Thursday, January 4, 2018

Guru besar didakwa salah guna duit zakat

KUALA TERENGGANU 4 Jan. - Bekas Guru Besar  Sekolah Kebangsaan (SK)  Cheneh Baru 2, Kemaman  dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan wang zakat bernilai RM5,000 sumbangan Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd. (Ladang Rakyat), kira-kira tiga tahun lalu.

Tertuduh, Zabidah Sulaiman, 58, yang kini bertugas dengan jawatan sama di sebuah sekolah lain di daerah itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan, Zabidah  dituduh dengan curangnya menyalahgunakan wang zakat yang diterima dan sepatutnya diberikan sebagai sumbangan kepada 100 murid sekolah berkenaan.

Tertuduh telah mengemukakan borang akuan terima palsu kepada syarikat berkenaan berkaitan peruntukan sumbangan itu yang mana wang zakat berkenaan sebenarnya tidak disalurkan kepada murid-murid.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik mesyuarat Ladang Rakyat di Kemaman pada 13 Julai 2015.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd. Zamry mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan  (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah kanun yang sama.

Zabidah yang berjubah hitam dan bertudung merah diwakili peguam, Che Amir Che Musa.

Mahkamah bagaimanapun, membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Februari depan.


http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/guru-besar-didakwa-salah-guna-duit-zakat-1.584565#ixzz53CCgh4Pi 

Penolong pegawai veterinar didakwa rasuah

JOHOR BAHRU 4 Jan. - Seorang penolong pegawai veterinar di Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Johor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini sebentar tadi atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM3,500 ke dalam akaun miliknya daripada seorang kontraktor antara November 2013 hingga Oktober 2014.

Tertuduh, Mohd. Razi Basar, 40, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Fauzi Mohd. Nasir.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd. Razi yang juga Ketua Unit Ruminan didakwa menerima wang RM1,000 dalam akaun bank miliknya tanpa balasan daripada seorang kontraktor, Mohamad Zakariah Mohamad di sebuah bank di Johor Bahru City Square, Jalan Wong Ah Fook, 21 November 2013.

Tertuduh didakwa tahu perbuatannya itu ada kaitan dengan tugas rasminya sebagai pegawai yang bertanggungjawab memberikan kerja membekal dan menghantar bahan binaan kandang kambing berjumlah RM9,849.90 kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama dengan menerima RM1,500 daripada kontraktor sama bagi membantu mendapatkan kerja membekal dan menghantar bahan binaan kandang lembu berjumlah RM9,978.40 kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri di lokasi sama, 12 Mei 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama dengan menerima RM1,500 daripada kontraktor sama bagi membantu mendapatkan kerja membekal dan menghantar pagar cyclone RM9,996 kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri di lokasi sama, 10 Oktober 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Norsyarina Raizan menawarkan jaminan RM15,000 sebelum dibantah peguam Tan Song Yan yang mewakili tertuduh yang memohon jumlah itu dikurangkan kerana tertuduh mempunyai tanggungan isteri yang tidak bekerja dan tiga anak berusia antara dua hingga tujuh tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Januari ini untuk sebutan semula kes.


http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/penolong-pegawai-veterinar-didakwa-rasuah-1.584591#ixzz53CB26CuC 

Rasuah, pegawai imigresen, isteri dan kakak didakwa

ALOR SETAR 4 Jan. - Tiga sekeluarga termasuk seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan rasuah dan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram melibatkan RM12.5 juta sejak tiga tahun lalu.

Kesemua tertuduh iaitu pasangan suami isteri, Mohd. Khairi Othman, 38, dan isteri, Noorashikin Azmi, 38, dari Taman Rahmat, Jitra, dan Huziana Othman, 48, dari Taman Suasana Damai, Jitra yang merupakan kakak Mohd. Khairi tidak mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan hakim Azman Abu Hassan.

Dalam pertuduhan pertama melibatkan dua kesalahan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Mohd. Khairi sebagai Ketua Unit DP10, Bahagian Khidmat Ekspatariat, Ibu Pejabat JIM Putrajaya menerima rasuah sebanyak RM100,000 daripada Muhammad Khairul Asri Pubin melalui akaun Maybank atas nama Hassan Muhammad Yusuf @ Daud.

