Wednesday, December 16, 2015

Remaja dipenjara kerana beri suapan RM300


Padah memberi suapan RM300 pada polis November lalu, seorang remaja warga Myanmar dihukum penjara tiga bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.

Hukuman diputuskan hakim, Adli Abd Ghalib selepas tertuduh yang berusia 18 tahun itu mengaku salah terhadap tuduhan dikemukakan terhadapnya.

Dia didakwa memberi suapan wang tunai berkenaan kepada Koperal Ferdaus Yahya yang bertugas di Unit Risikan BN 7 PGA Kuantan, Pahang sebagai dorongan untuk melepaskan dua rakannya Nobi Alom Kutama dan Mohd Ismail Ajan yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Kesalahan dilakukan di Jalan Tengku Zainal Abidin, Kuala Krai, pada jam 7.30 malam, 17 November.

Sebelumnya, ketiga-tiga mereka dilihat dalam keadaan mencurigakan dan ditahan dalam Ops Penguatkuasaan Risikan Sempadan Malaysia-Thailand di lokasi berkenaan.

Semakan secara atas talian yang dilakukan mendapati nama tertuduh tersenarai sebagai pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), bagaimanapun semakan ke atas Nobi Alom mendapati kad UNHCR dipegang adalah palsu serta Mohd Ismail pula tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Susulan itu, kedua-dua rakan tertuduh ditahan dan merayu supaya dibebaskan, manakala tertuduh turut merayu mereka dilepaskan sambil berkata, “saya kasi wang la”. Pengadu menolak, namun tertuduh terus berkata, “minta tolong la, saya kasi wang”.

Pengadu bagaimanapun meneruskan tangkapan ke atas dua rakan tertuduh dan tertuduh masih tidak berputus asa serta berkata, “minta tolong lepas la, saya kasi lima ratus”.

Tertuduh kemudian mengeluarkan wang dari poket seluar dan menghulurkan kepada pengadu. Walaupun diberi amaran, tertuduh tetap menghulurkan wang berkenaan hingga menyebabkan pengadu membuat tangkapan ke atas tertuduh kerana memberi sogokan.

Pada prosiding hari ini, tertuduh melalui jurubahasa merayu supaya hukumannya diringankan kerana dia menyesal atas perbuatan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Shahidah Muslimah Roslan, bagaimanapun memohon hukuman setimpal yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang lain supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Hukuman diarah berkuat kuasa semalam dan tertuduh tidak menjelaskan denda menyebabkan hukuman penjara yang perlu dijalani kesemuanya selama tiga bulan.

No comments:

Post a Comment