Wednesday, December 30, 2015

SPRM berhadapan dengan 'perang persepsi'

Berdasarkan perkembangan terbaharu, esok hari penantian kebanyakan daripada kita, malah pihak-pihak luar yang mengikuti politik Malaysia.

Awal minggu ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor mengumumkan pihaknya akan mengemukakan laporan kertas siasatan kepada Peguam Negara pada minggu ini.

Sehingga kini belum ada khabar. Tetapi dipercayai ia akan menjadi kenyataan esok.
Kenyataan media terbaharu, yang dibuat Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah semalam menyebut SPRM juga menerima syor pihaknya supaya hasil siasatan dan syor dalam kertas siasatan dibentangkan kepada satu panel bebas khas 5 anggota sebelum dibawa kepada Peguam Negara selaku Pendakwa Raya.

Nampaknya minat dan tumpuan kita di hari-hari terakhir tahun 2015 beralih kepada SPRM, Peguam Negara dan laporan kertas siasatan.

Dilaporkan ini kali pertama SPRM mewujudkan panel bebas khas untuk meneliti syor dan pandangan yang disenaraikan dalam laporan kertas siasatan. Sesuatu yang menarik.

Syor Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah itu dibuat dalam Laporan Tahunannya yang diedarkan kepada ahli Parlimen pada 1 Disember, 2015.

Bermakna ahli Parlimen sudah mengetuai perkara itu. Mengikut syor itu, penemuan dan hasil siasatan kes-kes khas berprofil tinggi dibentangkan kepada satu panel bebas khas sebelum laporan siasatan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk keputusan muktamad.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Tan Sri Abu Zahar Ujang dipetik berkata: "Panel bebas khas ini akan melihat dengan teliti segala penemuan siasatan dan syor yang dibuat SPRM berkenaan dengan kes SRC International dan dana RM2.6 bilion dalam kertas siasatan."

Jelas beliau, panel bebas khas ini akan memastikan cadangan yang dibuat dalam laporan siasatan adalah atas merit bukti yang dikutip SPRM. Selain itu, ia bertujuan untuk memastikan siasatan SPRM adalah telus.

Jika laporan kertas siasatan dikemukakan kepada Peguam Negara, bermakna keputusan Peguam Negara yang mempunyai kuasa untuk menentukan ada kes atau sebaliknya, kemungkinan diketahui awal tahun 2016.

Harapan ke atas institusi ini adalah cukup tinggi.

Memandangkan kedua-dua kes – SRC International dan dana  RM2.6 bilion dikategorikan sebagai kes berprofil tinggi, di mana melibatkan perdana menteri, sudah pasti Peguam Negara memerlukan masa untuk membuat pertimbangan yang wajar dan adil kepada semua.

Ada 3 kemungkinan: ada kes untuk dituduh, tidak ada kes (NFA) atau SPRM akan diminta membuat siasatan lanjut.

Di sebalik pertimbangan dan keputusan yang bakal dibuat Peguam Negara, semua entiti yang terlibat dalam siasatan termasuk SPRM terpaksa berhadapan dengan 'perang persepsi'.

Dalam dunia hari ini tiada pilihan. Perlu menghadapi.

Apa juga kemungkinan daripada 3 senario yang disebutkan di atas, satu persepsi tidak dapat dielakkan sama lagi iaitu siasatan tidak telus dan SPRM tidak bebas, dan sebagainya.

Justeru, kewujudan panel bebas khas hasil syor Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah kemungkinan boleh membantu dalam menangani isu persepsi dalam kes SRC International dan dana RM2.6 bilion.

Keterbukaan dan ketelusan dalam menyempurnakan siasatan kedua-dua kes ini, di sebalik siri perkembangan sejak pertengahan tahun ini akan menjadi ukuran penilaian.

Peguam Negara juga wajar membentangkan laporan hasil siasatan kepada umum kelak supaya kita dapat meningkatkan keyakinan rakyat ke atas institusi-institusi penguatkuasaan.

Kedua-dua aspek keterbukaan dan ketelusan penting bagi menunjukkan institusi seperti SPRM, Bank Negara dan Polis Diraja Malaysia bebas daripada pengaruh dan tekanan serta campur tangan mana-mana pihak.

Jika model terbaharu ini ada keberkesanan, ia patut diteliti untuk digunakan pada masa akan datang melibat agensi yang lain, bagi menjamin profesionalisme bidang siasatan agensi-agensi penguatkuasa, terutamanya SPRM yang dibentuk sebagai suruhanjaya bebas pada tahun 2009.


Sebagaimana dinyatakan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, pengwujudan panel bebas khas ini akan menangkis kemungkinan tanggapan atau persepsi negatif terhadap SPRM yang sentiasa menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional. 

No comments:

Post a Comment