Wang sogokan tersebut adalah sebagai upah mempercepatkan pengeluaran Surat Kelulusan Pegawai Dagang (DP10) bagi Syarikat MKAP Bina Sdn. Bhd. pada 16 Julai 2017, kira-kira pada pukul 11.07 pagi.

Bagi kesalahan kedua, Mohd. Khairi menerima RM50,000 daripada Lee Wai Kay melalui akaun yang sama dan tujuan yang sama bagi syarikat Nature Sense Sdn. Bhd. pada 19 Jun 2015, kira-kira pukul 1.18 petang.

Dalam pada itu, Mohd. Khairi turut berdepan dengan 18 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001 membabitkan jumlah keseluruhan RM9.2 juta.

Kesalahan berkenaan dilakukan di beberapa buah bank di sekitar negeri ini antara 18 Disember 2015 sehingga 1 Mac 2017.

Dalam pertuduhan kedua membabitkan isteri Mohd Khairi, Noorashikin yang juga seorang Pengarah Firas Rizqi Resources dan Ilham Rizqi Resources berdepan lima pertuduhan membabitkan 4(1)(a) dan 4(1)(b) AMLA 2001 membabitkan jumlah keseluruhan RM2.5 juta.

Kesalahan terbabit dilakukan di tiga bank sekitar Jitra, di sini antara 7 April 2016 hingga 14 November 2016.

Sementara itu dalam pertuduhan ketiga, Huziana didakwa menerima wang berjumlah RM500,000 dari akaun Bank Rakyat milik Hassan Muhammad Yusuf @ Daud di Bank Rakyat cawangan Alor Setar, Jalan Langgar pada 9 Jun 2016 dan bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut 4(1)(a) AMLA 2001.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A. Hafiizh Abu Bakar manakala Mohd Khairi serta Noorashikin diwakili peguam Ridha Abdah Subri dan Huziana tidak diwakili peguam.

Mahkamah memerintahkan wang jaminan Mohd. Khairi sebanyak RM1.6 juta serta Noorashikin dan Huziana masing-masing RM200,000 dengan seorang penjamin manakala pasport diserahkan.

Noorashikin dan Huziana masing-masing menjelaskan wang jaminan itu.

Mahkamah menetapkan 12 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula dan penyerahan dokumen.-


http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/rasuah-pegawai-imigresen-isteri-dan-kakak-didakwa-1.584604#ixzz53C9XfNb2 

Wednesday, January 3, 2018

Op Lavish 2, SPRM tahan dua lagi terlibat kes pemalsuan permit kerja

ALOR SETAR 3 Jan. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri menahan dua lagi individu disyaki terlibat ‪kes rasuah membabitkan permit kerja ekspatriat dan profesional warga asing bernilai jutaan ringgit dalam Op Lavish 2 di sini hari ini.

Menurut sumber SPRM negeri, suspek yang berusia 38 dan 49 tahun itu merupakan isteri dan kakak kepada suspek utama berusia 38 tahun yang ditahan dalam Op Lavish 1 pada Mei tahun lepas.

“Isteri suspek yang merupakan seorang pengarah syarikat dan kakaknya seorang pegawai kerajaan ditahan di pejabat masing-masing hari ini.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek utama menggunakan akaun bank isteri dan kakaknya itu untuk menyembunyikan wang dipercayai hasil kegiatan haram itu,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613).

Tambah beliau, ketiga-tiga mereka akan didakwa di Mahkamah Alor Setar dan Butterworth, Pulau Pinang, esok dan lusa.

Dalam Op Lavish 1 awal Mei lalu, lima termasuk pegawai imigresen ditahan berhubung kes rasuah, antaranya meluluskan pas ekspatriat pengambilan pekerja mahir dan profesional yang melibatkan 339 permohonan dengan 18,626 pas diluluskan sejak 2015. - UTUSAN ONLINE


 http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/kedah/op-lavish-2-sprm-tahan-dua-lagi-terlibat-kes-pemalsuan-permit-kerja-1.584079#ixzz53AUiQMMn 

Didakwa pecah amanah RM864,000

SEORANG lelaki berusia 64 tahun yang juga bekas pegawai eksekutif syarikat pengangkutan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Johor Bahru terhadap tiga tuduhan pecah amanah mengakibatkan majikannya kerugian RM864,000 sejak lapan tahun lalu.

