan syor dicadangkan. Sementara Jabatan Logistik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan pula sebanyak enam syor, juga dipersetujui.

Apa rumusan secara keseluruhannya kes berkaitan rasuah yang berlaku di Kelantan?
Apabila saya diarahkan untuk berada di Kelantan, pengurusan tertinggi maklumkan saya berkenaan dengan kes sempadan dan balak. Maka, saya tumpukan kes tersebut dan saya rasa tahun ini kita dah mula, tahun lepas kita tidak ada satu tangkapan pun kes balak, tahun ini kita dah ada 13 tangkapan, maknanya fokus saya untuk tumpukan kepada isu tempatan ini amat memuaskan. Secara keseluruhannya kami berjaya dengan strategi yang kita fokuskan untuk 2015 ini.

Bagaimanapun, saya sebagai penyiasat masih tidak berpuas hati tapi kita kena berpaksi kepada kekuatan kita, saya ada sembilan pegawai penyiasat untuk menyiasat seluruh Kelantan, keduanya statistik 10 tahun SPRM Kelantan, tangkapannya adalah 11 orang setiap tahun dari segi puratanya.

Maka tahun ini kita telah dapat 35 tangkapan, bagi saya, bonus kepada staf saya, yang jauh lebih baik daripada purata untuk 10 tahun. Ini satu kepuasan. Mungkin kepada umum, terpulang kepada mereka untuk menilai.

Itu kemampuan kita dengan apa yang kita ada. Bagi saya, saya berpuas hati. 35 daripada tangkapan, hampir kesemuanya kita nak dakwa dan ambil tindakan, maknanya kerja-kerja kita berjalan lancar dan saya berpuas hati. Yang penting ialah maklumat dan sejauh mana kita menyiasat perkara tersebut.


Selain itu, kerjasama orang ramai juga memberi kesan kepada kami dan saya harap pegawai saya akan aktif dan proaktif mendapatkan maklumat dan menyusuri orang ramai supaya bagi kerjasama pada kita.

JKMR Yakin Panel Khas SPRM Jalankan Siasatan Bebas Dan Telus - Abu Zahar


Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yakin penubuhan panel bebas khas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menangkis tanggapan negatif terhadap suruhanjaya itu.

Sambil menyambut baik penubuhan panel khas itu, Pengerusi JKMR Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata dengan adanya panel berkenaan, SPRM dapat menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional.

"JKMR berpendirian langkah ini penting memandangkan siasatan semasa yang dikendalikan oleh SPRM melibatkan kes khas berprofil tinggi," katanya dalam kenyataan Selasa.

Sehubungan itu, katanya JKMR yakin penubuhan panel khas itu tidak akan mencabar dan menjejaskan kuasa Peguam Negara dalam membuat keputusan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Baru-baru ini, SPRM menerima syor JKMR dalam Laporan Tahunan 2014 supaya hasil siasatan kes-kes khas berprofil tinggi dibentangkan kepada satu panel bebas khas sebelum dikemukakan kepada Peguam Negara untuk keputusan muktamad.

Abu Zahar, yang juga Yang Dipertua Dewan Negara, berkata panel khas itu terdiri daripada lima anggota dengan tiga daripadanya adalah badan bebas yang memantau perjalanan SPRM seperti yang disyorkan JKMR.

"Dalam mesyuarat Pengurusan Tertinggi SPRM pada 22 Dis lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed telah mencapai persetujuan berkenaan pelantikan anggota panel bebas ini yang terdiri daripada kalangan profesional dan tidak terlibat dalam parti politik," katanya.

Menurutnya panel bebas itu juga akan melihat dengan teliti semua hasil siasatan dan syor yang dibuat oleh SPRM berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion yangdalam kertas siasatan.


Panel itu akan memastikan cadangan yang dibuat dalam laporan siasatan adalah atas merit bukti yang dikumpulkan SPRM, selain memastikan siasatannya dijalankan dengan telus.

SPRM berhadapan dengan 'perang persepsi'

Berdasarkan perkembangan terbaharu, esok hari penantian kebanyakan daripada kita, malah pihak-pihak luar yang mengikuti politik Malaysia.

Awal minggu ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor mengumumkan pihaknya akan mengemukakan laporan kertas siasatan kepada Peguam Negara pada minggu ini.

Sehingga kini belum ada khabar. Tetapi dipercayai ia akan menjadi kenyataan esok.
Kenyataan media terbaharu, yang dibuat Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah semalam menyebut SPRM juga menerima syor pihaknya supaya hasil siasatan dan syor dalam kertas siasatan dibentangkan kepada satu panel bebas khas 5 anggota sebelum dibawa kepada Peguam Negara selaku Pendakwa Raya.

Nampaknya minat dan tumpuan kita di hari-hari terakhir tahun 2015 beralih kepada SPRM, Peguam Negara dan laporan kertas siasatan.

Dilaporkan ini kali pertama SPRM mewujudkan panel bebas khas untuk meneliti syor dan pandangan yang disenaraikan dalam laporan kertas siasatan. Sesuatu yang menarik.

Syor Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah itu dibuat dalam Laporan Tahunannya yang diedarkan kepada ahli Parlimen pada 1 Disember, 2015.

Bermakna ahli Parlimen sudah mengetuai perkara itu. Mengikut syor itu, penemuan dan hasil siasatan kes-kes khas berprofil tinggi dibentangkan kepada satu panel bebas khas sebelum laporan siasatan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk keputusan muktamad.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Tan Sri Abu Zahar Ujang dipetik berkata: "Panel bebas khas ini akan melihat dengan teliti segala penemuan siasatan dan syor yang dibuat SPRM berkenaan dengan kes SRC International dan dana RM2.6 bilion dalam kertas siasatan."

Jelas beliau, panel bebas khas ini akan memastikan cadangan yang dibuat dalam laporan siasatan adalah atas merit bukti yang dikutip SPRM. Selain itu, ia bertujuan untuk memastikan siasatan SPRM adalah telus.

