Tuesday, December 15, 2015

Kekukuhan institusi keluarga benteng cegah rasuah


Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyeru agar setiap ahli masyarakat berusaha memperkukuhkan institusi kekeluargaan masing-masing bagi memupuk semangat beretika yang tinggi.

Titah baginda, keluarga merupakan institusi paling awal yang sepatutnya digunakan bagi melahirkan insan-insan berjiwa murni yang bukan sahaja beretika tetapi juga berintegriti tinggi dalam masyarakat hari ini yang semakin mencabar.

“Apabila asas etika dan integriti yang dibina di rumah tidak kukuh, tiada apa yang boleh dilakukan oleh institusi-institusi lain. Di Jepun, ins­titusi keluarga memainkan peranan penting dalam memupuk nilai-nilai murni anak-anak sejak kecil.

“Nilai omoiyari atau empati terhadap orang lain banyak membantu kanak-kanak memahami bahawa mereka adalah sebahagian daripada masyarakat. Ia kemudiannya diteruskan ke dalam institusi kejiranan, sekolah dan sete­rusnya komuniti yang lebih besar,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam titah khas di Persidangan Antarabangsa Mengenai Rasuah anjuran Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) bertemakan Meletakkan Etika Kerja Dalam Perniagaan dan Kerajaan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden YARM, Tunku Abdul Aziz Ibrahim; Pengerusi Jawatankuasanya, Tan Tuan Tat, bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar dan 200 peserta terdiri daripada golongan profesional dari dalam dan luar negara.

Dalam titah itu, baginda turut menegaskan bahawa setiap rakyat Malaysia tidak boleh mengabaikan tanggungjawab tersebut sambil mengharapkan bantuan pihak-pihak lain terutama institusi pendidikan bagi mencapai matlamat tersebut.

“Setiap rakyat Malaysia mesti menggalas tanggungjawab itu bagi memupuk semangat beretika dan berintegriti kerana mereka tidak boleh hanya bergantung kepada institusi pendidikan, rakan sebaya ataupun kerajaan untuk melaksa­nakannya,” titah baginda.

Sehubungan itu titah baginda, setiap rakyat Malaysia juga perlu bersama-sama membina budaya saling percaya mempercayai kera­na apabila nilai kepercayaan itu merosot setiap individu akan mementingkan diri sendiri.

Sultan Nazrin Shah bertitah, apabila perkara itu semakin banyak berlaku dalam masyarakat, setiap individu juga berkemungkinan akan sanggup melakukan apa sahaja tindakan bagi memenuhi kepentingan dalam diri mereka sendiri.

“Untuk membangunkan kepercayaan itu, beta percaya kita mesti berusaha bagi mengatasi isu perpecahan dalam masyarakat yang ketika ini dilihat semakin meluas. Ia termasuklah perpecahan etnik, agama, kelas sosial dan ideologi.

“Kita tidak akan mampu membangunkan masyarakat yang mempunyai kepercayaan tinggi sekira­nya kita terus berpecah. Ia juga tidak akan dicapai sekiranya masih ada layanan tidak sama rata dan tidak adil yang berlaku dalam kebanyakan komuniti,” titah baginda.

Dalam persidangan itu, enam kertas kerja telah dibentangkan oleh tokoh-tokoh terkenal antaranya oleh bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Param Cumaraswamy dan mantan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Syed Ahmad Idid Syed Abdullah.


Antara kertas kerja yang dibentangkan pula bertajuk Rasuah Di Pihak Pembekal Dan Han Untuk Mencegah Rasuah Dalam Perolehan Kerajaan dan Sistem-Sistem Jenayah: Akan Adakah Keadilan Tanpa Etika dan Hati Nurani?

No comments:

Post a Comment