KEKANGAN maklumat dan keengganan saksi, antara yang perlu ditempuh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Namun, SPRM Kelantan sebagai badan bertanggungjawab memastikan integriti terpelihara tetap melaksanakan tugas dengan keupayaan yang ada.
Hasilnya, sepanjang tahun ini, 35 tangkapan dilakukan dan ia kejayaan buat agensi tersebut. Bagi mendapat penjelasan lanjut peranan dan isu disiasat agensi ini, satu pertemuan khas bersama Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Abdul Aziz Aban di pejabatnya baru baru ini.
Bagaimana status isu pembalakan luar kawasan melibatkan pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai di Hutan Ulu Sat Machang?
Kita ada buka dua siasatan untuk kes tersebut dan 13 tangkapan telah dibuat. Kedua-duanya kita telah serahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan selanjutnya.
Bagaimana status penyiasatan Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK)?
KPK bukan di bawah seliaan kami, ia di bawah seliaan ibu pejabat.
Sebelum ini, umum mengetahui, seorang bekas pemimpin kerajaan negeri mendedahkan beberapa kepincangan dalam pentadbiran kerajaan negeri. Adakah perkara ini diambil perhatian pihak SPRM?
Secara rasminya, beliau tidak pernah datang untuk buat laporan rasmi kepada SPRM Kelantan, tapi saya tak tahulah selebihnya. Jika ia melibatkan SPRM Kelantan dan beliau hadir di sini, insya-ALLAH kita akan siasat segala dakwaan beliau. Bagaimanapun, kami mengambil maklum apa yang dikatakan. Atas perbincangan saya dan pegawai ibu pejabat bersama pasukan yang menyiasat kes KPK, saya ambil maklum apa tindakan yang akan mereka lakukan tetapi siasatan sepenuhnya dilakukan oleh SPRM ibu pejabat.
Bagaimana pula dengan isu dibangkitkan Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin atau Chegu Bard berkenaan dakwaan rasuah konsesi balak di Kelantan?
Saya rasa apa yang Chegu Bard bawa adalah isu sama, berkaitan dengan KPK. Jadi laporan itu termasuk dalam apa yang disiasat ibu pejabat.
Dalam satu kenyataan sebelum ini, pendapatan cukai khususnya hasil hutan kerajaan negeri dikatakan akan meningkat sekali ganda sekiranya unsur rasuah dalam industri hutan, khususnya pembalakan dibanteras. Sejauh mana serius gejala rasuah berlaku dalam jabatan ini?
Untuk kita lihat sejauh mana seriusnya masalah tersebut, kita kena tengok melalui dalaman. Kita mesti buat kajian dan keduanya, pengakuan daripada orang dalam sendiri, kita sebagai penguat kuasa undang-undang. Kita cuma menyiasat atas kes yang kita terima. Jika dilihat sepanjang 2015, kita siasat dua kes.
Daripada 13 tangkapan, ia melibatkan satu berlesen, satu kontraktor dan 11 lagi adalah pegawai Jabatan Hutan. 13 tangkapan tersebut adalah daripada 35 tangkapan kami tahun ini. Ia 37 peratus daripada tangkapan keseluruhan. Jika mahu lihat serius atau tidak, bagi saya memang serius.
Bagaimanapun, masih ramai tidak mahu ke depan, disebabkan tindakan tersebut mungkin akan menjejaskan kontrak mereka sebagai kontraktor dan sebagai pelesen. Mungkin tahun depan kita akan guna kaedah lain untuk mendalami lagi kes seperti ini.
Difahamkan hasil siasatan SPRM, kebanyakan kes melibatkan kerajaan negeri berkait kelemahan tadbir urus dan bukan unsur rasuah, adakah benar perkara tersebut?
Pertamanya, apabila kita buat sesuatu kes siasatan, maknanya kes jenayah, akan selari dengan satu pemeriksaan berkaitan dengan sistem dan prosedur kerja, yang mana ia diperuntukkan di bawah Seksyen 7 (C) Akta SPRM. Maknanya, apabila rasuah berlaku, apabila sesuatu kes disiasat, selari itu kita akan siasat di bawah sistem, dan prosedur yang diamalkan jabatan tersebut yang boleh memberi ruang atau peluang rasuah.
Jadi sama ada kita boleh buktikan kes jenayah dan kes rasuah tersebut atau tidak, ia bergantung kepada bukti yang kita ada. Kemudian, kita akan meneliti amalan tadbir urus. Jika sekiranya ada amalan atau sistem kerja jabatan yang ada ruang dan peluang rasuah, maka kita akan nasihati jabatan tersebut untuk bertindak. Kita ada kuasa di bawah Seksyen 7 (E) untuk menasihati ketua jabatan awam merombak sistem kerja sekiranya memberi peluang kepada amalan rasuah.