Jika laporan kertas siasatan dikemukakan kepada Peguam Negara, bermakna keputusan Peguam Negara yang mempunyai kuasa untuk menentukan ada kes atau sebaliknya, kemungkinan diketahui awal tahun 2016.

Harapan ke atas institusi ini adalah cukup tinggi.

Memandangkan kedua-dua kes – SRC International dan dana  RM2.6 bilion dikategorikan sebagai kes berprofil tinggi, di mana melibatkan perdana menteri, sudah pasti Peguam Negara memerlukan masa untuk membuat pertimbangan yang wajar dan adil kepada semua.

Ada 3 kemungkinan: ada kes untuk dituduh, tidak ada kes (NFA) atau SPRM akan diminta membuat siasatan lanjut.

Di sebalik pertimbangan dan keputusan yang bakal dibuat Peguam Negara, semua entiti yang terlibat dalam siasatan termasuk SPRM terpaksa berhadapan dengan 'perang persepsi'.

Dalam dunia hari ini tiada pilihan. Perlu menghadapi.

Apa juga kemungkinan daripada 3 senario yang disebutkan di atas, satu persepsi tidak dapat dielakkan sama lagi iaitu siasatan tidak telus dan SPRM tidak bebas, dan sebagainya.

Justeru, kewujudan panel bebas khas hasil syor Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah kemungkinan boleh membantu dalam menangani isu persepsi dalam kes SRC International dan dana RM2.6 bilion.

Keterbukaan dan ketelusan dalam menyempurnakan siasatan kedua-dua kes ini, di sebalik siri perkembangan sejak pertengahan tahun ini akan menjadi ukuran penilaian.

Peguam Negara juga wajar membentangkan laporan hasil siasatan kepada umum kelak supaya kita dapat meningkatkan keyakinan rakyat ke atas institusi-institusi penguatkuasaan.

Kedua-dua aspek keterbukaan dan ketelusan penting bagi menunjukkan institusi seperti SPRM, Bank Negara dan Polis Diraja Malaysia bebas daripada pengaruh dan tekanan serta campur tangan mana-mana pihak.

Jika model terbaharu ini ada keberkesanan, ia patut diteliti untuk digunakan pada masa akan datang melibat agensi yang lain, bagi menjamin profesionalisme bidang siasatan agensi-agensi penguatkuasa, terutamanya SPRM yang dibentuk sebagai suruhanjaya bebas pada tahun 2009.


Sebagaimana dinyatakan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, pengwujudan panel bebas khas ini akan menangkis kemungkinan tanggapan atau persepsi negatif terhadap SPRM yang sentiasa menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional. 

Sempadan kuasa dan realiti dalam kes rasuah

Persoalan yang seringkali dibangkitkan berkaitan dengan tanggapan kuasa pendakwaan di pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Masyarakat sering kali tersalah anggap yang SPRM boleh mendakwa mana-mana individu yang terlibat dalam jenayah rasuah.


Hakikatnya, tidak begitu. Seperti kebanyakan negara lain, Malaysia mengamalkan prinsip pengasingan kuasa.

Perlembagaan Persekutuan sendiri menetapkan pembahagian kuasa antara eksekutif, perundangan dan kehakiman. Peranan SPRM adalah menjalankan siasatan manakala keputusan untuk menuduh atau tidak dibuat peguam negara yang turut memainkan peranan sebagai pendakwa raya. Keputusan sama ada tertuduh bersalah atau tidak akan ditentukan mahkamah.


Prinsip Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan pihak yang menjalankan siasatan membuat keputusan sendiri untuk menuduh seseorang suspek di mahkamah. Dalam kes SPRM, setelah siasatan selesai, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM dan seterusnya pendakwa raya untuk keputusan.
Kuasa pendakwaan terletak pada peguam negara selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, yang menyebut, “peguam negara hendaklah mempunyai kuasa yang b dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera.”

Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM sentiasa memastikan kualiti kes yang didakwa di mahkamah. Harus diingat yang bukan semua kes yang disiasat akan berakhir dengan pendakwaan di mahkamah.

Sesuatu maklumat akan dibuka kertas siasatan apabila ada asas mengenai sesuatu pelakuan rasuah itu berlaku. Kes yang selesai disiasat, suspek sama ada akan:

a. didakwa di mahkamah;

b. dikemukakan Laporan SPRM kepada jabatan (untuk tindakan tatatertib jabatan); atau

c. tiada tindakan ke atas suspek kerana tiada keterangan/bukti.

Seseorang suspek akan didakwa di mahkamah setelah wujud segala keterangan dan bukti yang mencukupi hasil daripada siasatan yang dijalankan. Pendakwaan tidak akan dibuat akibat tekanan mana-mana pihak atau atas dasar “dendam peribadi” terhadap suspek.

Antara ada kes dan ada keteragan

“Mengapa si polan tidak dituduh di mahkamah? Ada kes tu.” Itu antara kenyataan yang sering kedengaran apabila seseorang yang disiasat SPRM tidak didakwa di mahkamah.

Sebenarnya, terdapat perbezaan yang besar di antara “ada kes” dan “ada keterangan”. Tidak semestinya kes yang kita anggap “ada kes”, individu terbabit mesti dihadapkan ke mahkamah. Tetapi, kes yang mempunyai keterangan yang cukup, sudah pasti akan dituduh dan dibicarakan. Dengan kata lain, pendakwaan terhadap pelaku rasuah hanya akan dibuat apabila “ada keterangan” yang kukuh mengenai jenayah yang dilakukan.

Contohnya, seorang pemandu lori yang memberi rasuah sebanyak RM100 kepada anggota agensi penguat kuasa bagi mengelak disaman, melaporkan perbuatan itu kepada SPRM. Dalam konteks ini, memang jelas “ada kes” rasuah berlaku.

Namun persoalannya, adakah dengan hanya bergantung kepada keterangan pemandu lori itu sudah mencukupi untuk mendakwa anggota terbabit di mahkamah?

