Tuesday, December 15, 2015

Gaji rendah bukan faktor utama rasuah

Gaji rendah bukan menjadi faktor utama kepada gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam, kerana masalah itu dilihat berpunca dari pelbagai faktor yang perlu diambil kira.


Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Osman Muda berkata, ukuran bagi perkara itu telah dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melaporkan, 70 peratus yang terlibat dalam kes itu melibatkan agensi penguatkuasaan.

Menurutnya, beberapa kajian telah dijalankan di negeri ini bagi mengenal pasti faktor yang menyebabkan berlakunya gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam.

“Di Terengganu, kita telah buat kajian yang akan siap dua tiga hari lagi dan kita akan bentang kepada Majlis Perundingan Integriti Negeri, Insya-ALLAH minggu depan dalam satu mesyuarat khas.

“Namun, saya berpendapat, ada banyak faktor mempengaruhi perkara ini seperti dari segi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan sebagainya. Cadangan dari Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang mengatakan gaji rendah antara salah satu punca gejala rasuah itu bagus dan kita akan melihatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Pameran 50 Tahun Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) di Podium Perniagaan Paya Bunga Square (PB Square), di sini.

Turut hadir, Pengurus Besar PMINT, M. Harith Hassan.

Mengulas lanjut mengenai isu itu, Osman berkata, kajian dan penyelidikan mengatakan faktor gaji rendah punca kepada gejala rasuah turut akan dikaji daripada masa ke semasa.

“Bagi kakitangan kerajaan negeri, kita akan teliti daripada semasa ke semasa. Terpulang kepada pihak SPRM untuk lakukan siasatan. Bagaimanapun, di negeri ini setakat ini gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam masih terkawal dan tidak berleluasa,” katanya.

Terdahulu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda berkata, isu rasuah yang berlaku dalam kalangan penjawat awam masih boleh dikawal dengan beberapa alternatif penambahbaikan termasuk dari segi dan etika bekerja.


Katanya, masalah ini bukan berpunca dari sebelah pihak sahaja kerana tanggungjawab semua pihak perlu diambil kira.

No comments:

Post a Comment