Chan Foo Chin, didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat DKSH Transport Agencies (M) Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang pada 27 Februari 2009, 28 Februari 2010 dan 11 Mei 2012.

Tertuduh didakwa melulus atau membenarkan pembayaran berjumlah RM288,000 sebanyak tiga kali kepada sebuah syarikat konsortium di Johor Bahru.

Dia didakwa mengeluarkan cek bagi pembayaran kerja pengalihan kontena dijalankan syarikat konsortium berkenaan di tiga lokasi berbeza bagi tempoh 12 bulan walaupun kerja itu sepatutnya tidak perlu dibayar oleh syarikat majikannya.

Chan didakwa mengikut Seksyen 409, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khazrin Hafiz Halil manakala tertuduh diwakili Sukaimi Maskot.

Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan tertuduh diikat jamin RM200,000 selain pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai.

Bagaimanapun, Sukaimi memohon tertuduh dikenakan jaminan rendah sebanyak RM50,000 kerana jaminan yang dicadangkan itu di luar kemampuan anak guamnya.

Menurutnya, anak guamnya hanya berpendapatan RM2,000 dan masih menyara isteri, seorang anak saudara serta seorang anak tiri.

Hakim Mohd Fauzi Nasir menetapkan ikat jamin sebanyak RM150,00 bagi semua pertuduhan dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.

Beliau menetapkan 27 Februari sebagai tarikh sebutan semula kes.


https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/01/299534/didakwa-pecah-amanah-rm864000

SPRM KESAN DUA INDIVIDU BANTU SIASATAN PEMBELIAN TANAH BERNILAI RM155 JUTA


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang mengesan dua individu bagi membantu siasatan kes urusan pembelian tanah ladang kelapa sawit di Daerah Tongod, Sabah yang bernilai kira-kira RM155 juta.

Individu tersebut ialah Datuk Peter Anthony, 46, mempunyai alamat terakhir di House No. 20 Taman Cantek Phase 4, Lorong Bunga Dahlia 3, 88200 Kota Kinabalu, Sabah.

Seorang lagi individu dikenali sebagai Michael Persius Ubu, 61, yang  mempunyai alamat terakhir di Lot 8-G, Lorong Rainfield 1, Taman Rainfield, Kota Kinabalu.

Kedua-duanya diberi tempoh selama 48 jam untuk menyerah diri di Pejabat SPRM Negeri Sabah bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan oleh pasukan penyiasat.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu berkenaan diminta menghubungi Penolong Kanan Penguasa, Mohd. Tharuzi Mohd. Nor di talian 013-9557850.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

3 JANUARI 2018


PENYELEWENGAN DANA, PECAH AMANAH: SPRM AKAN AMBIL TINDAKAN

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius perbuatan penyelewengan, salah guna kuasa dan pecah amanah melibatkan dana-dana kerajaan yang disalurkan kepada rakyat dan pembangunan negara, termasuk dana orang ramai di syarikat-syarikat swasta.

Perkara ini dapat dilihat dengan beberapa pertuduhan yang telah dilaksanakan oleh SPRM baru-baru ini.

Pada 2 Januari 2018 yang lalu,  Zamrud Mansor, 77, dan anaknya, Hazizul Zamrud, 44, masing-masing bekas pegawai dan pegawai kanan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDEC) didakwa melakukan pecah amanah dengan membuat pembayaran sebanyak RM4.3 juta kepada Syarikat MISDEC Resources Sdn. Bhd. dan RM280,000 kepada tujuh syarikat pembekal lain atas pelbagai urusan.

Perbuatan penyelewengan, salah guna kuasa dan pecah amanah ini juga didapati telah berlaku di syarikat-syarikat swasta.

Hari ini, bekas Pegawai Eksekutif DKSH Transport Agencies (M) Sdn. Bhd., Chan Foo Chin telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru oleh SPRM untuk pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah amanah iaitu dengan curangnya menyalahgunakan dana syarikat dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM864,000.00 melalui tiga transaksi cek.

DKSH merupakan sebuah syarikat yang tersenarai dalam papan utama Bursa Saham Berhad.