Untuk membuat pertuduhan, SPRM memerlukan keterangan dan bukti yang mencukupi.

Keterangan dan bukti yang baik dalam kes rasuah adalah seperti saksi yang melihat transaksi rasuah, rakaman audio video, penemuan wang rasuah pada tertuduh, dokumen berkaitan transaksi rasuah dan sebagainya.

Jika ini semua tiada, sekuat mana pun kita menganggap “ada kes”, amat sukar untuk pertuduhan dibuat, apatah lagi untuk menyabitkan tertuduh.

Keberkesanan kes pendakwaan dapat dilihat menerusi sabitan kes rasuah di mahkamah.

Selepas tahun 2009, kadar sabitan kes rasuah di mahkamah bicara meningkat dan berada pada tahap yang membanggakan. Kadar sabitan bagi tahun 2009 adalah 54% dan pada tahun 2014 78.3%.

Mengambil kira kompleksiti dan kesukaran dalam pendakwaan kes rasuah, kadar sabitan melebihi 75% boleh dianggap amat baik.

Punca kekalahan kes rasuah

Sebagai agensi pencegahan rasuah, SPRM menyasarkan kemenangan memihak kepada SPRM dalam setiap kes yang dicaj. Pun begitu, SPRM tidak boleh memberi jaminan sabitan 100% bagi setiap kes yang dituduh.

Kekalahan kes di mahkamah adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Beberapa punca kekalahan dikenal pasti, antaranya:

a. Faktor kes rasuah itu sendiri - saksi kes rasuah berbeza dengan saksi bagi kes jenayah yang lain seperti bunuh, rogol, rompak dan sebagainya. Dalam kes bunuh atau rogol, saksi terdiri daripada mangsa atau keluarga mangsa yang benar-benar marah kepada pesalah. Sebab itu, saksi berkenaan akan memberikan keterangannya yang paling baik di mahkamah bagi memastikan pesalah mendapat hukuman setimpal atas perbuatannya.

Namun bagi kes rasuah, “tiada mangsa” yang benar-benar menjadi mangsa kepada pesalah rasuah. Jenayah rasuah melibatkan 2 pihak yang saling mendapat keuntungan daripada pelakuan rasuah tersebut. Dalam kes permintaan atau penerimaan rasuah, kebanyakan pengadu adalah individu yang mula-mula melakukan perkara yang salah (jenayah) di sisi undang-undang dan seterusnya diminta wang rasuah penjawat awam agensi penguatkuasaan terbabit.

b. Keterangan saksi tidak konsisten - kerana saksi kes rasuah ini berbeza berbanding saksi bagi jenayah yang lain, maka keinginan saksi untuk menghukum penjenayah rasuah juga dilihat tidak begitu bersungguh-sungguh. Faktor ini seterusnya menjejaskan komitmen saksi berkenaan dalam memberikan keterangan semasa perbicaraan. Akibatnya, mereka cenderung memberi keterangan yang tidak konsisten dan seringkali berubah-ubah.

Keadaan yang sama berlaku apabila sesuatu kes mengambil masa yang lama untuk dibicarakan. Sehingga pada 1 peringkat, saksi sudah hilang minat terhadap kes tersebut. Saksi juga boleh jadi tidak dapat mengingati dengan baik insiden yang berlaku berkaitan transaksi rasuah dan sebagainya.

Ada juga saksi yang berasa bersalah dan bersimpati kepada orang yang dituduh (tertuduh). Secara sedar atau tidak sedar, mereka membantu tertuduh semasa memberi keterangan di mahkamah.

c. Saksi berpaling tadah - saksi dianggap “berpaling tadah” apabila keterangan yang diberikan semasa di mahkamah adalah bercanggah dengan keterangan awal yang dibuat kepada pegawai SPRM semasa peringkat siasatan.

Selain saksi memberi keterangan yang bercangggah, saksi berpaling tadah atau sering disebut sebagai hostile witness juga bermaksud saksi enggan bekerjasama semasa perbicaraan kes. Contohnya, saksi tidak hadir ke mahkamah, menghilangkan diri apabila dikehendaki memberi keterangan, enggan memberi keterangan dan sebagainya.

Kebanyakan saksi utama dalam kes rasuah adalah individu yang diminta untuk bekerjasama memberikan keterangan dan bukannya tampil secara sukarela. Mereka juga boleh dikategorikan sebagai “rakan sejenayah”.

Ada juga pengadu yang membuat aduan rasuah kerana berasa marah terhadap tertuduh. Contohnya, apabila tertuduh meminta wang rasuah lebih banyak daripada sepatutnya. Ataupun, setelah tertuduh menerima wang rasuah, balasan yang diharapkan tidak diperoleh. Maka aduan dibuat terhadap tindakan tertuduh.

Namun, lama-kelamaan perasaan marah itu semakin pudar dan diganti dengan perasaan kasihan terhadap tertuduh. Tambahan pula, apabila saksi dipujuk rayu keluarga dan rakan tertuduh. Faktor kemanusiaan menyebabkan saksi enggan memberi kerjasama dalam perbicaraan.

Saksi kes rasuah juga kebanyakannya terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan yang mempunyai hubungan yang rapat dengan tertuduh. Saksi menjadi pihak yang amat berkepentingan dengan tertuduh. Saksi sebegini mempunyai potensi untuk berpaling tadah atau enggan bekerjasama yang amat tinggi dalam perbicaraan.

Kadang-kadang saksi juga adalah rakan sekerja, pegawai bawahan atau rakan perniagaan kepada tertuduh. Saksi mungkin berasa takut kerana keterangannya boleh mendatangkan implikasi negatif terhadap diri dan mata pencariannya. Ada juga kes saksi memberi keterangan tidak benar di mahkamah akibat dipengaruhi atau diajar penguam bela tertuduh sendiri.

