Tuesday, December 15, 2015

Jangan sesekali dekati rasuah

FIRDAUS. Satu nama yang sememangnya memikat kebanyakan orang. Seperti nama, ceramah yang disampaikan oleh Firdaus atau nama penuhnya Firdaus Ramlan, juga memikat hadirin, yang terdiri daripada belia. Walaupun jam sudah menunjukkan hampir 11 malam, hadirin tetap khusyuk mendengar ceramah Firdaus.

Firdaus merupakan bekas majistret yang melalui kehidupan di penjara disebabkan kesalahan rasuah. Nasihat Firdaus: jangan sekali-kali mendekati atau cuba hendak 'merasai rasuah'. Kerana rasuah hidup merana. Kerana rasuah kita boleh jatuh dalam sekelip mata. Ceramah yang disampaikan dengan penuh karisma membawa mesej yang mendalam.

"Perkongsian ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat umum mengenai bahaya dan bahana rasuah dan akibat daripada perlakuan rasuah," kata Firdaus.

Saya pasti mereka yang mendengar ceramah ini akan berikrar dan berjanji dalam diri mereka tidak akan terbabit dalam jenayah, malah tidak sanggup meringkuk di penjara.

Selain saya, beliau adalah ahli panel Program Pencegahan Rasuah Bersama Pemimpin Belia Negeri Selangor 2015 anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang berlangsung di CLAST, Shah Alam baru-baru ini. Selaku Presiden Majlis Belia Selangor saya telah dijemput bercakap mengenai belia dan rasuah.

Atas kapasiti sebagai ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, salah satu daripada lima badan bebas yang memantau SPRM, saya juga menerima pelawaan SPRM Selangor untuk berkongsi pengalaman dengan golongan belia negeri itu.

Golongan belia perlu diberi panduan untuk melalui perjalanan hidup mereka. Salah satu sudah pasti hidup berintegriti.

Justeru, saya berkongsi satu penemuan kajian kendalian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang antara lain menunjukkan 54 peratus daripada 5,000 kes yang dilaporkan dari tahun 2003 hingga 2012 membabitkan golongan berusia 15 hingga 35 tahun.

Meskipun sudah lebih satu dekad, saya rasa perangkaan ini masih relevan untuk dijadikan satu ukuran. Saya berpandangan ia masih sesuai untuk diberi perhatian untuk kita mengambil langkah susulan yang lebih konkrit mengenai usaha mewujudkan persekitaran bebas rasuah.

Satu kenyataan Pengarah Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil pada awal tahun juga menegaskan perkara ini. Media memetik beliau menyebut bahawa belia adalah golongan yang paling ramai terlibat dengan rasuah.

Seramai 30.5 peratus penuntut yang ditemu bual oleh kajian UKM mengakui sanggup menerima rasuah jika mereka berkuasa manakala 15 peratus daripada mereka tidak kisah untuk menawarkan rasuah bagi mendapatkan sesuatu urusniga. Seramai 15.7 peratus pula pernah melakukan rasuah bagi melepaskan diri atas kesalahan yang dilakukan.

Kedua-dua kenyataan dan hasil kajian tadi menunjukkan ada kaitan sendiri. Maka ada kewajaran jika kita mengambil kira apa yang berlaku dan yang kita saksikan kebelakangan ini.

Belia merupakan kumpulan produktif sesebuah negara. Begitu juga Malaysia. Sejak tahun lalu kerajaan telah memperkenalkan sidang Parlimen Belia. Ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam melahirkan barisan kepimpinan yang membina bagi negara dalam jangka panjang.

Jika kita membuat generalisasi bahawa 30 peratus sanggup memberi rasuah untuk mendapatkan khidmat bermakna satu pertiga tenaga kerja berhadapan dengan persekitaran tidak sihat.

Budaya integriti menjadi persoalan. Bermakna rasuah menjadi sebahagian hidup kalangan orang yang bekerja dan sebahagian besarnya adalah golongan muda.

Maka, kajian kendalian UKM itu mengusulkan usaha membanteras rasuah memerlukan pelan jangka panjang yang menyeluruh dan holistik, bukan sahaja untuk memerangi rasuah semata-mata tetapi juga untuk menangani masalah-masalah yang berkaitan seperti etika dan integriti kerana rasuah ialah manifestasi keruntuhan etika dan integriti.

Amalan sosial dan budaya serta penerimaan pemberian rasuah untuk melancarkan birokrasi dan urusan perniagaan kepada memudahkan urusan-urusan lain hanya membentuk kitaran ganas kejam yang sukar dihentikan. Hanya apabila pemberian dan penerimaan rasuah dilihat sebagai tidak wajar dan tidak dapat diterima sebagai tingkah laku yang normal dan sihat, maka selagi itu sebarang inisiatif antirasuah hanya kelihatan seperti mencurah air ke daun keladi.