Persepsi umum mengatakan kes penyeludupan yang berlaku di sempadan Kelantan dikaitkan dengan gejala rasuah. Adakah benar perkara ini berlaku?
Dari segi statistik, kes penyeludupan yang kita buat tangkapan seramai lima orang, lima daripada 35 tangkapan secara keseluruhan. Ini bermakna, 14 peratus, penyeludupan ini termasuklah sama ada penyeludupan beras, barangan dapur dan pemerdagangan manusia. Bagaimanapun, sebenarnya kita tidak berpuas hati jumlah ini, namun kita mesti bergantung kepada fakta dan bukti yang kita ada.
Adakah ia menunjukkan SPRM mempunyai kekangan dalam melaksanakan tugas?=
Kekangan yang dimaksudkan di sini ialah melalui maklumat. Kita tidak mendapat maklumat yang boleh membuat tangkapan. Walaupun kita ada kepakaran sendiri untuk bertindak tetapi bukan mudah untuk mereka bagi kerjasama kepada kita kerana soal keselamatan dan takut untuk hadir ke mahkamah.
Itu antara faktor kenapa masih kurang tangkapan berbanding apa yang diperkatakan orang ramai. Namun, saya tidak menuduh penguat kuasa ini terlibat dengan rasuah, mungkin mereka telah bertegas, dan sebab itulah tiada tangkapan dan tiada rasuah.
Bagaimanapun, saya mempunyai perancangan pada 2016 terhadap penyeludupan di sempadan. Saya akan bekerjasama dengan NACC (National Anticorruption Commision) untuk wilayah Narathiwat. Saya akan ke sana pada Januari nanti. Insya-ALLAH, apa yang kita boleh bincang berhubung kerjasama di sempadan Kelantan- Narathiwat, kalau mereka setuju, saya rasa kita akan mendapat satu impak yang baik.
Maksudnya, SPRM meningkatkan keupayaan untuk bekerja lebih keras di sempadan?
Ya, salah satu yang pentingnya ialah apa yang saya lihat ialah saya perlukan kerjasama dari sempadan dan perbincangan awal telah saya laukan dengan NACC Thailand, Oktober lepas. Cuma apa butiran kerjasama yang saya nak itu, akan saya kemukakan pada mereka Januari nanti.
Bagaimana pula kerjasama dengan agensi penguatkuasaan dalam negara?
Kami sentiasa ada kerjasama dengan pihak berkuasa. Kami sering adakan perbincangan meja bulat dan diteruskan usaha tersebut untuk dapatkan kerjasama berterusan.
Sejauh mana kempen integriti itu boleh mencegah jabatan kerajaan, jabatan penguat kuasa daripada terlibat rasuah?
Sepanjang tahun ini, kita mengendalikan 109 program dan ceramah untuk jabatan kerajaan terutama penguat kuasa. Saya harap ceramah dan program yang disampaikan ini termasuklah program yang memerlukan perbincangan meja bulat. Saya harap ia akan dapat menghasilkan sesuatu yang positif berkaitan integriti. Pertamanya, mereka tidak lagi terlibat dengan apa sahaja aktiviti tidak berintegriti. Keduanya, kesedaran mereka menyalurkan maklumat kepada SPRM.
Walaupun saya hanya ada sembilan pegawai penyiasat tetapi kalau datang 100 kes pun, insya-ALLAH kami boleh melakukannya. Ia bukan satu kekangan kepada kami tetapi yang penting, kami perlu maklumat berkualiti dalam mengendalikan kes rasuah.
Kebanyakan pemberi maklumat enggan buat laporan kerana takut. Apa jaminan pihak SPRM maklumat ini tidak bocor dan memberi kesan kepada pelapor?
Sebenarnya mereka ini takut kita dedah sebab kita bawa ke mahkamah dan sebagainya. Sebenarnya tidak perlu takut. Hanya buat temu janji dengan kita, minum kopi di mana-mana dan boleh ceritakan sahaja apa kes yang dia tahu kepada kita.
Dalam bentuk maklumat biasa pun tidak apa, tidak perlu datang buat laporan di pejabat kami atau sebagainya. Kalau tidak berani lagi, tulis surat kepada kami. Kami masih melayan surat layang yang mana dikatakan betul.
Ini bermaksud setiap aduan yang dibuat akan disiasat?
Ya, kita akan siasat, syaratnya ia maklumat rasuah lah, kalau tidak ada kena mengena dengan SPRM, kita tidak akan campur. Kita menerima pelbagai maklumat daripada orang ramai, kita akan salurkan kepada agensi terlibat, terutama bahagian pengaduan awam. Kami akan siasat apa juga kes rasuah, tidak kira ikan jerung, ikan bilis, kami akan siasat.