Saksi hilang - terdapat banyak saksi kes rasuah adalah pendatang asing sama ada pendatang dengan izin ataupun PATI. Contohnya, seorang PATI atau pihak ke-3 (mungkin kawannya yang terdiri daripada pendatang yang sah) membuat aduan kepada SPRM mendakwa diminta bayar duit sogokan.

Kes sebegini banyak berlaku di bandar-bandar yang mempunyai ramai pendatang asing yang bekerja di restoran, sektor pembinaan, perladangan atau perkilangan.

Bagi pendatang asing, sudah semestinya mereka akan pulang ke negara masing-masing.

Sekiranya masih menetap di negara ini, selalunya mereka tidak mempunyai penempatan yang tetap di sesuatu tempat.

Ada juga kes di mana saksi warganegara Malaysia sendiri yang menghilangkan diri untuk mengelakkan daripada hadir ke Mahkamah. Contohnya, mereka keluar negara sama ada secara sah atau tidak sah.

Masyarakat memainkan peranan penting dalam memastikan mereka yang melakukan rasuah dihukum. Peranan masyarakat bermula dengan membuat laporan berhubung sesuatu pelakuan rasuah.

Seterusnya membantu dalam siasatan dan semasa kes dibicarakan di mahkamah. Masyarakat juga tidak perlu gentar kerana SPRM akan sedaya upaya melindungi saksi dan pemberi maklumat.

Perlindungan ini adalah seperti diperuntukan dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Perlindungan Saksi 2009.

Paling penting, pemberi maklumat dan saksi memaklumkan sebarang ancaman yang mereka terima kepada SPRM.

Anda boleh lakukan perubahan, perangi rasuah! – 29 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/sempadan-kuasa-dan-realiti-dalam-kes-rasuah-mohamad-tarmize-abdul-manaf#sthash.bOMqpckE.dpuf

SPRM cari dalang di Selangor


SELAIN politik, isu pembukaan banyak pusat hiburan, rumah urut dan judi di Selangor turut mendapat perhatian banyak pihak.

Selain penguatkuasaan daripada Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Selangor juga dikatakan sedang memberi tumpuan serius dalam hal ini. Mengapa dan siapakah yang terlibat?


Selangor maju dari sudut pelaburan, pembangunan perniagaan serta infrastruktur. Kecenderungan penyalahgunaan kuasa dan rasuah sangat tinggi. Kesalahan jenis apakah yang paling banyak dilakukan di negeri ini dan ia melibatkan sektor apa?

Kesalahan yang paling cenderung dilakukan adalah kesalahan meminta dan menerima rasuah di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan cubaan merasuah penjawat awam di bawah Seksyen 17(b) Akta yang sama. Sebanyak 130 kes dilaporkan sepanjang tahun 2010 hingga 2015 melibatkan sektor awam.

Benarkah wujudnya rasuah di kalangan pihak-pihak yang memegang kuasa untuk membenarkan kewujudan pusat hiburan, rumah urut dan perjudian yang ada di negeri ini? Jika ada apakah kejayaan SPRM setakat ini dan apa yang dilakukan untuk menangani hal berkenaan?

Memang ada dakwaan dan tanggapan wujud pihak-pihak tertentu yang membenarkan atau memainkan peranan membenarkan kewujudan pusat hiburan, rumah urut dan perjudian secara haram di Selangor.

Justeru, SPRM Selangor dan Ibu Pejabat SPRM sedang memberi tumpuan dalam isu ini. Untuk rekod, SPRM telah mengambil tindakan bersepadu iaitu dengan menahan kakitangan agensi penguatkuasa yang bersubahat termasuk polis dan pihak berkuasa tempatan yang bersubahat dalam isu ini pada September lalu.

Jika ada maklumat kukuh, SPRM akan mengambil tindakan sewajarnya bagi membanteras jenayah rasuah. Perkara ini antara fokus SPRM.

Apa yang penting, orang ramai perlu faham bahawa SPRM hanya boleh menyiasat kes-kes yang ada elemen rasuah. Aspek lain terletak di bawah bidang kuasa agensi-agensi lain yang relevan.

Adakah kaedah-kaedah atau strategi baru bagi pengamal rasuah yang berjaya dikesan oleh pihak SPRM setakat ini bagi negeri ini?

Di bawah Program Transformasi, SPRM mengambil pendekatan terkini untuk mengenal pasti kaedah-kaedah atau strategi baharu yang digunakan oleh pelaku rasuah.

Ini termasuklah kaedah siasatan melalui ‘Managing TeamBased Investigation’, perakaunan forensik dan teknik perisikan. Bagaimanapun, SPRM tidak dapat mendedahkan strategi dan kaedah baharu ini kepada umum.

Di Selangor isu rasuah membabitkan apa yang paling mencabar pihak Datuk untuk diselesaikan?

Kes-kes rasuah yang berbentuk ‘sindiket’ kerana kesukaran untuk menembusi ‘sindiket-sindiket’ berkenaan. Bagaimanapun, dengan menggunakan kaedah dan teknik tertentu penyiasatan dan perisikan, kesukaran ini berjaya diatasi dan telah membuahkan hasil.

Dalam tahun 2015, SPRM Selangor telah berjaya menangkap dan menuduh lima individu melakukan perbuatan rasuah secara ‘sindiket’.

Boleh Datuk  jelaskan statistik tangkapan pelaku-pelaku rasuah di Selangor?

SPRM Selangor telah menerima 320 maklumat daripada pelbagai sumber dan orang ramai sepanjang tahun 2015.

Daripada jumlah tersebut, 149 maklumat berunsur rasuah dan dijalankan siasatan manakala selebihnya dirujuk kepada jabatan dan sebagainya kerana tidak berunsur rasuah. Kita menangkap 61 individu yang terlibat rasuah dalam tahun 2015.

Tangkapan tersebut merupakan peningkatan berbanding tahun 2014 sebanyak 39 individu yang telah ditahan. Bagaimanapun, peningkatan tangkapan ini tidak melambangkan banyak kes rasuah di negeri ini.

