Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan Portal Multilanguage dan MACC.FM sebagai usaha untuk mendekati rakyat sekali gus meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap SPRM.
MACC.FM merupakan satu medium komunikasi berkesan dalam menyebarkan maklumat dan informasi terkini mengenai PRM secara meluas kepada masyarakat umum.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pelancaran portal versi tiga bahasa dan saluran radio rasmi SPRM tersebut merupakan transformasi baharu SPRM dalam usaha mendidik masyarakat dari segi pencegahan rasuah iaitu menerusi penggunaan media baharu.
“Sejajar dengan usaha Merakyatkan SPRM, agensi ini melancarkan portal versi 3.0 atau lebih dikenali sebagai Portal Multilanguage yang lebih mesra pengguna yang mana kini ia boleh diakses dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Mandarin.
“Transformasi portal berbilang bahasa ini dilakukan berdasarkan soal selidik dan kajian semasa yang mana terdapat keperluan untuk mewujudkan sumber rasmi SPRM dalam versi bahasa Mandarin bagi memudahkan pengguna masyarakat Cina,” katanya.
Tambah beliau, portal baharu tersebut dibangun berdasarkan tiga strategi utama dengan meletakkan tiga fungsi teras iaitu Operasi, Pencegahan dan Pendidikan sebagai fokus dalam paparan utama laman portal yang boleh dicapai oleh pelbagai peranti ICT.
“Selain memudahkan carian pengguna, portal tersebut turut menyediakan format laporan statistik yang lebih interaktif dengan menambah baik carian pantas arkib Maklumat Data Pesalah Rasuah secara automatik.
“Portal ini turut dilengkapi dengan laman mikro Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Anti Corruption and Ethics Centre (ACE) yang berkonsepkan One Stop Centre bagi memudahkan akses pengguna secara berpusat.
Tambah Mustafar, MACC.FM diperkenalkan selepas mendapati mendapati penyebaran mesej dan informasi berkaitan rasuah melalui radio boleh dijadikan medium berkesan dalam usaha mendapatkan sokongan serta meningkatkan persepsi masyarakat terhadap usaha pencegahan rasuah.
“Berdasarkan Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan SPRM 2015, kami mendapati bahawa fungsi dan peranan radio untuk menyebarkan mesej rasuah secara meluas diakui oleh masyarakat yang mana sebanyak 70 peratus responden memahami mesej rasuah yang disampaikan melalui radio," tambahnya.
Dengan menggunakan tagline My Anti Corruption Channel, ujar beliau, MACC.FM boleh dilayari di www.macc.fm dan pautan melalui portal www.sprm.gov.my selain boleh dimuat turun menerusi aplikasi di Google Playstore dan Appstore.
No comments:
Post a Comment