Tuesday, December 15, 2015

SPRM Dipilih Sekali Lagi Kendali Program Sarjana Pencegahan Rasuah Oleh IACA

AKADEMI Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACA) telah memilih Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengendalikan program Sarjana Pengajian Pencegahan Rasuah (MACS) buat kali kedua berturut-turut.

Di bawah keputusan itu, penuntut MACS akan mengikuti Modul Penguatkuasaan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Kuala Lumpur. Modul Penguatkuasaan, yang merupakan salah satu daripada tujuh modul MACS, akan berlangsung pada Januari 2016.

SPRM dipilih bagi menghoskan Modul Penguatkuasaan buat kali pertama pada Mei 2014. Malaysia, satu-satunya negara di luar Austria dan negara pertama, dipilih untuk mengendalikan modul keenam program MACS.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed menyifatkan pemilihan kali kedua ini sebagai satu lagi pengiktirafan bagi MACA, SPRM dan Malaysia pada keseluruhannya.

"Pemilihan ini memperlihatkan IACA terus meletakkan kepercayaan yang tinggi ke atas MACA, dan berpuas hati dengan pengendalian kelas Modul Penguatkuasaan di MACA pada tahun 2014," kata Tan Sri Abu Kassim juga Naib Pengerusi Lembaga Pentadbir IACA.

Tan Sri Abu Kassim berkata, pengendalian Modul Penguatkuasaan di Malaysia akan membolehkan penuntut MACS mempelajari pengalaman dan kejayaan usaha pencegahan rasuah secara praktikal melibatkan tenaga pengajar dari Malaysia dan negara-negara di rantau ini.

"Pendekatan ini telah digunakan ketika sesi Mei 2014 yang berlangsung di MACA. Ia disambut baik oleh IACA dan penuntut kumpulan pertama MACS," kata beliau.


Fungsi dan sumbangan MACA juga telah diiktiraf sebagai hab latihan dalam sektor pencegahan rasuah oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Berkenaan Dadah dan Jenayah (UNODC).

No comments:

Post a Comment