Wednesday, December 30, 2015

Lidah bekas majistret kelu baca al-Quran kerana rasuah

Tuhan punya kuasa, Mohd. Firdaus Ramlan, 34, ditahan penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 11 Oktober 2009 di kediamannya dan ketika itu beliau adalah seorang magistret.


Pada 3 Oktober 2010, Mahkamah Sesyen Kota Bharu menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM15,000 bagi pertuduhan pertama serta penjara tiga tahun dan denda RM25,000 bagi tuduhan kedua dan dia membuat rayuan.

Pada tahun 2012, Mohd. Firdaus kekal menjalani hukuman penjara tiga tahun dan denda berjumlah RM40,000 atas dua kesalahan rasuah selepas rayuannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya. Demikian keputusan sebulat suara panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Jeffrey Tan Kok Wha yang bersidang bersama Datuk Abdul Wahab Patail dan Mah Weng Kwai.

"Saya ditahan atas dua kesalahan meminta dan menerima rasuah. Kedua-duannya melibatkan RM5,000 dan RM3,000..nilainya kecil tetapi bahananya besar," ujarnya. Sebelum ditahan, katanya, Allah sudah memberi peringatan namun dia alpa.

"Tuhan hendak zahirkan ketika itu, keempat-empat tayar kereta yang dibeli dengan duit panadol (terminologinya bagi rasuah dan kononnya untuk menghalalkan cara) dan telefon bimbit hilang. Hubungan suami isteri selalu bergaduh, kita sendiri cari masalah hendak bergaduh," ujarnya. Semasa ditahan, keadaannya semakin teruk kerana merasakan dirinya terlalu hina menyebabkan kaum keluarganya trauma.

"Kalau buka hijab mata manusia tengok kahak atas kepala ini.. kahak hijau, kuning pekat dan cair semua ada..orang hina kita," katanya bagi menggambarkan betapa jijiknya pandangan masyarakat kepadanya. Malah kes itu menyebabkan bukan sahaja dirinya dan keluarga terpalit sama namun tempatnya bekerja dan universitinya belajar juga dikutuk orang kerana mendakwa ia juga punca melahirkan pesalah rasuah.

"Selepas ditangkap dan didakwa ke mahkamah ada satu tahap saya bangun jual nasi lemak demi mencari sesuap nasi..orang tidak peduli dan tanya ada duit hendak beli lampin dan susu anak pun," katanya.

Malah rakan yang dahulu baik pun mula menjauhkan diri. Selepas itu, satu demi satu dugaan menimpa Mohd. Firdaus apabila dua minggu sebelum keputusan kes rasuahnya, ibu dan adiknya terbunuh dalam satu kemalangan.

"Semasa berdiri dalam liang lahad angkat jenazah ibu dan adik saya..saya cukup sedih kerana tidak sempat betul-betul minta maaf kepada ibu saya..saya bimbang dia 'termakan' sekali duit rasuah," katanya.

Walaupun ketika cuba mengasingkan wang rasuah dengan wang hasil titik peluh sendiri untuk diberinya kepada ibunya namun siapa tahu kemungkinan ia bercampur dengan wang haram.

Lebih parah, Tuhan sekali lagi membuktikan kuasanya apabila lidah Mohd. Firdaus 'keras' ketika mahu membaca al-Quran sedangkan mengaji merupakan amalannya sebelum itu kerana beliau merupakan bekas pelajar sekolah agama sebelum itu. "Saya baca al Fatihah okay tetapi bila baca ayat awal surah Al Baqarah iaitu Alif Lam Mim lidah saya tidak boleh sebut, jadi keras.

Lidah saya jadi kaku, keras. Bayangkanlah betapa hinanya pandangan Tuhan kepada saya..benda semudah A, B, C pun tidak boleh sebut. "Berpuluh-puluh air kolah masjid saya minum dan beratus kali sujud (solat taubat) di Masjid Muhammadi (di Kota Bharu). Seminggu selepas itu baru Allah beri semula saya kemampuan membaca al Quran," jelasnya.

Tidak cukup dengan itu, Tuhan, katanya sekali lagi menunjukkan kuasanya pada harta yang dibeli daripada wang rasuah.

"Allah hendak tunjuk kepada saya lagi selepas itu. Saya ada 50 pasang kasut dan saya balut dan isi dalam bekas plastik dan yang kata rasuah dicemuh isi bumi apabila anai-anai memakan 48 pasang kasut saya. Hanya tinggal dua pasang kasut yang tinggal dan saya ingat satu pasang saya beli semasa gaji pertama saya dan kasut kedua ialah barang hantaran perkahwinan. Dua sahaja yang 'tidak disentuh' anai-anai," jelasnya.

Seterusnya beliau mengakui fasa di tirai besi juga menjadi pemangkin kepada dirinya untuk bangkit semula mengubah nasib.

"Mula-mula masuk penjara memang buntu kerana tengok tembok tetapi saya kena sendiri kena cari ubatnya," katanya yang menganggap penjara merupakan azab dunia kerana penghuninya menjalani kehidupan dalam keadaan tidak selesa.

"Apabila menyedari ada banduan lain yang dipenjara selama 47 tahun dan tiga tahun kerana kesalahan rasuah membuatkannya bersyukur kerana hanya dipenjara selama dua tahun. Seksa saya lebih ringan berbanding mereka," ujarnya.

Dalam tirai besi juga Mohd. Firdaus belajar sesuatu iaitu bekas banduan yang keluar dari penjara tidak akan disambut dengan karpet merah tetapi cop banduan akan kekal sebagai stigma. Kehidupan di Penjara Kajang juga memberinya idea menulis buku bertajuk Tersugung Dek Rasuah apabila dibebaskan dan mula berjinak-jinak menjadi penceramah anti rasuah kepada masyarakat.

Sebagai penceramah motivasi bebas mengenai bahaya rasuah kepada masyarakat sejak tahun lepas atas bantuan rakannya daripada SPRM sendiri beliau kini semakin dikenali malah diiktiraf oleh pemimpin kerajaan.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim sendiri menganggap pengalaman Mohd. Firdaus wajar dijadikan teladan kerana beliau mengalami sendiri kesan bahaya rasuah dan bukan sekadar bercakap sahaja mengenainya.

Ditanya bagaimana mahu memastikan masyarakat dapat mengurangkan amalan rasuah yang bukan sahaja merosakkan individu, masyarakat dan peradaban, Mohd. Firdaus berkata: "Kalau ada kesedaran agama dan sedar adanya kehidupan selepas mati (akhirat) baru saya rasa rasuah ini dapat dibendung dan dibasmikan sepenuhnya," ujarnya jujur.--MalaysiaGazette


Sumber: http://www.malaysiagazette.com/ms/nasional/lidah-bekas-majistret-kelu-baca-al-quran-kerana-rasuah?

No comments:

Post a Comment