Thursday, December 13, 2018

SPRM DAPAT IZIN MENDAKWA MOHD ISA

Image may contain: text


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), yang juga merupakan bekas Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FIC) dan bekas Pengarah FIC, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di mahkamah esok.
Beliau akan dituduh pada jam 9.00 pagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung siasatan kes pembelian hotel oleh FIC.
Mohd Isa, hari ini hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 10.48 pagi bagi menandatangani notis aku janji untuk hadir ke mahkamah.
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
13 DISEMBER 2018

Arul Kanda minta dibicarakan



Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, 41, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan bersubahat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berhubung pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Arul Kanda membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Tertuduh didakwa bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Najib iaitu sebagai pegawai badan awam iaitu perdana menteri menggunakan jawatan beliau untuk mendapatkan suapan bagi diri beliau sendiri.
Ia adalah bagi perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib sivil atau jenayah berkaitan 1MDB dengan cara mengambil tindakan mengarahkan laporan akhir pengauditan 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC).
Arul Kanda didakwa melakukan perbuatan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala tertuduh diwakili peguam Datuk N Sivananthan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar ikat jamin RM500,000 hari ini dan pasport diserahkan.
Mahkamah menetapkan 4 Januari depan untuk sebutan semula.

Najib Razak mengaku tidak bersalah guna kedudukan pinda laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)


Image may contain: 5 people, people standing and suit


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 65, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapat perlindungan daripada tindakannya berhubung pindaan laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azura Alwi selepas pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, Najib didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum ia dimuktamadkan dan dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) bagi melindungi diri daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berhubung syarikat pelaburan itu.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya di antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Bagi perbuatan itu hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi dikenakan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Ahmad Akram Gharib.
Manakala Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Mahkamah membenarkan Najib diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Januari depan.


Sebar luas mesej antirasuah guna pengangkutan awam

Image may contain: 4 people
Rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan ini bukan lagi isu yang asing dalam kalangan rakyat Malaysia. Membasmi rasuah tidak terhad kepada menangkap pesalah rasuah sahaja. Akar umbinya perlu dicabut sehingga tiada peluang baginya untuk tumbuh semula. Penyebaran dan penerapan mesej antirasuah adalah penting bagi mendidik dan membudayakan integriti dalam setiap individu.

Seiring dengan usaha ini, hari ini, projek julung kali kerjasama di antara Keretapi Tanah Melayu Berhad dan SPRM, wajah baharu koc Tren Komuter Sektor Utara iaitu dari Butterworth - Padang Besar - Butterworth akan dilancarkan.
Dengan mesej bertemakan ‘Masyarakat Malaysia: Laporkan rasuah dan salah guna kuasa”, ini merupakan satu usaha menyebarluas mesej antirasuah dan membasmi rasuah kepada masyarakat umumnya menggunakan pengangkutan awam.

Wajah baharu koc ini memaparkan mesej antirasuah di dalam dan di luar tren. Luarannya dibalut dengan slogan baharu SPRM iaitu Rasuah Dihina, Maruah Dibina dan di dalam tren turut dilengkapi dengan paparan mesej-mesej berpelekat mengenai kesedaran bahaya rasuah dan keperluan melaporkan jenayah rasuah.
Purata pengguna Tren Komuter Sektor Utara dari Butterworth ke Padang Besar ke Butterworth ini boleh mencapai purata sehingga 15,000 orang sehari sepanjang tahun 2017. Ini bermakna dianggarkan seramai 450,000 penumpang dalam sebulan akan membaca dan menerima kempen SPRM ini sewaktu menaiki tren menuju ke destinasi masing-masing.
SPRM yakin inisiatif ini adalah cara paling cepat, efektif dan mudah untuk menyebarkan mesej tolak rasuah kepada rakyat dari pelbagai latar belakang.
Ini kerana, bukan semua orang mudah menerima nasihat. Dari sudut psikologi, apabila kita selalu melihat atau membaca satu-satu paparan, stigma mesej itu akan melekat di minda.
Inilah yang kita harapkan. Dapat melakukan perubahan, walau sedikit, kita tidak boleh berhenti menyebar dan mendidik rakyat bencikan rasuah kerana pendidikan adalah berterusan.
Image may contain: 1 person, train and indoor

YBhg. Dato' Sri Mohd Shukri Abdull
Ketua Pesuruhjaya SPRM
11 Disember 2018
Butterworth, Pulau Pinang