Sebaliknya ia menunjukkan peningkatan sokongan masyarakat tempatan untuk menyalurkan maklumat berkaitan rasuah kepada SPRM Selangor.

Daripada jumlah 61 tangkapan tersebut, 17 orang daripadanya adalah penjawat awam, 14 orang swasta dan 30 orang awam serta melibatkan nilai wang berjumlah hampir RM310,000.

Sepanjang 2015 juga, seramai 27 orang telah dituduh di mahkamah membabitkan 17 penjawat awam di mana seorang pegawai gred Jusa, empat pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, 12 daripada Kumpulan Sokongan dan 10 orang awam.

Setakat hari ini, berapa kes yang membabitkan pemimpin Selangor telah berjaya diselesaikan SPRM? Dan, berapa kes pula yang kini dalam siasatan?

Sepanjang tahun 2010 hingga 2015, sebanyak 10 kes telah berjaya diselesaikan dan tiada kes yang masih dalam siasatan SPRM Selangor.

Bagaimana sikap rakyat Selangor dalam isu rasuah?

Sebagaimana disaksikan di negeri-negeri lain, rakyat Selangor juga menzahirkan dan memperlihatkan komitmen untuk memerangi rasuah. Kerjasama orang ramai juga semakin meningkat.

Banyak pihak yang menandatangani Ikrar Integriti dan Ikrar Integriti Korporat (CIP). Ini menunjukkan sikap sukarela dengan mengadakan mekanisme dalaman untuk memerangi rasuah.

SPRM gembira dengan perkembangan ini. Pun begitu, ia belum mencukupi. SPRM berharap sokongan dan kerjasama ini akan bertambah baik pada tahun 2016. Ini penting kerana usaha memerangi rasuah memerlukan sokongan semua pihak.

Orang perseorangan dan agensi atau pertubuhan bukan kerajaan boleh menghubungi kami untuk menjalin kerjasama membanteras rasuah. Baru-baru ini, DYMM Sultan Selangor juga telah bertitah meminta rakyat segenap lapisan masyarakat menjauhi rasuah.

Mesej titah baginda sungguh bermakna. SPRM juga berharap orang ramai akan menerima titah baginda dan melakukan sesuatu. SPRM akan meningkatkan usaha mencegah rasuah di Selangor.

Kerjasama dengan pihak kerajaan Pakatan Rakyat, pemimpin-pemimpin masyarakat, NGO dalam menangani isu rasuah di negeri ini pula bagaimana?

Kerjasama yang diterima adalah baik. Sokongan parti-parti politik ke atas usaha engagement yang dibuat bersama parti-parti politik tersebut juga adalah baik. Sekali lagi saya berharap kerjasama parti-parti politik kepada SPRM akan bertambah dan berkekalan sepanjang masa.

Pada tahun hadapan (2016), kami berharap ahli-ahli politik akan menandatangani Ikrar Integriti untuk menyatakan mereka akan menyokong usaha pencegahan rasuah sepanjang masa.

Apa sasaran SPRM Selangor untuk tahun 2016?

Sasaran SPRM bagi tahun 2016 ialah menyelesaikan isu-isu setempat/masyarakat yang berimpak tinggi untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap SPRM melalui Strategi ‘Merakyatkan SPRM’.


Menangani penglibatan ‘orang tengah’ dalam perbuatan rasuah memandangkan isu ini mendapat perhatian tinggi oleh masyarakat dan masyarakat mengharapkan SPRM melakukan sesuatu. Kita juga akan memberi tumpuan lebih kepada kejadian/amalan rasuah di sektor swasta.

SPRM bentuk panel khas teliti syor kes SRC International

Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah hari ini yang menyambut baik keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) membentuk panel khas berkaitan siasatan kes profil tinggi seperti SRC International dan dana RM2.6 bilion, menjamin ianya tidak akan mencabar kuasa Peguam Negara.


Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata badan itu melihat penubuhan panel bebas itu sebagai langkah penting memandangkan siasatan dikendalikan SPRM merupakan kes berprofil tinggi.
"JKMR juga memberi jaminan pembentukan panel khas ini tidak sama sekali mencabar dan menjejaskan segala kuasa Peguam Negara yang ada di bawah Perlembagaan Persekutuan dalam membuat keputusan kerana peruntukan perundangan akan tetap terpelihara," katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Beliau yang juga speaker Dewan Negara juga yakin keputusan badan anti rasuah itu dapat menangkis persepsi negatif terhadap SPRM selama ini.
"JKMR yakin pengwujudan panel bebas khas ini yang julung kali dibentuk akan menangkis kemungkinan tanggapan atau persepsi negatif terhadap SPRM yang sentiasa menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional," katanya.
Beliau berkata, keputusan itu dimaklumkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed dalam 1 pertemuan baru-baru ini di mana penubuhan panel khas merupakan syor daripada JKMR dalam Laporan Tahunan 2014 dan diedarkan kepada ahli Parlimen pada 1 Disember tahun ini.
"Berdasarkan maklumat yang diterima daripada ketua pesuruhjaya SPRM , pengurusan tertinggi SPRM yang bermesyuarat pada 22 Disember 2015 juga mencapai persetujuan berkenaan pelantikan ahli panel bebas khas ini yang terdiri daripada kalangan profesional dan tidak terlibat dalam parti politik," katanya.
Tambahnya, sepertimana disyorkan JKMR, panel bebas terdiri daripada 5 ahli di mana 3 ahlinya daripada 5 badan bebas yang memantau perjalanan SPRM.
"Panel bebas khas ini akan melihat dengan teliti segala penemuan siasatan dan syor yang dibuat SPRM berkenaan dengan kes SRC International dan dana RM2.6 bilion dalam kertas siasatan.
"Panel khas bebas ini akan memastikan cadangan yang dibuat dalam laporan siasatan adalah atas merit bukti yang dikutip oleh SPRM. Selain itu ia bertujuan untuk memastikan siasatan SPRM adalah telus," katanya.
Sebelum, SPRM mengakui harapan rakyat untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku dalam kes RM2.6 bilion dan SRC International Sdn Bhd yang sedang disiasat amat tinggi.
Dalam siri ke-2 wawancara khas bersama akhbar Sinar Harian, Abu Kassim bagaimanapun berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan dengan lebih terperinci mengenai 2 kes itu kerana terikat dengan undang-undang.
Kedua-dua kes yang disiasat SPRM merupakan kes berprofil tinggi kerana ianya melibatkan skandal pentadbiran Najib. – 29 Disember, 2015.

