Tuesday, December 15, 2015

Prinsip ‘zero tolerance’ SPRM memadai

JAWATANKUASA Aduan terbentuk melalui peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 15(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jawatankuasa ini  berperanan sebagai salah satu mekanisme check and balance terhadap perjalanan SPRM dalam melaksanakan fungsi dan peranannya.

Jawatankuasa Aduan bertanggungjawab untuk memantau pengendalian oleh Suruhanjaya akan aduan mengenai salah laku tidak bersifat jenayah terhadap pegawai-pegawai  SPRM.

Jawatankuasa ini juga bertanggungjawab untuk mengenal pasti apa-apa kelemahan tata cara kerja yang mungkin menimbulkan sebarang aduan dan mencadang untuk membuat syor yang difikirkan patut mengenai tatacara kerja SPRM.

Jawatankuasa Aduan sejak tujuh tahun penubuhannya telah menyumbangkan buah fikiran dan pandangan, terutama dari aspek pengurusan dan pemantauan aduan salah laku tidak bersifat jenayah terhadap pegawai SPRM serta mencadangkan penambahbaikan sistem dan prosedur kerja.

Jawatankuasa Aduan dianggotai empat ahli, yang terdiri daripada kalangan bekas pegawai-pegawai kanan kerajaan, golongan profesional dari kalangan ahli perniagaan dan sektor korporat, peguam dan individu-individu yang disegani.

Ahli-ahli Jawatankuasa Aduan mewakili masyarakat umum yang menjadi mata dan telinga rakyat Malaysia dalam memastikan SPRM terus unggul menjadi sebuah agensi yang bebas, telus dan profesional dalam menjalankan tanggungjawab membanteras rasuah.

Justeru, berhubung pandangan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (EAIC) supaya SPRM diletakkan di bawah bidang penyediaan EAIC, Jawatankuasa Aduan berpendiran syor EAIC itu tidak relevan sama sekali dengan mengambil kira kedudukan SPRM sendiri sebuah suruhanjaya yang bebas.

Jawatankuasa Aduan berpendirian bahawa SPRM telah dan sedang dipantau dengan berkesan oleh lima badan bebas, termasuk Jawatankuasa Aduan.

Oleh itu, tidak wajar SPRM diletakkan di bawah EAIC. SPRM sudah pun mempunyai mekanisme  yang sesuai dan relevan dengan pembentukan Jawatankuasa Aduan sejak tujuh tahun yang lalu.

Jawatankuasa Aduan meneliti setiap aduan yang dikemukakan dan berperanan memantau memastikan kes-kes salah laku SPRM diambil tindakan yang sewajarnya.

Sehingga kini kesemua aduan dan maklumat telah diambil tindakan dengan berkesan.

Semenjak Jawatankuasa Aduan memantau SPRM sejak tahun 2009, banyak syor yang dikeluarkan bagi memastikan keselamatan pegawai dan orang awam yang berurusan di pejabat SPRM.

Antaranya mengadakan Video Interviewing Room (VIR) bagi memastikan keselamatan orang yang ditahan dan saksi yang berisiko, kelengkapan CCTV di semua aras pejabat SPRM selain tatacara dan arahan tetap yang dikeluarkan bagi memastikan tahap keselamatan terjamin sepenuhnya.

Peningkatan akauntabiliti dan profesionalisme pegawai-pegawai SPRM juga terbukti dengan tidak ada sebarang aduan penggunaan kekerasan semasa siasatan dijalankan oleh pegawai SPRM khususnya sejak Oktober 2012 hingga sekarang.

Mengikut terma rujukan yang ditetapkan oleh Akta SPRM, Jawatankuasa Aduan bertindak memantau aduan mengenai salah laku yang tidak bersifat jenayah terhadap pegawai-pegawai SPRM.

Selain itu, badan ini juga mengenal pasti kelemahan dalam tatacara kerja SPRM yang mungkin menimbulkan aduan dan membuat syor tentang tatata cara kerja SPRM.

Maklumat-maklumat ini terkandung dalam Laporan Tahunan Jawatankuasa Aduan.

Berhubung pandangan bahawa kes kematian orang tahanan atau orang disiasat semasa berada dalam siasatan SPRM adalah di luar bidang kuasa SPRM untuk menyiasat, Jawatankuasa Aduan boleh menjalankan siasatan dalaman.

Ini sudah menjadi amalan Jawatankuasa Aduan sejak 2009 untuk menjalankan siasatan dalaman secara terperinci.

Malah, hasil kerjasama erat antara Jawatankuasa Aduan bersama SPRM melalui majlis dialog dan lawatan kerja ke pejabat-pejabat SPRM memberikan banyak perubahan positif kepada keseluruhan SPRM.

Sejajar dengan matlamat untuk menjadikan SPRM sebagai sebuah Suruhanjaya penguat kuasa undang-undang antirasuah yang bebas, telus dan profesional, Jawatankuasa Aduan akan terus berusaha untuk meningkatkan keyakinan masyarakat dan memastikan pegawainya dapat melaksanakan tugas membanteras jenayah rasuah dengan efektif dan komited.

Usaha berterusan Pengurusan Tertinggi SPRM memastikan SPRM bertindak secara cemerlang dan profesional serta bersikap tanggungjawab semasa melaksanakan tugas sangat dipuji dan dihargai.

Prinsip ‘zero tolerance’  dan ‘whiter than white’ yang dipraktikkan Suruhanjaya ini berjaya meningkatkan akauntabiliti dan integriti pegawai SPRM pada setiap masa.

Selaras itu, Jawatankuasa Aduan akan terus menyokong dan mendokong SPRM ke arah meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap SPRM sebagai sebuah agensi penguat kuasa undang-undang anti rasuah yang bebas, telus dan profesional sesuai dengan hasrat untuk merakyatkan SPRM.

TAN SRI WILSON BAYA DANDOT

PENGERUSI JAWATANKUASA ADUAN 
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

No comments:

Post a Comment