Justeru itu, SPRM menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat-maklumat berhubung rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan pecah amanah melaporkan kepada SPRM supaya tindakan dapat diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

SPRM akan terus memastikan dana-dana yang diperuntukan ini sampai kepada masyarakat atau golongan sasaran seperti yang telah ditetapkan dan memastikan mereka yang terlibat dengan rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan pecah amanah disiasat dan dibawa ke muka pengadilan.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

3 JANUARI 2018

Tuesday, January 2, 2018

Trend aktiviti pengubahan wang haram kian berubah




Akhbar: Sin Chew, Muka depan 2 Januari 2018

Tajuk: Trend aktiviti pengubahan wang haram kian berubah
Pengurup wang haram bantu dalang

Pengarah AMLFOP SPRM, Fikri Ab. Rahim menerusi satu sesi wawancara eksklusif bersama akhbar Sin Chew Daily berkata, cabaran utama yang dihadapi SPRM pada masa kini ialah perubahan trend dari segi aktiviti pengubahan haram.

Jelas beliau, antara cabaran dan kesukaran yang dihadapi SPRM untuk mengesan dalang di sebalik aktiviti tersebut adalah berpunca daripada pengurup wang yang beroperasi secara haram.

Sebagai contoh, katanya, pihak yang ingin memberi rasuah boleh memberi wang kepada pengurup wang yang beroperasi secara haram dan individu yang akan menerima wang tersebut boleh menebus wang berkenaan daripada pengurup wang tersebut di luar negara.

Jelas beliau, mengikut prosedur sebenar, individu yang menukar wang lebih daripada RM3,000 perlu berdaftar dengan pengurup wang berkenaan namun sekiranya mereka berurusan dengan pengurup wang yang beroperasi secara haram, maka mereka tidak terikat dengan prosedur tersebut sehingga menyebabkan tindakan mereka itu gagal dikesan.

Tambah beliau, Bank Negara sepatutnya mengawal dan memantau syarikat pengurup wang yang terletak di bawah mereka bagi mengelakkan berlakunya aktiviti pengubahan wang haram.

Katanya lagi, bukan senang bagi SPRM untuk mengesan aktiviti pengubahan wang haram disebabkan wujudnya pihak yang beroperasi secara haram sehingga menyebabkan wang terlibat sukar untuk dikesan.

Jelasnya, SPRM berdepan dengan kesukaran apabila trend kini adalah lain daripada dahulu yang mana trend dahulu dilakukan secara langsung iaitu menyerahkan wang atau cek termasuk memberi hadiah berbentuk rumah atau barang kemas kepada penerima.

Tambah beliau, tahun lalu, lebih 100 kes telah disiasat SPRM melibatkan nilai kira-kira RM80 juta dan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, purata kes yang disiasat SPRM setiap tahun adalah sebanyak 50 kes melibatkan nilai kira-kira RM50 juta.

Katanya lagi, disebabkan trend terkini yang kebanyakannya melibatkan teknologi tinggi, pihak penguat kuasa memerlukan kepakaran berkaitan untuk mengatasi aktiviti pengubahan wang haram agar aktvititi tersebut dapat diatasi.

Monday, January 1, 2018

Dua beranak didakwa pecah amanah RM4.58 juta wang Misdc

MELAKA - Seorang bekas Setiausaha dan Pengarah Unit Pentadbiran Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (Misdc) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang agensi itu berjumlah RM4.58 juta.
Zamrud Mansor, 77, dan anaknya, Hazizul, 44, masing-masing didakwa dengan 42 pertuduhan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, Zamrud yang ketika itu memegang jawatan sebagai Setiausaha Misdc didakwa melakukan pecah amanah dengan membuat pembayaran wang RM4.3 juta kepada syarikat peribadi, Misdec Resources Sdn. Bhd. dan RM280,000 kepada tujuh syarikat pembekal bagi tujuan kepentingan sendiri.
Hazizul pula berdepan dengan pertuduhan sama kerana bersubahat melakukan jenayah tersebut dengan bapanya.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan oleh kedua-dua tertuduh di Misdc Batu Berendam di di sini antara Mac 2014 dan Jun 2015. - K! ONLINE

SPRM tidak akan tunduk kepada tekanan atau fitnah

Baca dan hayatilah laporan berita dalam segmen Soal Jawab bertajuk "SPRM tidak akan tunduk kepada tekanan atau fitnah" yang disiarkan dalam Berita Harian hari ini. Semangat dan perjuangan SPRM akan terus membara dengan sokongan rakyat.
Terima kasih kepada Berita Harian yang menyemarakkan lagi sokongan rakyat terhadap perjuangan SPRM.