Lidah bekas majistret kelu baca al-Quran kerana rasuah

Tuhan punya kuasa, Mohd. Firdaus Ramlan, 34, ditahan penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 11 Oktober 2009 di kediamannya dan ketika itu beliau adalah seorang magistret.


Pada 3 Oktober 2010, Mahkamah Sesyen Kota Bharu menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM15,000 bagi pertuduhan pertama serta penjara tiga tahun dan denda RM25,000 bagi tuduhan kedua dan dia membuat rayuan.

Pada tahun 2012, Mohd. Firdaus kekal menjalani hukuman penjara tiga tahun dan denda berjumlah RM40,000 atas dua kesalahan rasuah selepas rayuannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya. Demikian keputusan sebulat suara panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Jeffrey Tan Kok Wha yang bersidang bersama Datuk Abdul Wahab Patail dan Mah Weng Kwai.

"Saya ditahan atas dua kesalahan meminta dan menerima rasuah. Kedua-duannya melibatkan RM5,000 dan RM3,000..nilainya kecil tetapi bahananya besar," ujarnya. Sebelum ditahan, katanya, Allah sudah memberi peringatan namun dia alpa.

"Tuhan hendak zahirkan ketika itu, keempat-empat tayar kereta yang dibeli dengan duit panadol (terminologinya bagi rasuah dan kononnya untuk menghalalkan cara) dan telefon bimbit hilang. Hubungan suami isteri selalu bergaduh, kita sendiri cari masalah hendak bergaduh," ujarnya. Semasa ditahan, keadaannya semakin teruk kerana merasakan dirinya terlalu hina menyebabkan kaum keluarganya trauma.

"Kalau buka hijab mata manusia tengok kahak atas kepala ini.. kahak hijau, kuning pekat dan cair semua ada..orang hina kita," katanya bagi menggambarkan betapa jijiknya pandangan masyarakat kepadanya. Malah kes itu menyebabkan bukan sahaja dirinya dan keluarga terpalit sama namun tempatnya bekerja dan universitinya belajar juga dikutuk orang kerana mendakwa ia juga punca melahirkan pesalah rasuah.

"Selepas ditangkap dan didakwa ke mahkamah ada satu tahap saya bangun jual nasi lemak demi mencari sesuap nasi..orang tidak peduli dan tanya ada duit hendak beli lampin dan susu anak pun," katanya.

Malah rakan yang dahulu baik pun mula menjauhkan diri. Selepas itu, satu demi satu dugaan menimpa Mohd. Firdaus apabila dua minggu sebelum keputusan kes rasuahnya, ibu dan adiknya terbunuh dalam satu kemalangan.

"Semasa berdiri dalam liang lahad angkat jenazah ibu dan adik saya..saya cukup sedih kerana tidak sempat betul-betul minta maaf kepada ibu saya..saya bimbang dia 'termakan' sekali duit rasuah," katanya.

Walaupun ketika cuba mengasingkan wang rasuah dengan wang hasil titik peluh sendiri untuk diberinya kepada ibunya namun siapa tahu kemungkinan ia bercampur dengan wang haram.

Lebih parah, Tuhan sekali lagi membuktikan kuasanya apabila lidah Mohd. Firdaus 'keras' ketika mahu membaca al-Quran sedangkan mengaji merupakan amalannya sebelum itu kerana beliau merupakan bekas pelajar sekolah agama sebelum itu. "Saya baca al Fatihah okay tetapi bila baca ayat awal surah Al Baqarah iaitu Alif Lam Mim lidah saya tidak boleh sebut, jadi keras.

Lidah saya jadi kaku, keras. Bayangkanlah betapa hinanya pandangan Tuhan kepada saya..benda semudah A, B, C pun tidak boleh sebut. "Berpuluh-puluh air kolah masjid saya minum dan beratus kali sujud (solat taubat) di Masjid Muhammadi (di Kota Bharu). Seminggu selepas itu baru Allah beri semula saya kemampuan membaca al Quran," jelasnya.

Tidak cukup dengan itu, Tuhan, katanya sekali lagi menunjukkan kuasanya pada harta yang dibeli daripada wang rasuah.

"Allah hendak tunjuk kepada saya lagi selepas itu. Saya ada 50 pasang kasut dan saya balut dan isi dalam bekas plastik dan yang kata rasuah dicemuh isi bumi apabila anai-anai memakan 48 pasang kasut saya. Hanya tinggal dua pasang kasut yang tinggal dan saya ingat satu pasang saya beli semasa gaji pertama saya dan kasut kedua ialah barang hantaran perkahwinan. Dua sahaja yang 'tidak disentuh' anai-anai," jelasnya.

Seterusnya beliau mengakui fasa di tirai besi juga menjadi pemangkin kepada dirinya untuk bangkit semula mengubah nasib.

"Mula-mula masuk penjara memang buntu kerana tengok tembok tetapi saya kena sendiri kena cari ubatnya," katanya yang menganggap penjara merupakan azab dunia kerana penghuninya menjalani kehidupan dalam keadaan tidak selesa.

"Apabila menyedari ada banduan lain yang dipenjara selama 47 tahun dan tiga tahun kerana kesalahan rasuah membuatkannya bersyukur kerana hanya dipenjara selama dua tahun. Seksa saya lebih ringan berbanding mereka," ujarnya.