Oleh itu, usaha memerangi rasuah tidak terhad kepada kerajaan dan SPRM. Sebaliknya, harus melibatkan semua lapisan masyarakat terutama badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan yang mewakili golongan belia.

Baru-baru ini juga saya telah berpeluang untuk mengambil bahagian dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, yang dianggotai oleh wakil rakyat dari Barisan Nasional dan pembangkang, untuk merumuskan laporan tahunan 2015 sebelum dikemukakan kepada kerajaan dan Parlimen. Beberapa syor telah disenaraikan untuk dikemukakan kepada kerajaan bagi meningkatkan usaha memerangi rasuah.

Mengambil kira perkembangan ini, pada pandangan saya, orang ramai seharusnya mengubah persepsi berkenaan dan menerima kenyataan bahawa rasuah juga menular di setiap lapisan masyarakat.

Jenayah rasuah tidak harus dilihat pada perkara yang lepas kerana kita juga harus maju ke depan untuk melihat persepsi baru mengenainya.

Program kesedaran dan pendidikan harus diberikan untuk membentuk golongan belia yang berintergeriti dan bebas daripada amalan rasuah.

Tidak kira Melayu, Cina dan India. Kita harus faham bahawa perkongsian kesedaran dan pendidikan bukan hanya melibatkan satu kaum semata-mata tetapi melibatkan semua kaum sebagai satu rakyat Malaysia.

Jadi perlu ada program berkaitan dengan pendidikan untuk memberikan kesedaran dan memerangi amalan rasuah ini, daripada terus menular.

Kajian Transparency International di beberapa negara lain antara lain merumuskan bahawa, “Young people are picking integrity over corruption”. Ini menunjukkan bukan sesuatu yang mustahil untuk memutuskan rantai rasuah.

Di pihak SPRM, pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan bagi memerangi rasuah di kalangan golongan belia. Ini termasuk Sekretariat Pencegahan Rasuah di institusi pengajian tinggi manakala kempen Wira Anti Rasuah (WAR) sudah pun dimulakan di peringkat sekolah. Dilaporan sukatan berkenaan kesedaran membenci rasuah akan diperkenalkan kepada murid dalam waktu terdekat. Ia satu usaha yang baik ke arah melahirkan generasi muda menjaudi rasuah.

SPRM juga aktif menggerakkan usaha menandatangani Ikrar Integriti dan Ikrar Integriti Korporat. Setakat ini ia telah ditandatangani oleh lebih 500 entiti setakat ini termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, ahli-ahli politik, agensi kerajaan dan entiti swasta.

Oleh yang demikian, beberapa langkah pencegahan tambahan boleh dipertimbangkan. Ini termasuklah Kem Integriti Belia dan sesi engagement secara berterusan dan skim pertukaran belia dengan negara-negara yang teratas ranking dari segi Indeks Persepsi Rasuah. Kolobrasi bersama sekolah dan universiti boleh dipertingkatkan dengan melihat kepada kemajuan teknologi terkini.

Golongan belia perlu diberi pemahaman mengenai rasuah secara total dan secara konsisten. Rantai kesedaran yang bermula di sekolah perlu diteruskan ke peringkat kolej dan universiti, dan seterusnya semasa di alam pekerjaan.

Syor SPRM agar undang-undang rasuah diperketatkan perlu dijadikan realisasi dalam waktu terdekat. Ini termasuklah peruntukan liabiliti korporat. Peruntukan ini sangat penting dengan mengambil kira bilangan mereka yang disabitkan kesalahan rasuah adalah mereka yang bekerja atau menjalankan bisnes.

Kerugian rasuah sukar dianggarkan secara perinci namun yang pasti gejala rasuah akan membabitkan kedaulatan undang-undang dan polisi pembangunan menjadi tidak bernilai.

Meskipun bilangan belia yang terlibat dalam jenayah rasuah agar membimbangkan, kesedaran untuk menjauhi jenayah ini juga memperlihatkan trend yang positif. Di mana pemerhatian saya menunjukkan ramai yang tampil mahu mengatakan "tidak" kepada rasuah dan suapan.

Pendek kata, masih ada ruang yang baik untuk dieksploitasi bagi melahirkan generasi yang beriltizam menjauhi rasuah.

Datuk Irmohizam Ibrahim
Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah
Suruhanajaya Pencegahan Rasuah Malaysia 

No comments:

Post a Comment