SPRM DAPAT IZIN MENDAKWA MOHD. NAJIB DAN ARUL KANDA



Image may contain: text


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib Razak serta bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy di mahkamah esok.
Kedua-dua mereka bakal menghadapi pertuduhan bersama berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB. Namun begitu, bacaan pertuduhan tersebut akan dilakukan di Mahkamah Sesyen berasingan di Kompleks Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 12 Disember 2018, jam 8.00 pagi.
SPRM sebelum itu telah menahan Mohd. Najib pada Isnin lalu, 10 Disember 2018 bagi melengkapkan proses akhir siasatan. Beliau kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM pada hari sama.
Manakala Arul Kanda pula ditahan pada jam 10.32 pagi hari ini ketika 
hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi tujuan sama.
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
11 DISEMBER 2018

13 Ahli Parlimen PH belum isytihar harta - SPRM



Seramai 13 Ahli Parlimen dan 24 anggota pentadbiran kerajaan termasuk setiausaha politik didapati masih belum mengisytiharkan harta.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Bahrin Mohd Jamil, berkata ia adalah jumlah terkini yang boleh disemak menerusi portal Perisytiharan Harta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Katanya, sehingga hari ini seramai 115 ahli parlimen dan 63 anggota pentadbiran kerajaan sudah mengisytiharkan harta mereka.
“Ada yang bertanya kepada kita, apa tindakan atau langkah seterusnya yang boleh SPRM ambil terhadap mereka, tetapi sebenarnya kita tidak boleh berbuat apa-apa.
“Bagi kita, itu adalah janji mereka, maka mereka haruslah menunaikan janji mereka untuk melaksanakannya (isytihar harta).
“Mereka perlu buat pengisytiharan kepada Perdana Menteri, dan Perdana Menteri akan menghantar salinan kepada kita, maka isunya sama ada mereka mahu buat atau tidak terpulang pada mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perasmian program Walkabout Perdana Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2018, hari ini.

Bertemakan ‘Bersama Memerangi Rasuah’, program adalah usahasama antara SPRM bersama Transparency Internationa Malaysia, Yayasan Anti Rasuah Malaysia, Majlis Belia Malaysia dan Corporate Research And Investigation Group.
Program itu disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, dan turut dihadiri pengarah-pengarah bahagian, pegawai dan kakitangan SPRM.
Mengulas lanjut, Shamsun Bahrin berkata, pihaknya akan terus menunggu pengisytiharan harta oleh mereka yang masih belum berbuat demikian.
“Kita tiada undang-undang mewajibkan mereka mengisytiharkan harta, apa yang dilakukan sekarang adalah mengikut kod etika yang sedia ada.
“Bagaimanapun, kami sedia membantu mana-mana Ahli Parlimen yang masih belum buat, kita akan hubungi setiausaha sulit atau pegawai mereka untuk meminta ia dilakukan secepat mungkin.
“Kita juga berharap pada tahun depan apabila dibentangkan peraturan baru berkaitan pengisytiharan harta untuk semua Ahli Parlimen, semua pihak akan menyambutnya dengan baik.

SPRM ANJUR WALK-ABOUT DI SELURUH NEGARA SEMPENA SAMBUTAN HARA 2018


Image may contain: 1 person, smiling, car and outdoor


Image may contain: 9 people, people smiling

Bersempena dengan sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) yang berlangsung pada 9 Disember setiap tahun, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengadakan Walk-About Perdana HARA 2018 yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara, hari ini.
Di peringkat ibu pejabat, majlis pelepasan Flag Off disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato' Sri Mohd. Shukri Abdull dan disaksikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Dato' Shamshun Baharin Mohd. Jamil.
Turut hadir ialah pengarah-pengarah bahagian dan pegawai serta kakitangan SPRM.
Bertemakan 'United Against Corruption' di peringkat antarabangsa dan 'Bersama Memerangi Rasuah' di peringkat nasional, program ini merupakan usahasama antara SPRM bersama Transparency International Malaysia, Yayasan Anti Rasuah Malaysia, Majlis Belia Malaysia dan Corporate Research and Investigations Group.

Selain mempromosikan HARA dan mengeratkan hubungan bersama masyarakat, program yang melibatkan kira-kira 1,500 peserta tersebut bertujuan untuk menanam sifat tanggungjawab orang ramai bahawa membanteras rasuah adalah tanggungjawab bersama.
Pada masa yang sama, ia juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat agar memerangi rasuah besama SPRM dengan memaklumkan segala aktiviti atau kesalahan rasuah kepada suruhanjaya ini.