Dalam tirai besi juga Mohd. Firdaus belajar sesuatu iaitu bekas banduan yang keluar dari penjara tidak akan disambut dengan karpet merah tetapi cop banduan akan kekal sebagai stigma. Kehidupan di Penjara Kajang juga memberinya idea menulis buku bertajuk Tersugung Dek Rasuah apabila dibebaskan dan mula berjinak-jinak menjadi penceramah anti rasuah kepada masyarakat.

Sebagai penceramah motivasi bebas mengenai bahaya rasuah kepada masyarakat sejak tahun lepas atas bantuan rakannya daripada SPRM sendiri beliau kini semakin dikenali malah diiktiraf oleh pemimpin kerajaan.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim sendiri menganggap pengalaman Mohd. Firdaus wajar dijadikan teladan kerana beliau mengalami sendiri kesan bahaya rasuah dan bukan sekadar bercakap sahaja mengenainya.

Ditanya bagaimana mahu memastikan masyarakat dapat mengurangkan amalan rasuah yang bukan sahaja merosakkan individu, masyarakat dan peradaban, Mohd. Firdaus berkata: "Kalau ada kesedaran agama dan sedar adanya kehidupan selepas mati (akhirat) baru saya rasa rasuah ini dapat dibendung dan dibasmikan sepenuhnya," ujarnya jujur.--MalaysiaGazette


Sumber: http://www.malaysiagazette.com/ms/nasional/lidah-bekas-majistret-kelu-baca-al-quran-kerana-rasuah?

Kuasa pengguna perangi rasuah


SETIAP daripada kita adalah pengguna. Bermakna setiap mereka yang menggunakan perkhidmatan atau sesuatu produk mempunyai hak dan kuasa dalam menentukan perkhidmatan dan produk yang mereka peroleh itu berkualiti dan tidak membawa kemudaratan ke atas diri mereka.

Di sebalik pengguna, satu lagi kumpulan yang ada kaitan adalah pembeli dan pelanggan. Pengguna tidak semestinya pelanggan atau pembeli. Tetapi setiap pembeli dan pelanggan adalah pengguna.

Di Malaysia dan di mana-mana negara jumlah pengguna, pembeli dan pelanggan bergantung pada kuasa membeli masing-masing.

Tetapi pokoknya mereka mempunyai kuasa untuk menentukan kepentingan mereka tidak terjejas. Kepentingan mereka tidak dikompromi sama sekali.

Kuasa pengguna

Pengguna boleh memainkan peranan yang amat penting dalam mewujudkan budaya berintegriti, sekali gus melahirkan persekitaran bebas rasuah.

Rasuah, perkataan yang banyak diperkatakan oleh masyarakat pada hari ini, dengan mudah diatribut kepada kerajaan dan ahli-ahli politik.

Seperti dikatakan sebelum ini, rasuah bukan semata-mata satu isu di negara-negara yang membangun sahaja.

Sebaliknya, ia memberi kesan kepada setiap anggota masyarakat tanpa mengira status sosioekonomi.
Justeru, siapa yang patut diamanahkan untuk melawan ‘malapetaka’ ini?

Sedar rasuah

Rasuah datang dalam pelbagai bentuk, yang memerlukan pendekatan yang pelbagai untuk ditangani.

Dalam hal ini perlu ada usaha untuk menyedarkan pengguna, pelanggan dan pembeli tentang peranan yang mereka boleh ambil dalam menjayakan misi memerangi rasuah.

Usaha menyebarkan maklumat mengenai kepentingan setiap pihak tidak boleh dilakukan secara bersendirian.

Sebaliknya, mereka harus dilakukan secara berterusan dan strategik.

Pejabat Program Pembangunan PBB (UNDP) merupakan antara agensi antarabangsa yang aktif dalam menggerakkan kempen pencegahan rasuah tahunan.

Agensi ini dengan tegas menekankan rasuah adalah masalah global kerana jenayah ini wujud di negara yang kaya dan juga negara yang miskin.

Cuma bentuk dan skala berbeza. Jenayah rasuah mengakibatkan ketidakstabilan dan kemiskinan, malah merupakan faktor penyebab sesebuah negara rapuh dan gagal diurus dengan baik.

Pihak kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, pihak media dan rakyat wajar bergabung tenaga untuk memerangi jenayah rasuah dan bersatu untuk bebas daripada 'penyakit' ini.

Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) juga berada di barisan hadapan dalam usaha ini dengan memastikan Konvensyen Pencegahan Rasuah PBB (UNCAC) dipatuhi oleh negara-negara anggota penerima konvensyen itu.

UNDP berharap anggota masyarakat akan bersama-sama dengan UNDP dan UNODC untuk memerangi rasuah dengan menyelenggara aktiviti-aktiviti yang kreatif dalam komuniti sempena sambutan 9 Disember setiap tahun, memanfaatkan program 'Call to Action Matrix', menggunakan logo Cegah Rasuah pada penerbitan dan dalam program dan acara yang diadakan, menghantar mesej membenci rasuah kepada kenalan mengenai kempen UNDP dan menghebah mesej menerusi Twitter atau mana-mana media sosial tentang Hari Antirasuah Sedunia bagi membolehkan dunia tahu tentang tindakan yang dilakukan untuk menjauhi jenayah rasuah.

Misi hapus rasuah

Strategi yang diusahakan oleh UNDP dan UNODC itu merupakan sebahagian daripada usaha yang diambil untuk menawan hati masyarakat pelbagai peringkat dan menjana sokongan mereka ke arah misi menghapuskan dan menjauhi rasuah.

Justeru, apa yang anda boleh lakukan? Ataupun apa yang kita boleh lakukan?

Menjawab soalan ini, orang sering berfikir bahawa rasuah adalah "satu cara hidup". Hakikatnya setiap masyarakat, sektor dan individu akan mendapat manfaat jika mengatakan "tidak" kepada jenayah ini.

Usaha memerangi rasuah bukan mudah dan tidak bebas daripada cabaran.