Bagaimana dengan isu rasuah dan penyelewengan wang banjir?
Kalau kita tengok bantuan RM500 itu, ia libatkan keseluruhan sehingga Oktober sebanyak RM86 juta mengikut statistik Majlis Keselamatan Negara (MKN). Jumlah diagihkan itu menunjukkan jumlah yang besar. Pihak ibu pejabat telah melihat perkara ini bahawa kemungkinan akan berlakunya ketirisan dan penyelewengan serta salah guna, sebab itulah ditubuhkan Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir. Apa yang kita buat, kita kerahkan sepenuh tenaga, kita buka 24 jam bilik kawalan operasi dan sediakan lebih 20 pegawai.
Apa sahaja maklumat kita dapat, hari itu juga kita akan siasat. Hari yang sama kita ambil tindakan. Kita akan beri penerangan dan bagi implikasi sekiranya pengisytiharan bantuan itu tidak dilaporkan secara telus, maknanya sekiranya ada penipuan dan unsur lain.
Kita dapati bukan mereka yang menerima itu terlibat dengan penipuan, tetapi sebaliknya. Malah nasihat diberi oleh penghulu yang akan menandatangani borang tersebut pun kadang-kadang ada yang salah. Kami turun padang di semua peringkat, kita bagi penerangan kepada agensi dan mangsa banjir sekalipun kita telah beri amaran supaya perlunya integriti.
Saya sangat puas hati dan terima kasih kepada pegawai kita serta semua program yang kita rancang, kita berjaya jalankan, terutama melibatkan jawatankuasa banjir, kita tutup dengan cemerlang untuk tahun ini.
Selain penguatkuasaan, mungkin SPRM juga turut memberikan nasihat kepada mana-mana agensi atau jabatan yang mungkin terjebak dengan rasuah ini?
Ya. Salah satunya Jabatan Hutan. Ia berkaitan dengan bagaimana kaedah memungut hasil hutan secara telus. Kita mengemukakan sembilan syor melibatkan tahun 2014 dan 2015 dan ia dipersetujui.
Selain itu sistem perolehan Jabatan Pendidikan.
Kita buat tiga tangkapan pegawai pendidikan di sini dan sembilan di ibu pejabat, jumlahnya 12 tangkapan. Maka kita lihat Sistem Perolehan. Hasilnya kita menasihatkan Jabatan Pendidikan buat tindakan kepada ruang-ruang rasuah tersebut supaya ditutup. Mereka juga bersetuju dengan enam syor diberikan.
Pejabat Tanah dan Galian juga turut tidak ketinggalan dan pihak mereka bersetuju dengan lapan syor dicadangkan. Sementara Jabatan Logistik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan pula sebanyak enam syor, juga dipersetujui.
Apa rumusan secara keseluruhannya kes berkaitan rasuah yang berlaku di Kelantan?
Apabila saya diarahkan untuk berada di Kelantan, pengurusan tertinggi maklumkan saya berkenaan dengan kes sempadan dan balak. Maka, saya tumpukan kes tersebut dan saya rasa tahun ini kita dah mula, tahun lepas kita tidak ada satu tangkapan pun kes balak, tahun ini kita dah ada 13 tangkapan, maknanya fokus saya untuk tumpukan kepada isu tempatan ini amat memuaskan. Secara keseluruhannya kami berjaya dengan strategi yang kita fokuskan untuk 2015 ini.
Bagaimanapun, saya sebagai penyiasat masih tidak berpuas hati tapi kita kena berpaksi kepada kekuatan kita, saya ada sembilan pegawai penyiasat untuk menyiasat seluruh Kelantan, keduanya statistik 10 tahun SPRM Kelantan, tangkapannya adalah 11 orang setiap tahun dari segi puratanya.
Maka tahun ini kita telah dapat 35 tangkapan, bagi saya, bonus kepada staf saya, yang jauh lebih baik daripada purata untuk 10 tahun. Ini satu kepuasan. Mungkin kepada umum, terpulang kepada mereka untuk menilai.
Itu kemampuan kita dengan apa yang kita ada. Bagi saya, saya berpuas hati. 35 daripada tangkapan, hampir kesemuanya kita nak dakwa dan ambil tindakan, maknanya kerja-kerja kita berjalan lancar dan saya berpuas hati. Yang penting ialah maklumat dan sejauh mana kita menyiasat perkara tersebut.
Selain itu, kerjasama orang ramai juga memberi kesan kepada kami dan saya harap pegawai saya akan aktif dan proaktif mendapatkan maklumat dan menyusuri orang ramai supaya bagi kerjasama pada kita.
No comments:
Post a Comment