Bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Shafee Yahya, 73, menerima Anugerah Integriti Nasional Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM).
YARM dalam satu kenyataan hari ini berkata anugerah itu diberikan sempena Persidangan Antarabangsa Yayasan Anti Rasuah Malaysia 2015 yang diadakan semalam.
Anugerah itu disampaikan Presiden YARM Tunku Abdul Aziz Ibrahim.
Shafee yang menyandang jawatan Ketua Pengarah BPR dari 1994 hingga 1998, berkhidmat selama 33 tahun sebagai penjawat awam.
Beliau dipilih atas kepimpinannya yang memperlihatkan pendirian berani dalam mempertahankan budaya berintegriti.
Dalam kenyataan itu, Shafee melahirkan rasa bersyukur kerana masih ada pihak yang menghargai pengorbanan beliau walaupun selepas 17 tahun bersara.
Katanya, beliau turut mendedikasikan anugerah itu kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein yang juga bekas majikannya.
"Pada saya, Tun Razak merupakan ikon pemimpin kerajaan yang berkhidmat dengan penuh dedikasi, disiplin dan jujur, " katanya.
Shafee turut menasihati penjawat awam khususnya golongan muda agar melaksanakan tugas dengan jujur serta tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak.
"Sebagai pegawai kerajaan, mereka perlu patuh pada undang-undang dan mendukung nilai-nilai murni demi kemajuan negara.
"Kita perlu bercakap benar serta tidak takut melakukannya walaupun ia sesuatu yang pahit untuk didengar. Nilai-nilai ini perlu dijaga dan diperkukuhkan," katanya.
No comments:
Post a Comment