Setiap sektor telah berhadapan dan akan terus berhadapan dengan cabaran.

Ini termasuk kebanyakan syarikat yang menghadapi cabaran berkaitan kesan rasuah dan menangani rasuah. Cabaran yang mungkin timbul termasuklah keperluan dalam perolehan awam, rasuah dan bayaran pemudahan, pemerasan, kekurangan tadbir urus yang baik dan kedaulatan undang-undang dan kurangnya pembinaan kapasiti.

Kerja siapa

Maka, usaha memerangi rasuah tanggungjawab siapa?

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditubuhkan pada tahun 2009 telah dan sedang mengambil pelbagai langkah dan usaha selaras dengan visi mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada rasuah dan menjadikan SPRM agensi pencegahan rasuah bertaraf dunia.

Langkah dan usaha dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu operasi dan pencegahan.

Dari segi operasi, sudah pasti fungsi asas ialah menjalankan siasatan dan membawa kes ke mahkamah sekiranya buktinya mencukupi, selain menjalankan pemeriksaan sistem dan prosedur kerajaan agensi-agensi awam.

Kedua, dari segi pencegahan SPRM mengadakan ceramah, kempen pendidikan, drama bersiri, dialog dan forum dan menerbitkan bahan-bahan bacaan yang relevan.

Hanya slogan

Slogan "Anda Mampu Membawa Perubahan" sesungguhnya menarik perhatian, tetapi belum diterjemahaken dalam tindakan setiap individu di Malaysia.

Kita perlu mengambil pendekatan menyeluruh bagi memastikan bahawa slogan ini difahami dengan menyeluruh oleh setiap anggota masyarakat.

Orang ramai perlu mengambil ikrar yang mereka tidak akan memberi atau menerima rasuah. Juga melafazkan ikrar menjauhi rasuah dan mengutamakan budaya berintegriti dalam setiap tindakan dan amalan.

Selain itu, sentiasa mendidik ahli keluarga dan rakan mengenai kepentingan menjauhi rasuah, menyertai aktiviti antirasuah dengan aktif, menggerakkan kempen secara kecil-kecilan membanteras rasuah di tempat tinggal atau tempat kerja, bekerjasama dengan agensi pencegahan dengan mengadakan program sukarelawan dan tanpa gagal melaporkan perbuatan rasuah kepada pihak berkuasa.

Komitmen bersama hapus rasuah

Komitmen menjauhi rasuah di setiap peringkat adalah penting untuk memastikan jenayah rasuah dibanteras habis-habisan.

Sama ada di peringkat domestik ataupun antarabangsa misi mencegah rasuah tidak akan berjaya tanpa sokongan padu setiap anggota masyarakat.

Peranan ini boleh datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang datang secara semula jadi.

Dalam sesetengah situasi peranan ini muncul secara paksaan apabila kerajaan atau pihak berkuasa menguatkuasakan kod etika dan undang-undang.

Tidak dapat dinafikan bahawa setiap kumpulan rakyat mempunyai peranan sendir. Ahli politik, pemimpin bukan kerajaan, institusi kerajaan, golongan pekerja, suri rumah dan belia. Pendek kata, setiap kumpulan ini adalah pengguna dan pembeli.


Mulakan langkah dengan berkata "tidak" kepada amalan tidak berintegriti dan rasuah. Langkah kecil ini boleh membawa perubahan ke arah lebih baik.

Wednesday, December 16, 2015

Remaja dipenjara kerana beri suapan RM300


Padah memberi suapan RM300 pada polis November lalu, seorang remaja warga Myanmar dihukum penjara tiga bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.

Hukuman diputuskan hakim, Adli Abd Ghalib selepas tertuduh yang berusia 18 tahun itu mengaku salah terhadap tuduhan dikemukakan terhadapnya.

Dia didakwa memberi suapan wang tunai berkenaan kepada Koperal Ferdaus Yahya yang bertugas di Unit Risikan BN 7 PGA Kuantan, Pahang sebagai dorongan untuk melepaskan dua rakannya Nobi Alom Kutama dan Mohd Ismail Ajan yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Kesalahan dilakukan di Jalan Tengku Zainal Abidin, Kuala Krai, pada jam 7.30 malam, 17 November.

Sebelumnya, ketiga-tiga mereka dilihat dalam keadaan mencurigakan dan ditahan dalam Ops Penguatkuasaan Risikan Sempadan Malaysia-Thailand di lokasi berkenaan.

Semakan secara atas talian yang dilakukan mendapati nama tertuduh tersenarai sebagai pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), bagaimanapun semakan ke atas Nobi Alom mendapati kad UNHCR dipegang adalah palsu serta Mohd Ismail pula tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Susulan itu, kedua-dua rakan tertuduh ditahan dan merayu supaya dibebaskan, manakala tertuduh turut merayu mereka dilepaskan sambil berkata, “saya kasi wang la”. Pengadu menolak, namun tertuduh terus berkata, “minta tolong la, saya kasi wang”.

Pengadu bagaimanapun meneruskan tangkapan ke atas dua rakan tertuduh dan tertuduh masih tidak berputus asa serta berkata, “minta tolong lepas la, saya kasi lima ratus”.

Tertuduh kemudian mengeluarkan wang dari poket seluar dan menghulurkan kepada pengadu. Walaupun diberi amaran, tertuduh tetap menghulurkan wang berkenaan hingga menyebabkan pengadu membuat tangkapan ke atas tertuduh kerana memberi sogokan.

Pada prosiding hari ini, tertuduh melalui jurubahasa merayu supaya hukumannya diringankan kerana dia menyesal atas perbuatan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Shahidah Muslimah Roslan, bagaimanapun memohon hukuman setimpal yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang lain supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Hukuman diarah berkuat kuasa semalam dan tertuduh tidak menjelaskan denda menyebabkan hukuman penjara yang perlu dijalani kesemuanya selama tiga bulan.